Adakah DPB menerbitkan buku Panduan Ejaan Rumi edisi terbaru ? | Buku Pedoman Ejaan Rumi Bahasa Melayu edisi baharu belum diterbitkan. Buku yang sedia ada ialah Pedoman Ejaan Rumi Bahasa Melayu terbitan tahun 2004. Sekiranya puan ingin merujuk ejaan rumi yang betul, kami cadangkan supaya puan menggunakan juga buku 'Daftar Kata Bahasa Melayu (Rumi-Sebutan-Jawi)' terbitan tahu 2008. Buku ini boleh didapati di pasaran. Terima kasih. | Lain-lain | 18.01.2010 |
sejarah perkembangan tulisan rumi dari awal hingga kini dan perubahan-perubahan yang berlaku. | Sejarah perkembangan tulisan Jawi termasuklah peristiwa perjanjian penyatuan ejaan Rumi bagi bahasa Melayu dan bahasa Indonesia yang dasarnya dipersetujui pada tahun 1967, Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia yang dirasmikan pengunaannya pada 16 Ogos 1972 dan seterusnya boleh diperoleh melalui pembacaan/kajian buku seperti Pedoman Ejaan Bahasa Malaysia, DBP; Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia, DBP; Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia, DBP. Sila rujuk buku-buku berkenaan atau makalah yang berkaitan. | Lain-lain | 18.08.2009 |
Apakah kekuatan dan kelemahan Sistem Ejaan Rumi Baru 1972 | Sistem Ejaan Rumi Baru 1972 menyelaraskan ejaan bahasa Melayu dan juga diterima pakai di Malaysia dan Brunei. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu (DBP) dan Tatabahasa Dewan. | Lain-lain | 14.08.2009 |
Dalam Daftar Ejaan Rumi-Jawi terbitan 1998 – 1999 perkataan parti dieja pa-alif-ra-ta-ya (ada alif). Dalam Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi (2008) perkataan parti dieja pa-ra-ta-ya (alif dipecat). 1. Ejaan manakah yang betul? 2. Apakah dasar perubahan itu? Terima kasih. | Seperti dalam Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi - Sebutan - Jawi ejaan suku kata tertutup ke atas tidak dilambangkan dengan huruf alif dalam suku kata tersebut seperti yang ada dalam ejaan parti. Huruf alif dalam suku kata tertutup ke atas lazimnya digunakan bagi membezakan dua perkataan yang berlainan. Contohnya dan (sempat) dieja dal nun, manakala dan (kata sendi nama) dieja dal alif nun. | Ejaan | 14.04.2012 |
Apakah ejaan rumi untuk perkataan "baru". Adakah perkataan itu dieja sebagai "baru" atau "baharu" | Kedua-duanya betul dan boleh digunakan. Baru dan baharu sebagai kata adjektif digunakan dalam konteks rumah baru/baharu, tahun baru/baharu, baju baru/baharu. Padanan bahasa Inggerisnya ialah new, manakala baru sebagai kata bantu digunakan dalam konteks baru-baru ini, baru tiba, baru sampai. Padanan bahasa Inggerisnya ialah just. | Ejaan | 30.11.2010 |
Salam, saya ingin tahu tahun berapakah mulanya ejaan rumi diperkenalkan di Tanah melayu, adakah sejak Munshi Abdullah lagi? Setahu saya zaman Abdullah munsyi menggunakan ejaan jawi dalam semua aspek penulisan baik penterjemahan dari B.Inggeris dan persuratan. Siapakah yang menerajui atau memperkenalkan ejaan rumi di tanah melayu? | Merujuk Ensiklopedia Bahasa Melayu, sistem ejaan dan tulisan bahasa Melayu yang berasal daripada huruf Latin (Roman) dan mempunyai sejarah lebih daripada 450 tahun. Huruf Latin yang mula-mula digunakan untuk menulis bahasa Melayu ditemui dalam senarai pelayaran Pigafetta dari Itali pada tahun 1521. Bermula pada abad ke-16 itu, bahasa Melayu terus ditulis dengan huruf Roman oleh pedagang, pengembara dan penjelajah dari Eropah ke Nusantara. Penggunaan huruf Roman untuk menulis kata-kata Melayu ini dapat dilihat dalam catatan dan tulisan yang dihasilkan dalam tempoh hingga akhir abad ke-17. Untuk makluman tuan dalam perancangan bahasa Melayu tumpuan diberikan kepada aspek pembakuan Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu. Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu bermula pada tahun 1904 dan disempurnakan pada tahun 1972. Sistem ejaan rumi yang pernah wujud: a. Sistem Ejaan Wilkinson (1904) – ejaan sekolah Melayu di Malaya. b. Ejaan Za’ba (1949) – ejaan sekolah hingga 1972; c. Sistem Ejaan Fajar Asia – ejaan majalah Fajar Asia (1945-1954); d. Ejaan Rumi Kongres 1956 – ejaan Asas ‘50’ (Angkatan Sasterawan ’50) e. Kaedah Ejaan PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya) – ejaan majalah Bahasa Penyatuan ejaan Rumi antara bahasa Melayu di Malaysia dengan yang di Indonesia bermula pada tahun 1959. Walau bagaimanapun, ejaan bersama yang dipersetujui (Ejaan Malindo tahun 1959) ini tidak dapat dilaksanakan. Persetujuan tentang Sistem Ejaan Rumi Bersama yang ditandatangani pada 27 Jun 1967, telah diisytiharkan penggunaannya serentak di Malaysia dan Indonesia pada 16 Ogos 1972. Di Malaysia sistem ini dikenali dengan nama Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu. | Tatabahasa | 19.03.2013 |
Salam. Saya ingin mengetahui bagaimana ingin membuat rujukan kamus ejaan rumi ke jawi dalam website nasihat DBP. Sekian terima kasih. | Setakat ini DBP belum ada menyediakan Daftar Kata Bahasa Melayu (Rumi-Sebutan-Jawi) secara dalam talian. Namun puan boleh mendapatkan Kamus Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua untuk merujuk kata dalam tulisan Jawi di Kedai Koperasi DBP. Buku ini merupakan edisi yang terkini yang diterbitkan oleh DBP. | Lain-lain | 28.12.2009 |
adakah sistem ejaan bahasa melayu itu sama dengan sistem ejaan rumi bahasa melyu.disini saya keliru diantara kedua-duanya ini.harap pihak tuan sudi membantu memberi penjelasan.terima kasih | Sistem ejaan bahasa Melayu biasanya merujuk sistem ejaan Rumi bahasa Melayu. Saudara boleh merujuk tajuk Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu dalam Daftar Kata Bahasa Melayu, Edisi Kedua, terbitan DBP. | Lain-lain | 09.03.2010 |
Dftar kata bahasa melayu: Rumi-sebutan jawi terbitan 2001 adalah cetakan ke berapa?? | Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi terbitan 2001 merupakan cetakan pertama. | Lain-lain | 12.03.2010 |
Adakah pihak DBP mengeluarkan edisi baru bagi buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia selepas cetakan ketiga yang berwarna ungu ( kulit buku )? Selama ini saya telah cuba mencari di kedai-kedai buku tempatan tetapi dimaklumkan tiada cetakan edisi baru. | Untuk makluman saudara, buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia yang dimaksudkan tidak lagi dicetak baru, sebaliknya DBP telah menerbitkan Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua yang lengkap dan memuatkan daftar kata bahasa Melayu A-Z, Pedoman Umum Ejaan Rumi Bahasa Melayu, Ejaan Jawi dan Sebutan Baku. Saudara boleh mendapatkan buku tersebut di kedai buku atau terus menghubungi kedai buku DBP di ibu pejabat. | Lain-lain | 20.07.2009 |