1. Bolehkah memulakan ayat dengan 'dengan' dan 'untuk'.? 2. Kenapa tidak boleh memulakan ayat dengan 'adalah' ? Sekian, terima kasih. | 1. Sesuatu ayat boleh dimulakan dengan perkataan dengan dan untuk. Contoh: i. Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan pada minggu hadapan. ii. Untuk makluman tuan, kerja gotong royong akan dimulakan pada minggu hadapan. 2. Kata pemeri adalah tidak boleh digunakan pada permulaan ayat kerana kata pemeri adalah merupakan unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa utama dalam predikat. Pemeri hal itu dilakukan secara huraian tentang subjek oleh predikat dan hanya boleh hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 263. | Tatabahasa | 12.04.2009 |
Salam sejahtera, Encik, adakah ayat-ayat di bawah betul atau sebaliknya. 1) Pelbagai aktiviti kokurikulum yang diadakan oleh pihak sekolah perlu para pelajar sertai untuk menimba pengetahuan dan pengalaman. 2) Para pelajar di sekolah itu sangat sayang akan Cikgu Hamzah yang baik hati, penyayang dan bertanggungjawab. 3) Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kediaman akan diadakan oleh kami pada minggu hadapan. 4) Puan Ani menasihati anak-anaknya agar mencontohi akan kejayaan anak-anak Puan Ainun dalam pelajaran. 5) Saya tidak tahu mengapa Adik Induk duduk di samping ibu sejak dari tadi. 6) i) Kerja-kerja memperlebar lebuh raya itu sedang dijalankan dengan giat. ii) Saya yakin akan keikhlasannya dalam menjalin persahabatan dengan saya. iii) Kereta perkarangan rumah banglo itu mewah-mewah belaka. 7) Sejak daripada tadi pemuda itu termenung di situ. 8) Ali terpinga-pinga bila ditegur oleh lelaki yang bukan dikenalinya. 9) Beberapa orang kanak-kanak merupakan penduduk yang tertinggi sekali di kampung kami. | Ayat yang betul :1. Pelbagai aktiviti kokurikulum yang diadakan oleh pihak sekolah perlu disertai oleh para pelajar untuk menimba pengetahuan dan pengalaman. 2. Para pelajar di sekolah itu sangat sayang akan Cikgu Hamzah yang baik hati, penyayang dan bertanggungjawab. 3. Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kediaman akan kami adakan pada minggu hadapan. 4. Puan Ani menasihati anak-anaknya agar mencontohi kejayaan anak-anak Puan Ainun dalam pelajaran. 5. Saya tidak tahu mengapa Adik Induk duduk di samping ibu sejak tadi. 6. Ayat ini betul. 7. Sejak tadi pemuda itu termenung di situ. 8. Ali terpinga-pinga apabila ditegur oleh lelaki yang tidak dikenalinya. 9. Beberapa orang kanak-kanak merupakan jumlah penduduk yang tertinggi di kampung kami. | Tatabahasa | 14.07.2008 |