soalan saya: 1. rentetan itu atau rentetan daripada itu | Frasa yang betul ialah "rentetan itu". | Tatabahasa | 23.06.2012 |
Rentetan soalan no.9: Bagaimana dengan vokal berganding & konsonan bergabung | Encik Badarul, Vokal berganding berbeza daripada diftong yang dilafazkan sebagai satu bunyi. Perkataan yang dieja dengan vokal berganding ialah kuih, buih, air dan laut. Konsonan bergabung dalam bahasa Melayu ialah gh, kh, ng, ny dan sy seperti dalam perkataan ghairah, khabar, nganga, nyanyi dan syarat. | Ejaan | 28.12.2010 |
Salam bahagia, sesetengah pelajar begitu ghairah menggunakan kata 'rentetan' untuk mengungkapkan maksud 'ekoran' atau 'akibat' atau 'gara-gara' dalam penulisan karangan. Sudah berkali-kali saya merujuki Kamus Dewan untuk memastikan penggunaan kata itu betul kerana penggunannya begitu lelluasa sekali. Sebagai contohnya, "Penghidupan nelayan di negara kita terancam rentetan pencemaran laut." Ada pula menggunakan frasa 'rentetan itu' untuk membawa maksud 'sebagai akibatnya'. Contohnya, "Renteran iu, remaja ponteng sekolah dan berpelesiran di kompleks beli-belah." Adakah kata 'rentetan' sesuai dalam konteks kedua-dua kalimat tersebut? Sila berikan penjelasan agar semua pengguna bahasa Melalyu mendapat manfaat daripadanya. Salam hormat, Kay Seven, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. | Rentetan bermaksud deretan peristiwa atau bunyi. Penggunaan perkataan rentetan hendaklah disesuaikan dengan konteks penggunaannya. Dalam hal ini guru boleh memainkan peranan untuk membimbing pelajar menggunakan perkataan yang betul berdasarkan konteks ayat. | Makna | 21.12.2016 |
apakah maksud alku dan rentetan peristwa? | Alku bermaksud orang yang mencari pelacur untuk pelanggan lelaki (atau sebaliknya), atau disebut juga barua, manakala rentetan peristiwa bermaksud beberapa peristiwa yang berlaku berturutan (satu demi satu). | Makna | 30.06.2009 |
Adakah perkataan "dejavu" adalah bahasa Melayu asal? Apakah maksudnya? | Saudara, Makna 'dejavu' ialah perasaan yang pernah dirasai masa lalu berserta rentetan peristiwa yang sama kini dirasai. | Makna | 26.02.2010 |
Adakah ayat ini betul? Budak yang mendekati orang tua itu bertanyakan asal-usul peristiwa yang berlaku. | Ayat yang betul ialah "Budak yang mendekati orang tua itu bertanyakan rentetan/punca peristiwa yang berlaku." | Tatabahasa | 21.07.2013 |
Kenapakah kata "qiamat" ditukar ejaannya kepada "kiamat"? Sedangkan kata "Quran" dikekalkan? Soalan ini pernah diajukan kepada saya ketika satu perbincangan bahasa bersama rakan saya di IPG. Soalan ini rentetan daripada hujah rakan saya berkaitan dengan pertukaran makna pada sesuatu kata. Rakan saya mengaitkan perkara ini sama seperti kalimah-kalimah dalam bahasa Arab, sekiranya berlaku pertukaran ejaan, akan berubah maknanya. Jadi, apakah jawapan yang lebih jelas berkaitan dengan hal ini? | Ejaan "kiamat" disesuaikan mengikut pedoman Transliterasi Arab-Rumi, manakala kata al-Quran dianggap sebagai kata nama khas dan dikekalkan ejaannya dengan huruf yang melambangkan huruf qaf dalam bahasa Melayu. Kami tidak menafikan kemungkinan wujud perubahan makna apabila ejaannya diubah, tetapi kita harus faham dan melihat keseluruhan konteks perbincangan. Contohnya, jika kita merujuk hari kebangkitan tidak mungkin kita merujuk kepada makna yang lain selain hari kiamat. | Ejaan | 28.08.2011 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera, Saya ingin tahu, bilakah istilah padanan rasmi bagi String Theory akan dimasukkan dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM)? Terlalu banyak terjemahan yang digunakan untuk memerihalkan String Theory dalam bahasa Melayu seperti Teori Tetangsi, Teori Dawai, Teori Tetali dan Teori Rentetan. Tanpa adanya istilah rasmi dalam PRPM, susahlah untuk ahli sains Malaysia untuk menulis berkaitan topik ini kerana tiada penggunaan seragam bagi String Theory. Bolehkah saya mencadangkan Teori Tetangsi dijadikan istilah rasmi kerana istilah lain kurang tepat. Dawai boleh disalah tafsir menjadi Wire Theory, Teori Tetali terlalu umum dan boleh membawa maksud tali yang tebal (rope) dan Teori Rentetan mungkin boleh disilap terjemah sebagai Sequence Theory. Teori Tetangsi merupakan perihalan yang agak baik buat masa kini kerana terbentuk daripada gandaan separa perkataan tangsi yang membawa maksud tali yang dilumas dengan lilin (untuk tali kail dan lain - lain). Tali tangsi halus sesuai untuk perihalkan teori ini yang ada penggunaan objek satu dimensi yang "halus". | Istilah yang dicadangkan akan dikemukakan kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi untuk dibincangkan. Tuan juga boleh menghubungi Bahagian Peristilahan dan Leksikologi melalui talian 03-21479161/21479165. | Istilah | 25.01.2017 |
Salam sejatera. Saya medapati ramai guru sering menegaskan bahawa perkataan yang indah dan klasik tidak patut digunakan dalam PMR atau SPM tetapi saya berpendapat bahawa pelajar perlu dipupuk untuk mempelajari dan mencintai bahasa melayu demi memartabatkan bahasa kebangsaan kita bukan merisaukan tanggapan pemeriksa semata-mata . Jika pelajar tidak dapat meggunakan perkataan bahasa melayu yang berkualiti dalam peperiksaan, mereka tidak dapat menggunakannya lagi selepas alam persekolahan. Rentetan daripada itu, banyak perkataan bahasa melayu tidak akan dikenali oleh rakyat kita sendiri dalam dunia yang semakin meminggirkan tradisi. Pelajar sering dimomokkan dengan tanggapan pemeriksa yang tidak gemar melihat perkataan indah atau klasik justeru menyebabkan mereka tidak ingin mempelajari perkataan baru dan berpuas hati dengan ilmu yang dimiliki. Jika setiap pelajar perlu menjadikan kamus dbp sebagai rujukan utama, apa salanya jika menggunakan perkataan yang terdapat dalam kamus yang menjadi akar tunjang kepada bahasa melayu? Jika benar perkataan sedemikian tidak wajar digunakan, mengapakah perkataan ini wujud dalam kamus? Jika perkataan bombastik tidak sesuai dalam karangan peperiksaan, bilakah perkataan-perkataan ini sesuai digunakan? Tujuan saya bukan untuk berperang pena tetapi sebagai anak malaysia yang bertanggungjawab saya agak risau akan situasi ini. Saya berharap pihak dbp dapat memberi penjelasan. Sekian. Bahasa Jiwa Bangsa | Penulisan yang baik lazimnya terletak pada kekuatan wacana yang dikupas dan diolah dengan baik, disokong dengan pembentukan ayat yang berkesan melalui kosa kata yang tepat dan indah. Kekuatan kosa kata yang baru atau melankolik tidak menjamin penulisan yang baik. | Istilah | 17.08.2010 |
khidmat nasihat sastera kanak-kanak dan remaja : 1)peringkat umur yang sebenar buku bacaan sastera kanak-kanak dan remaja di malaysia 2) maksud plot dan sudut pandangan sastera kanak-kanak dan remaja | Soalan 1: Peringkat umur sebenar buku bacaan kanak-kanak bergantung pada bentuk atau genre buku. Buku bergambar/buku konsep (0-3 tahun); buku cerita bergambar (5-9 tahun). Buku berilustrasi: novel(10-12 tahun);kumpulan cerpen (7-9;10-12 tahun);kumpulan puisi (7-9;10-12 tahun). Peringkat umur remaja awal (13-15 tahun); remaja pertengahan (16-18 tahun); remaja akhir (19-21 tahun)- untul pelbagai bentuk penerbitan buku seperti novel, puisi, cerpen dan genre lain. Soalan 2: Plot ialah rentetan peristiwa atau jalinan cerita yang direka oleh pengarang berdasarkan sebab dan akibat sesuatu peristiwa dalam cerita itu berlaku. Peristiwa dijalin dengan melibatkan pertikaian atau konflik yang di akhir cerita menemukan peleraiannya. Plot untuk cerita kanak-kanak sesuai disusun pengarang secara kronologi;berurutan peristiwanya dari awal hingga ke akhir cerita. Pengarang tidak perlu mencampuradukkan plot dengan imbas kembali, imbas muka sehingga menyukarkan pemahaman kanak-kanak. Plot cerita kanak-kanak terbina daripada urutan peristiwa yang bermula dengan pengenalan cerita, dikembangkan dalam pertengahan cerita dan diakhiri dengan peleraian cerita. Sudut Pandangan-pencerita sebagai sudut pandangan orang pertama ditandai dengan cerita yang menggunakan kata ganti nama pertama, watak aku atau saya, dan mungkin juga cerita menggunakan ganti nama kami. Teknik ini lebih mudah dan sesuai untuk penulis baru. Teknik ini membenarkan pengarang bertindak sebagai pencerita utama watak atau watak sampingan yang bercerita tentang watak utama. Sudut pandangan orang ketiga ditandai dengan penggunaan kata ganti nama orang ketiga, iaitu dia, atau memakai nama watak dalam cerita. Sudut pandangan orang ketiga beerti anda sebagai pengarang yang mempamerkan apa-apa yang dilihat dan dilakukan oleh watak-watak, malah berusaha menyelami setiap sudut perasaan watak. Hingga pembaca boleh mengetahui setiap yang difikirkan dan dirasakan oleh watak-watak dalam cerita. | Lain-lain | 02.05.2014 |