| Assalamualaikum wbt Apakah perbezaan dan fungsi antara Salinan Kepada (s.k) dan Senarai Edaran dalam penyediaan surat rasmi? Adakah surat s.k. tersebut memerlukan tindakan si penerima s.k. atau sekadar makluman sahaja? Terima kasih. | Salinan kepada dinamakan kepada pihak lain, selain penerima dan pada amalannya salinan kepada dinamakan kepada seorang, dua orang atau tiga orang daripada mereka yang berkepentingan seperti Pengarah dan Ketua Bahagian. Senarai edaran pula mengandungi senarai penerima. Salinan kepada bertujuan untuk memaklumkan pihak berkenaan dan tindakan selanjutnya (jika ada) diputuskan oleh pihak berkenaan. | Tatabahasa | 20.07.2023 |
| SALAM, SAYA INGIN MENDAPAT KHIDMAT NASIHAT BERKAITAN DENGAN SUSUN ATUR SENARAI S.K. (SALINAN KEPADA)..SIAPAKAH YANG PERLU DIDAHULUKAN? ADAKAH PERLU MENGIKUT SENIORITY ATAUPUN PERLU MENDAHULUKAN SENARAI DALAMAN DAHULU? TERIMA KASIH | Saudara, Dalam menulis salinan kepada, penerima disusun mengikut kekananan dan diikuti dengan nama penerima dalaman juga disenaraikan mengikut kekananan. | Lain-lain | 14.06.2010 |
| Bentuk penulisan yang manakah betul bagi contoh di bawah? S.M.K. Seri Setia atau SMK Seri Setia S.K. Taman Midah atau SK Taman Midah | Bentuk yang betul: 1. SMK Seri Setia 2. SK Taman Midah | Ejaan | 17.01.2017 |
| Adakah penulisan bagi perkataan singkatan tidak lagi perlu dipisahkan dengan tanda noktah. Contohnya Y. Bhg. ditulis YBhg. Bagaimana pula dengan singkatan perkataan yang lainnya, seperti salinan kepada ditulis s.k. atau sk? Soalan 2: Bolehkah tuan senaraikan 15 perkataan kata majmuk yang telah mantap maksudnya dan dieja satu perkataan. terima kasih. | Puan Nik, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Sehingga ke hari ini penggunaan noktah masih digunakan bagi pengejaan kata singkatan, sehinggalah ada kata putus atau arahan baharu daripada JKTBM - jawatankuasa Tetap bahasa Melayu. Perkataan yang secara mantap dieja sebagai satu perkataan adalah seperti yang berikut antarabangsa, jawatankuasa, kerjasama, kakitangan, suruhanjaya, olahraga, pesuruhjaya, warganegara, tandatangan, cenderamata, matahari, bumiputera, tanggungjawab, setiausaha | Ejaan | 28.02.2009 |
| Adakah penggunaan short form boleh digunakan dalam surat jemputan rasmi? contoh 12.30 tengah hari dipendekkan menjadi 12.30 tgh. hari / 2.00 ptg. | Singkatan umum dalam surat jemputan rasmi yang lazimnya digunakan ialah s. k. (salinan kepada), b. p. (bagi pihak), u. p. (untuk perhatian) dan sebagainya. Singkatan juga dibolehkan untuk gelaran, seperti Dr. (Doktor), Prof. (Profesor) dan sebagainya. Disarankan menggunakan ejaan penuh, contohnya “tengah hari” dalam ayat lengkap surat jemputan yang sifatnya rasmi, namun singkatan “tgh.” lazimnya dibolehkan penggunaannya dalam lampiran atur cara bagi surat rasmi. (Contohnya 12.00 tgh. - Perasmian). Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Modul Asas Tatabahasa dan Penulisan Dokumen Rasmi (DBP, 2016), halaman 38 – 39 dan Gaya Dewan (DBP, 2023), halaman 169 – 175. | Penyemakan dan penterjemahan | 29.09.2025 |
| 1. Mohon penjelasan tentang perbezaan penggunaan 'ke' dan 'kepada'. 2. Juga tentang perbezaan penggunaan 'dari' dan 'daripada'. 3. Betulkan penggunaan perkataan 'mengenai' hanya boleh digunakan untuk ayat yang membawa maksud kena dan tidak lagi boleh digunakan untuk membawa maksud tentang? Contoh: Tembakan penjenayah itu mengenai dada pengawal keselamatan. 4. Singkatan perkataan selalunya ditulis dengan titik, contoh salinan kepada ditulis s.k. Mengapakah perkataan yang berbahagia dato di tulis YBhg Dato' (tanpa titik)? | 1. Kata sendi nama "ke" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju dan digunakan juga di hadapan kata nama yang menunjukkan waktu atau masa. Contoh: i. Mereka akan ke Kuantan esok ii. Mereka mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa. Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh: i. Sila kembalikan borang ini kepada kerani pejabat itu ii. Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan iii. Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. 2. Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu. Contoh: i. Angin bertiup kencang dari arah selatan ii. Kajian itu dibuat dari sudut ekonomi iii.Kerajaan itu terkenal dari kurun ke-18 lagi. Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh: i. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya ii. Ukiran itu diperbuat daripada kayu iii. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama. 3. Perkataan "mengenai" boleh bersilih ganti penggunaannya dengan kata sendi nama "tentang" walaupun sebenarnya perkataan "mengenai" tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud kena pada. Walau bagaimanapun, penggunaannya perlu melihat konteks ayat. Contoh ayat yang saudara kemukakan itu, perkataan yang betul dan tepat ialah mengenai, bukan kata sendi nama tentang kerana jika ditukar perkataan mengenai kepada tentang, ayat itu tidak mempunyai makna. Untuk keterangan lanjut tentang kata sendi nama ke, kepada, dari, daripada, dan tentang, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 265. 4. Ejaan yang betul untuk kependekan Yang Berbahagia ditulis sebagai YBhg. (ada tanda titik) bukan YBhg | Tatabahasa | 18.02.2010 |
| 1. Bapa saya pergi ke tempat kerja dengan memandu kereta/menaiki kereta. atau boleh diterima kedua-duanya? Terima kasih. 2. Bila kita bubuh nama pada kata nama yang akan bertukar menjadi kata nama khas, adakah semua huruf awal perkataan perlu tukar jadi huruf besar. Contoh: majalah Pintar sepatutnya Majalah Pintar. tahun/kelas 2 Bestari sepatutnya Tahun/Kelas 2 Bestari. 3. Adakah tanda titik wajib ditulis dalam singkatan? contohnya SK Taman Indah sepatutnya S.K. Taman Indah? pusat beli-belah Aeon sepatutnya Pusat Beli-Belah Aeon/AEON? Terima kasih atas tunjuk ajar Tuan supaya saya tidak salah didik anak-anak murid kita. | 1. Kedua-dua perkataan, iaitu memandu kereta/menaiki kereta boleh digunakan dalam contoh ayat yang diberikan. 2. Jika Majalah Pintar merupakan kata nama khas, permulaan perkataan perlu ditulis dengan huruf besar. Walau bagaimanapun, jika nama khas hanyalah nama majalah sahaja, iaitu Pintar, permulaan huruf bagi perkataan majalah, tidak boleh ditulis dengan huruf besar kecuali jika kedudukannya di hadapan ayat. Contohnya, majalah Dewan Bahasa. 3. Penggunaan perkataan yang betul ialah Kelas 2 Bestari. 4. Penggunaan perkataan dan penulisan yang betul ialah SK Taman Indah. 5. Penggunaan perkataan dan penulisan yang betul ialah Pusat Beli-belah AEON. | Tatabahasa | 01.03.2021 |
| Afif Abd RahmanView Profile THURS 15:29 Afif Abd Rahman Afif Assalamualaikum. Saya nak tanya, adakah maksud D/A di dalam satu alamat ialah "Di alamat" ? Saya ingin merujuk kepada contoh alamat ini: Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, D/A Hospital Permai Lama, Jalan Persiaran Permai Bagaimanakah cara penggunaan D/A? Harap dapat membantu. Terima kasih. | Wassalam, Tuan, singkatan tersebut merujuk "Di alamat". Sekiranya ditulis dalam penulisan, singkatan yang betul ialah "d.a." sama seperti "salinan kepada" s.k. | Lain-lain | 03.11.2016 |
| Berdasarkan penjelasan dalam Clik DBP:Berita Harian- 'baru' (just) ialah kata bantu manakala 'baharu' (new) ialah kata adjektif. Apabila saya merujuk Kamus Dewan (Edisi 4) m.s.105 (baharu) dan .s.s 131 (baru),penjelasan yang diberi tidak bermaksud demikian. Tolong jelaskan. | Dalamkamus Dewan, kata “baru” bermaksud belum (tidak) ada sebelumnya, (yang) belum lama wujud (dikeluarkan, diterbitkan dan sebagainya). Perkataan “baharu” pula ialah baru (baharu). Tambahan maklumat yang diberi berdasarkan Kamus Inggeris-Melayu Dewan, baharu biasa digunakan dalam bentuk adjektif seperti untuk menerangkan buku baharu. Kesilapan berlaku kerana tidak menyatakan sumber kedua maklumat tersebut. Sekian, terima kasih. | Makna | 04.12.2008 |
| adakah untuk akronim memerlukan titik, contoh U.K.M, K.T.M.B., Alaihis salam A.S. dan R.A. | Akronim bermaksud kependekan yg terbentuk drpd gabungan huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan yg boleh diujarkan sbg satu perkataan (mis RISDA, MARA); Oleh itu, cara penulisan yang betul ialah UKM, KTMB, a.s. dan r.a. . | Tatabahasa | 29.08.2007 |