Manakah yang betul antara istilah "amanah saham" atau "saham amanah"? Terima kasih. | Istilah yang betul ialah “amanah saham”. | Istilah | 30.10.2024 |
Terjemahan "unit trust" adalah "saham amanah" ataupun "amanah saham"? Terima kasih. | Istilah yang betul untuk "unit trust" ialah amanah saham. | Istilah | 23.04.2014 |
1. Sampai mana harga saham ini akan turun? 2. Sampai tahap apa harga saham ini akan turun? Yang manakah ayat yang gramatis? Terima kasih. | Ayat yang gramatis ialah "Sampai mana harga saham ini akan turun?". | Tatabahasa | 15.08.2013 |
Penggunaan perkataan yang betul. 1. 'penyahsenaraian' dari bursa saham; atau 2. 'pengenyahsenaraian' dari bursa saham. Sekian, terima kasih. | Awalan nyah- bermaksud hapus, buang. Apabila awalan nyah- digabungkan dengan kata senarai maka terbentuk kata nyahsenarai, dan akan membentuk kata terbitan penyahsenaraian. Frasa yang betul ialah penyahsenaraian daripada bursa saham (bukan dari bursa saham). | Tatabahasa | 14.01.2015 |
Apa istilah saham "book building" dalam bahasa Melayu? | Untuk makluman, belum ada istilah bahasa Melayu yang khusus untuk "book building". Harap dapat berikan konsep atau makna istilah tersebut untuk membantu kami memberikan cadangan istilah bahasa Melayu yang sesuai. | Istilah | 11.06.2012 |
Apa perbezaan syer dan saham? Memang sama atau terdapat sedikit perbezaan? | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), "syer" dan "saham" mempunyai makna umum yang sama, iaitu bahagian modal berserta jumlah keuntungan yang terkumpul yang dimiliki oleh seseorang dalam syarikat, dan pemegangnya berhak mendapat dividen daripada keuntungan syarikat. Makna ini bergantung kepada kesesuaian maksud dan konteks penggunaannya. Untuk mencari perbezaannya, saudara disarankan merujuk pakar bagi bidang berkenaan. | Makna | 20.11.2024 |
Salam sejahtera, Mohon bantuan tuan/puan untuk menyemak terjemahan berikut: Sumber: our employees, shareholders or customers Terjemahan 1: para pekerja, pemegang saham dan pelanggan Terjemahan 2: para pekerja, para pemegang saham dan para pelanggan Adakah wajar 'para' diulang berkali-kali dalam terjemahan berkenaan? Terima kasih. | Sudah memadai untuk menterjemah our employees, shareholders or customers sebagai para pekerja, pemegang saham dan pelanggan kami. | Penyemakan dan penterjemahan | 17.02.2018 |
Salam 1 Malaysia. 1. Pensyarah kursus Penterjemahan memaklumkan yang bagi Bahasa Melaysia moden sekarang perkataan 'telah' tidak digunakan lagi. Contoh: 'saham syarikat A telah jatuh 50%'. Jadi sepatutnya 'saham syarikat A jatuh 50%'. Tetapi saya lihat melalui panduan penggunaan tatabahasa yang betul yang dibentangkan di MOSTI oleh DBP, masih digunakan perkataan 'telah'. 2. Kami jugak dimaklumkan bahawa perkataan tidak digandakan. Contoh : 'projek dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang berkaitan' ditulis sebagai 'projek dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan'. Mohon panduan berkaitan perkara ini. Terima kasih. | Maklumat yang disampaikan oleh penceramah tersebut lebih kepada gaya penulisan dan nilai ekonomi. Kecenderungan penulis pada masa kini tidak lagi menggunakan kata telah dan kata ganda dalam penulisan mereka. Penulis tidak lagi menggunakan kata telah terutamanya dalam melaporkan peristiwa yang telah berlaku, seperti "Saham syarikat A jatuh sebanyak 50% ...". Begitu juga dengan penggunaan kata jamak. Penulis lebih gemar tidak mengulangi perkataan yang sememangnya diketahui umum bersifat jamak, seperti "peserta-peserta seminar" dan "negara-negara yang bersidang". Seminar dan persidangan semestinya melibatkan ramai peserta dan banyak negara. | Tatabahasa | 22.10.2011 |
DEFINISI PIHAK BERKEPENTINGAN | Kepentingan bermaksud mempunyai kepentingan, iaitu perihal sifat penting, peri mustahak, keperluan; sesuatu yang penting (dituntut, dihargai) demi kebaikan, manfaat; hak atau saham dalam sesebuah syarikat. Pihak berkepentingan boleh didefinisikan sebagai pihak yang mempunyai hak atau saham dalam sesuatu perkara, atau mempunyai keperluan, atau inginkan sesuatu manfaat. | Makna | 01.03.2008 |
Salam dan terima kasih atas bantuan pihak Tuan/Puan. Dalam konteks perniagaan/perdagangan, istilah "whipsaw" merujuk kepada pergerakan harga yang pantas diikuti oleh perubahan harga yang mendadak ke arah yang bertentangan. Seorang pelabur yang menjangka penerusan ke arah pergerakan harga saham yang selamat mungkin mengalami "whipsaw" dalam pasaran saham yang turun naik. Apakah terjemahan "whipsaw" yang sesuai (jika ada)? | Belum ada terjemahan whipsaw dalam Bahasa Melayu. Terjemahan yang paling hampir untuk menerangkan situasi yang tersebut secara umum ialah ialah pergerakan - pergerakan harga saham. | Penyemakan dan penterjemahan | 22.08.2019 |