i) Tentang penggunaan 'di' a) bagaimana nak tahu 'di' mesti dijarakkan dgn ruang kosong atau tidak untuk sesuatu perkataan contohnya 'di peringkat' atau 'diperingkat' yang betul ? b) 'di peringkat' atau 'diperingkat' dikira sebagai satu atau dua perkataan, bagaimana pula dgn 'di isi' atau 'diisi' ? Terima Kasih Ezree | a) Frasa Sendi Nama "di" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat yang tetap dan ditulis terpisah, oleh itu "di" dengan peringkat ditulis terpisah. b) Manakala "di" bagi diisi merupakan imbuhan dengan kata kerja "isi", oleh itu ditulis satu perkataan. "Diisi" merupakan kata pasif bagi "mengisi" | Tatabahasa | 20.07.2007 |
Saya keliru dengan penggunaan perkataan "binaan" dan "pembinaan" Berdasarkan ayat di bawah apakah perkataan yang sesuai diisi pada ruangan kosongan di bawah? Wak Suparman bekerja di tapak________ sebagai buruh kasar bagi menyara keluarganya di Indonesia. Mana satu penggunaan frasa yang betul pada ruang kosong di atas?tapak binaan atau tapak pembinaan? | Binaan ialah bangunan yang dibina dan pembinaan ialah proses membina. Frasa yang betul ialah tapak pembinaan, iaitu kawasan yang sedang dalam proses membina. | Tatabahasa | 15.08.2012 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya ingin meminta bantuan Tuan/Puan untuk mencadangkan padanan yang sesuai bagi perkataan "void deck." "Void deck" ialah ruang kosong dibawah pangsapuri dan biasanya digunakan untuk aktiviti komuniti penduduk. Istilah ini biasa digunakan di Singapura. Terima kasih | Wassalam, Kami mencadangkan istilah "void deck" diterjemahkan kepada "Ruang Legar" yang membawa maksud "ruang yang agak luas di sebelah dalam pintu utama sesebuah bangunan, biasanya terdapat tempat bertanya, tempat menerima tamu, tempat menunggu dan sebagainya. | Penyemakan dan penterjemahan | 26.08.2018 |
Salam sejahtera Tuan, 1. Penggunaan yang betul ialah (a) Daerah ini di bawah kuasa kerajaan pusat. atau (b) Daerah ini di bawah penguasaan kerajaan pusat. ? 2. Adakah penggunaan "di bawah" dalam konteks ayat (a) dan (b) di atas tepat? Sekian, terima kasih. | Dalam bentuk kata umum, frasa 'di bawah' digunakan apabila merujuk: i. di kawasan sekeliling rumah dan sebagainya yang bertangga; ii. di ruang kosong di antara tiang rumah atau kaki meja (kerusi dan sebagainya); iii. yang terletak pada baris (ruang dan sebagainya); iv. kurang daripada; v. berada dalam atau tertakluk pada (peraturan, undang-undang, bimbingan, arahan, kuasa, dan sebagainya). Pemakaian bahasa dalam bidang undang-undang kadangkala tidak persis dalam penulisan umum. Bahasa dalam undang-undang mempunyai larasnya tersendiri dan penggunaannya terhad dalam bidang tersebut | Tatabahasa | 26.09.2013 |
Saya perlu pengesahan DBP sama ada penggunaan 'di bawah' dan 'dalam' dalam ayat ini betul /tidak- "Keputusan tersebut telah diwartakan di bawah Kaedah 21 dalam subbutiran 21 (22) (b) Kaedah-Kaedah Tanah Selangor (Pindaan) 2011" | Dalam bentuk kata umum, frasa 'di bawah' digunakan apabila merujuk: i. di kawasan sekeliling rumah dan sebagainya yang bertangga; ii. di ruang kosong di antara tiang rumah atau kaki meja (kerusi dan sebagainya); iii. yang terletak pada baris (ruang dan sebagainya); iv. kurang daripada; v. berada dalam atau tertakluk pada (peraturan, undang-undang, bimbingan, arahan, kuasa, dan sebagainya). Kata sendi 'dalam' pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Berdasarkan huraian tersebut penggunaan kata sendi nama 'dalam' adalah tepat, manakala penggunaan frasa 'di bawah' tidak berkaitan dalam mana-mana panduan penggunaan frasa 'di dalam' yang tersenarai. Walau bagaimanapun hal ini perlu merujuk pakar yang arif dalam hal undang-undang kerana pemakaian bahasa dalam bidang undang-undang kadangkala tidak persis dalam penulisan umum. Bahasa dalam undang-undang mempunyai larasnya tersendiri dan penggunaannya terhad dalam bidang tersebut. | Tatabahasa | 17.02.2011 |
Adakah perkataan beruang mempunyai maksud lain? Adakah perkataan beruang adalah kata tunggal? | Perkataan beruang adalah kata tunggal bagi 'beruang', bermaksud sejenis mamalia buas (yg besar, berbulu tebal, dan berekor kontot) dlm famili Ursidae. Perkataan beruang juga adalah kata terbitan bagi 'ruang', bermaksud mempunyai ruang yang kosong/lapang. | Lain-lain | 13.01.2010 |
Mohon penjelasan penggunaan kata sendi nama -di - dalam ayat di bawah.. 1. Seperti yang tersenarai di dalam atau dalam kertas kerja yang dilampirkan bersama ini. 2.Isi tempat kosong di dalam ruangan yang disediakan. | Ayat yang betul ialah: 1. Seperti yang tersenarai dalam kertas kerja yang dilampirkan bersama ini. 2. Isi tempat kosong dalam ruangan yang disediakan. Penggunaan kata sendi nama yang betul ialah "dalam" kerana surat dan borang bukanlah objek yang mempunyai ruang fizikal yang jelas seperti kotak yang menggunakan frasa "di dalam". | Tatabahasa | 26.09.2014 |
Azlan Acha 5:46 Azlan Acha Azlan Asalmualaikum dewan bahasa budaya dan pustaka... ada no untuk call tak? | Wassalam, Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan sila hubungi kami di : 03-2147 9000 (Bantuan Operator) 03-2147 9483 (Komunikasi Korporat) 03-2147 9345 (Pertanyaan Jawatan Kosong) 03 - 4101 2328 (Buku & Kedai Buku DBP), wasp 019 - 214 1956 03 - 4101 2476 (Langganan Majalah) E-mel: pp@dbp.gov.my 03-2147 9095 (Penyewaan ruang DBP) 03-2147 9382(Unit Laman) | Lain-lain | 05.12.2016 |
Salam Saya hendak bertanya, dalam bahasa Melayu adakah perkataan adangan dan teradang? Kata dasar perkataan ini ialah adang? Apakah maksud kata adangan dan teradang? terima kasih | Mengikut Kamus Dewan, perkataan “Adang” itu sendiri mempunyai beberapa maksud iaitu adang-adang penyekat (yg memisahkan, mengasingkan, dsb): tiap-tiap meja disekat dgn satu ~; ~ pintu penyekat di muka pintu; mengadang 1. = mengadangi menahan (seseorang) drpd dapat lalu atau masuk ke sesuatu tempat (dgn mendepangkan tangan, merintangkan sesuatu, dsb), menghalang(i), menyekat: Hamid ~nya di pintu, tidak mahu memberinya masuk; 2. menyekat laluan (di jalan raya): mereka ~ jalan dgn meletakkan tong-tong kosong; sebatang pokok yg tumbang ~ jalan dan menyebabkan banyak kenderaan terkandas; 3. menunggu dgn tujuan hendak menyergap (menyerang hendap): merancang utk ~ musuh; 4. menuju, memaksudkan, menghadapi; 5. menempuh (bahaya, kesukaran, dsb); musuh jangan diadang, selisih jangan dicari prb pertelingkahan atau perselisihan janganlah dicari-cari; sungguhpun kawat yg dibentuk, ikan di laut yg diadang prb sungguhpun nampaknya tidak ada sesuatu maksud tetapi ada juga benda yg dituju; mengadangkan menggunakan sbg adang, merentangkan (sesuatu), mendepangkan (tangan): diadangkannya lengannya; pengadangan 1. tempat utk mengadang; 2. perbuatan mengadang; pengadang 1. penghalang, perintang (di jalan dll), sekatan; 2. orang yg mengadang (menghalang atau menyekat orang lain); 3. penyamun dsb yg mengadang (menunggu dan menyerang hendap). (Kamus Dewan Edisi Keempat). Saudara yang budiman, Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkataan andang, sdr. boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari" atau sila rujuk Kamus Dewan edisi Keempat. | Tatabahasa | 23.10.2018 |