Penggunaan ritma pantun yang kurang tepat, semasa penutup kata pada setiap kali Berita RTM. "Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka". Ritma di penghujung 'ra' dan 'ka', agak pelik. Mohon pencerahan. | Untuk makluman, rima ialah bunyi yang sama pada huruf akhir atau suku kata akhir dalam baris puisi (pantun). Rima akhir pula ialah rima pada setiap baris sesebuah puisi seperti rima dalam pantun empat kerat, iaitu a,b; a, b. Untuk rima akhir perkataan "segara" dan "merdeka", iaitu "ra" dan "ka" merupakan rima yang dikenali sebagai rima yang tidak sempurna tetapi diterima kerana bunyinya hampir sama apabila didengar. | Sastera | 27.02.2024 |
Salam! Di dalam ayat yang berikut "teka-teki teka tekok...", apakah maksud tekok? Sekian, terima kasih! | Perkataan tekok tidak mempunyai makna dalam konteks tersebut. Dalam karya kreatif, penggunaan sesuatu perkataan lazimnya digunakan untuk menunjukkan ritma dalam sesebuah karya. | Tatabahasa | 03.06.2020 |
Saya sedang mengkaji tentang pendekatan pengajaran dari barat iaitu Dalcroze Eurhythmics. Bolehkah saya tukar nama pendekatan tersebut dalam Bahasa Melayu sebagai Euritmik Dalcroze? | Dalcroze Eurhythmics diberikan padanan Euritmik Dalcroze atau Dalcroze Method (Kaedah Dalcroze). Dalam bidang kesenian, euritmik ialah sistem latihan muzik untuk memahami ritma melalui gerak anggota yang dibangunkan oleh Émile Jaques-Dalcroze. | Istilah | 23.10.2018 |
Soalan ini berkaitan dengan penulisan novel. Adakah betul ayat yang saya gunakan berikut? - Masing-masing cekap dalam melaksanakan tugas yang diberi, berkat latihan berkala dan Mass Casualty Incident (MCI) Simulations bertaraf elit yang dijalankan sebelum ini. | Dalam menghasilkan karya sastera, penulis diberikan kebebasan untuk berkarya. Kebebasan yang dimaksudkan adalah dari segi ritma, kiasan atau susunan kata mengikut keperluan penulis bagi melahirkan makna tertentu, asalkan tidak menyalahi hukum tatabahasa. Ayat yang telah diberikan penambahbaikan ialah “Masing-masing cekap dalam melaksanakan tugas yang diberikan, hasil latihan berkala Pelan Pengurusan Bencana bertaraf elit yang dijalankan sebelum ini.” | Sastera | 12.08.2024 |
Maaf Bertanya,Bolehkan Encik/Puan/Cik memeriksa pengguanaan Bahasa Melayu dalam Teks Sajak yang dinurkilankan oleh saya sendiri?Sekian Terima Kasih | DBP tidak membuat semakan terhadap penggunaan bahasa dalam karya kreatif termasuk sajak, kecuali jika karya tersebut dihantar untuk terbitan DBP. Hal ini disebabkan sajak merupakan salah satu daripada karya sastera. Dalam penghasilan karya sastera, penulis diberikan sedikit "kebebasan" untuk berkarya. Kebebasan yang dimaksudkan adalah dari segi ritma, kiasan kata, nahu dan susun kata mengikut keperluan penulis bagi melahirkan kesan tertentu. Sungguhpun begitu, penulis disarankan agar menggunakan bahasa yang baik dan betul supaya dapat memperkasakan penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat. Untuk membantu tuan membuat semakan bagi penggunaan perkataan yang betul, tuan boleh menggunakan enjin carian yang telah disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan salah satu cara untuk membuat rujukan, mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari http://prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari”.
| Sastera | 19.05.2022 |
salam sejahtera. dalam pendidikan muzik, salah satu cara mengajar irama dipanggil "rhythm syllable system" dallam bahasa inggeris. bila diterjemah kepada bahasa melayu, ada buku guna "sistem sebutan irama". Tetapi "syllable" itu lebih pada sebutan sukukata. Maka apakah terjemahan yang sesuai bagi "rhythm syllable system"? Terima kasih. | Untuk makluman, tidak terdapat istilah bahasa Melayu yang khusus untuk "rhythm syllable system" dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, istilah yang dicadangkan ialah sistem suku kata ritma. | Istilah | 21.05.2013 |
Salam sejahtera, Mengenai lirik lagu rakyat "Ikan Kekek", adakah ejaan "iloi-iloi" di dalam ayat ini betul? "Ikan kekek mak iloi-iloi" Mengikut artikel majalah Dewan Budaya keluaran 1 Januari 1979 dari pengarang Usman Awang, judul yang tertera adalah "Ikan kekek mak eloi-eloi, ikan gelama mak elai-elai". Adakah ejaan ini yang paling tepat? Sekian, terima kasih. | Ejaan yang tepat mengikut keselarasan vokal ialah ilui-ilui dan ilai-ilai. Dalam karya kreatif, penggunaan sesuatu perkataan lazimnya digunakan untuk menunjukkan ritma dalam sesebuah karya. | Ejaan | 08.06.2020 |
Rhotic (bahasa) patut dieja "rhotik" atau "rotik"? | Selamat sejahtera HAZIQ FARUQI, Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu (1992) terbitan DBP telah menggariskan 70 kaedah penulisan kata serapan asing, termasuk bagi kata-kata Inggeris. Kaedah yang ke-48 ialah kaedah menulis gugus konsonan Inggeris [rh] yang menjadi [r] untuk ejaan bahasa Melayu, iaitu seperti perkataan rhetoric dan rhythm. Penyesuaian ejaan bahasa Melayu kedua-kedua kata Inggeris ini adalah: rhetoric - retorik rhythm - ritma Ejaan rhotic seharusnya diselaraskan menjadi rotik dalam bahasa Melayu. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya yang menjalankan amanah, MARDHIAH OTHMAN. | Ejaan | 16.03.2025 |
Terima kasih untuk jawapan yang diberikan. Jawapan : ku- merupakan singkatan bagi aku. Singkatan tidak boleh berdiri sendiri dan perlu dieja rapat. Ku sebagai kata klitik diikuti kata kerja tanpa imbuhan awalan. Penggunaan yang betul ialah "Aku dicipta, Aku berjalan dan Aku tertawa" Saya faham dengan penggunaan yang betul tentang "Aku dicipta, Aku berjalan dan Aku tertawa." Namun terdapat penggunaan tidak lazim bagi singkatan "Ku" dalam lirik lagu, puisi dan sebagainya. Jadi manakah yang betul "Ku dicipta" atau "kudicipta"; "Ku berjalan" atau "Kuberjalan"; "Ku tertawa" atau "Kutertawa". Terima kasih. | Untuk makluman, dalam penulisan karya sastera mempunyai "kebebasan" diberikan kepada pengkarya untuk menghasilkan karyanya yang diistilahkan sebagai “kebebasan penyair” (poetic licence). Kebebasan yang dimaksudkan ialah mengubah suai bahasa seperti ritma, kiasan kata, nahu dan susun kata mengikut keperluan pengkarya itu sendiri bagi melahirkan kesan tertentu. Biasanya lesen ini lebih banyak melibatkan penyair, cerpenis, novelis dan termasuk penulis lirik lagu. Ejaan yang betul ialah "kudicipta", "kutertawa", "kuberjalan". | Tatabahasa | 17.06.2023 |
Salam sejahtera. Di sini ada satu pertanyaan tentang lirik lagu kebesaran negeri Johor iaitu perkataan 'Nugerahkan dan perkataan naungkan, adakah ejaan bagi kedua-dua perkataan ini betul? atau 'Nugerahkan sebenarnya ejaan yang betul ialah Anugerahkan manakala naungkan ejaan betul ialah naungan? Terima kasih atas penjelasan tuan. | Allah peliharakan Sultan 'Nugerahkan dia segala kehormatan sihat dan ria kekal dan makmur luaskan kuasa naungkan kami rakyat dipimpini berzaman lagi dengan merdeka bersatu hati Allah berkati Johor Allah selamatkan Sultan Perkataan yang tepat ialah "Anugerahkan" dan "Naungan" seperti mana yang tuan fahami. Untuk makluman tuan, dalam penulisan karya sastera, ada sedikit "kebebasan" diberikan kepada pengkarya untuk menghasilkan karyanya yang diistilahkan sebagai lesen puitis (poitic License). Kebebasan yang dimaksudkan adalah mengubah suai bahasa seperti ritma, kiasan kata, nahu dan susun kata mengikut keperluan pengkarya itu sendiri bagi melahirkan kesan tertentu.Biasanya lesen puitis lebih banyak melibatkan penyair, cerpenis, novelis dan termasuk penulis lirik lagu. | Sastera | 30.05.2017 |