Ayat yang manakah lebih sesuai? 1. Rumput-rumput panjang itu ditebas dengan berhati-hati oleh Encik Rosli. 2. Rumput-rumput panjang itu ditebas oleh Encik Rosli dengan berhati-hati. | Ayat 2. | Tatabahasa | 11.03.2013 |
Salam sejahtera, 1. Pak Salim menyiram sayur supaya tumbuh segar.(dalam gambar tunggal menunjukkan banyak sayur yang sama jenis, jadi guna sayur atau sayur-sayur ?). 2. Seorang pekerja menyabit rumput yang panjang dengan menggunakan sabit.(dalam gambar tunggal menunjukkan banyak rumput,jadi guna perkataan rumput atau rumput-rumput?) 3. Jin An menyorong kereta sorong yang penuh dengan rumput-rumput yang disabit.(dalam ayat sudah ada perkataan penuh, jadi guna rumput atau rumput-rumput?)(belakang perkataan disabit perlu ditambah dengan subjek? atau memadai dengan disabit. Sekian, terima kasih. | 1. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat maksud sayur-sayuran ialah sayuran bermacam-macam (berjenis-jenis) sayur, maka yang betul ialah sayur-sayuran untuk menunjukkan bermacam-macam sayur. 2. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua maksud rumput ialah tumbuh-tumbuhan yang kecil, maka perkataan rumput sudah memadai untuk menunjukkan banyak. 3. Ayat yang betul ialah Jin An menyorong kereta sorong yang penuh dengan rumput yang disabitnya | Tatabahasa | 21.02.2020 |
Apakah kesalahannya? 1) Pengunjung yang ke 1000 pasar raya itu layak menerima hadiah. 2) Jangan cerobohi rumput-rumput yang baru ditanam di taman ini. 3) Wajah Mak Usu mengingatkan saya kepada arwah ibu yang saling tak tumpah seiras. 4) Promosi barangan murah oleh pasaraya menarik perhatian. 5) Haji Khalid gemar cerita mengenai zaman bujangnya kepada anak-anak. | Ayat yang saudara kemukakan terdapat kesalahan dan telah kami perbetulkan. 1) Pengunjung yang ke-1000 pasar raya itu layak menerima hadiah. 2) Jangan pijak rumput-rumput yang baru ditanam di taman ini. 3) Wajah Mak Usu salin tak tumpah arwah ibu dan mengingatkan saya kepadanya. 4) Promosi barangan murah oleh pasar raya menarik perhatian orang ramai. 5) Haji Khalid gemar bercerita mengenai zaman bujangnya kepada anak-anak | Tatabahasa | 05.04.2013 |
1. mesin pemotong rumput atau mesin potong rumput? | Mengikut data kami, penggunaan istilah yang betul ialah mesin potong rumput. | Istilah | 09.02.2017 |
assalammualaikum. di sini saya ada beberapa soalan yang ingin diajukan. diharap pihak tuan dapat membantu. 1. apa beza RUMPUT dengan RUMPAI? 2. SEAGRASS atau SEA GRASS? saya pernah terbaca artikel, "seagrass atau juga rumpai laut ialah... " & satu lagi artikel, "seagrass atau juga rumput laut ialah..." soalan saya yang ke-3: 3. seagrass bermakna RUMPUT LAUT atau RUMPAI LAUT? atas segala perhatian & bantuan tuan, saya dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih. | 1. Rumput ialah sejenis tumbuhan yang melata di bumi (berdaun tirus dan kecil). Rumpai ialah rumput dan tumbuh-tumbuhan kecil lain yang tidak berguna di kawasan yang telah diusahakan. 2. Perkataan yang betul ialah sea grass ialah rumput laut, tidak ada seagrass dalam pangkalan data kami.
| Tatabahasa | 05.07.2012 |
minta bantuan... manakah yang betul. menyabitkan atau mensabitkan.... menyabitkan hukuman/mensabitkan hukuman menyabit rumput/mensabit rumput | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, mensabitkan bermaksud 1. menentukan dengan pasti berdasarkan bukti (atau membuktikan) bahawa seseorang itu bersalah 2. mengisytiharkan hukuman bersalah ke atas seseorang setelah didapati terbukti bersalah melakukan sesuatu kesalahan (jenayah dan sebagainya). Contoh : keterangan saksi pendakwa adalah tidak mencukupi untuk mensabitkan semua yang tertuduh. Oleh it, "menyabitkan hukuman" dan "mensabitkan hukuman' adalah salah. Perkataan "mensabitkan" perlu diikuti oleh orang yang tertuduh bukan "hukuman" . Menyabitkan pula bermaksud menyabit untuk. Contoh: petang itu dia menyabitkan ayahnya rumput untuk lembu ternakan mereka. Menyabit pula bermaksud memotong (padi, rumput, dll) dengan sabit. Contoh: orang tua itu sedang menyabit di bendang; menyabit kelapa mengait kelapa dengan sabit. Oleh itu, perkataan yang betul ialah menyabit rumput. | Tatabahasa | 01.05.2014 |
Tuan, saya ada pertanyaan tentang pertukaran ayat aktif kepada ayat pasif, soalannya adalah seperti berikut; 1. Ibu memotong rumput di halaman rumah. Kalau tukar ke ayat pasif, yang mana satu adalah betul? a. Rumput di halaman rumah dipotong oleh ibu. b. Rumput dipotong oleh ibu di halaman rumah. Apa berkaitan dan perbezaan soalan tersebut dengan jawapan a dan b? Sekian, terima kasih. | Yang betul ialah Rumput di halaman rumah dipotong oleh ibu. | Tatabahasa | 02.08.2010 |
1. Ali menyapu rumput. 2. Ying mei mendengar orang tua itu bercerita. 3. Orang tua itu bercerita kepada murid-murid. Adakah ayat di atas adalah betul? Terima kasih | 1. Ali menyapu rumput. Jawapan: salah 2. Ying mei mendengar orang tua itu bercerita. Jawapan: Betul 3. Orang tua itu bercerita kepada murid-murid. Jawapan: Betul
| Tatabahasa | 22.07.2014 |
Selamat petang. Soalan saya berkenaan menukar ayat aktif kepada ayat pasif yang berikut : 1) Sekawan kambing sedang meragut rumput di padang. A.Pasif --> mana betul, (A) atau (B) ? (A) Rumput di padang sedang diragut oleh sekawan kambing. (B) Rumput sedang diragut oleh sekawan kambing di padang. 2) Murid-murid kelas Tiga Bestari menyusun meja dan kerusi di bilik darjah. A.Pasif --> (A) atau (B) ? (A) Meja dan kerusi di bilik darjah disusun oleh murid-murid kelas Tiga Bestari. (B) Meja dan kerusi disusun oleh murid-murid kelas Tiga Bestari di bilik darjah. Jawapan dan penjelasan pihak tuan dihargai. Terima kasih. | Jawapan yang betul ialah: B. Rumput sedang diragut oleh sekawan kambing di padang. A. Meja dan kerusi di bilik darjah disusun oleh murid-murid kelas Tiga Bestari. | Tatabahasa | 29.07.2011 |
Saudara, bolehkah saudara menjelaskan kemusykilan saya tentang perkara-perkara berikut ? 1. a) Barang-barangnya kecurian malam tadi. b) Barang-barangnya dicuri malam tadi. Mana satukah yang tepat dari segi penggunaan imbuhannya ? 2. a) Hadiah itu dimenangi oleh Wei Lun. b) Hadiah itu dimenangi Wei Lun. c) Rumput-rumput itu dibasahi hujan. Saya inginkan penjelasan tentang penggunaan imbuhan 'di-....i' dan kata sendi nama 'oleh' bagi contoh ayat-ayat tersebut. 3. Antara 'berlepas ke' dan ' berlepas dari', adakah kedua-duanya tepat ? Keprihatinan daripada pihak saudara untuk menghuraikan permasalahan tersebut saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih ! | 1. Barang-barangnya dicuri malam tadi - ayat (imbuhan) yang betul 2. Dalam buku Tatabahasa Dewan, di bawah tajuk Apitan di-...-i diterangkan bahawa apitan di-...-i ialah bentuk pasif bagi meN-...-i, contohnya mempelopori - dipelopori; Gerakan menuntut kemerdakaan negara itu dipelopori oleh kaum bangsawan, mengotori - dikotori; Selepas hujan bilik darjah dikotori oleh tanah lumpur. Kata sendi nama oleh yang kedudukannya selepas kata kerja boleh digugurkan secara pilihan. Ketiga tiga ayat contoh yang diberi adalah betul. 3. Berlepas ke dengan berlepas dari, kedu-duanya adalah betul. Yang pertama menunjukkan tempat yang dituju (berlepas ke angkasa lepas) dan kedua menunjukkan tempat asalnya/punca (berlepas dari Terminal ...) | Tatabahasa | 25.05.2008 |