| Tuan, "tidak setuju dengan keadaan bahasa salah" atau "tidak setuju akan / kepada keadaan bahasa salah" frasa yang betul? "Dengan" bermaksud bersama, jadi "tidak setuju dengan keadaan bahasa salah" bermaksud kita tidak setuju akan sesuatu perkara bersama "keadaan bahasa salah" yang seolah-olah manusia yang dapat menyertai kita, maka salahlah maksud. Sendi nama yang tepat "kepada / akan" yang bermaksud sasaran, maka betullah frasa "tidak setuju akan / kepada keadaan bahasa salah" kerana frasa ini bermaksud bahawa "keadaan bahasa salah" perkara sasaran untuk perbuatan "tidak setuju". Betulkah pendapat saya? | Menurut data kami, kata sendi nama "dengan" digunakan untuk membawa maksud bersama-sama atau beserta, cara sesuatu itu dilakukan, memakai atau menggunakan sesuatu sebagai alat, dan menyatakan perbandingan yang serupa atau sama manakala kata sendi nama "akan" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif dan kata sendi nama "kepada" pula untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Merujuk kepada ayat tuan di atas, penggunaan frasa "keadaan bahasa salah" tidak gramatis dan frasa yang lebih tepat ialah "penggunaan bahasa yang salah". | Tatabahasa | 22.12.2016 |
| 1. Bolehkah ayat dimulakan dengan perkataan 'atas'? Contoh: Atas kerjasama tuan, kami dahului dengan ucapan terima kasih. Dan kalau ayat itu betul, dalam situasi yang manakah, ayat menjadi salah jika dimulakan dengan 'atas'? 2. Kata kerja transitif mesti diikuti dengan objek. Contoh: Ali menceritakan kisah itu. Ayat itu menjadi salah jika ayat begini: Ali menceritakan tentang kisah itu. Menjadi kekeliruan jika kata kerja transitif begini boleh pula dibenarkan. Contohnya: Dia menerangkan bahawa... ATAU Dia mencadangkan supaya.... | Saudara, 1. Ayat ini betul. Ayat ini salah apabila dimulakan dengan di atas. 2. Dalam ayat transitif kata kerja transitif diikuti oleh objek, seperti dalam ayat 'Dia menceritakan kisah itu'. Dalam ayat 'Dia menerangkan bahawa murid itu telah pulang ' , bahawa murid itu telah pulang merupakan objek kepada kata kerja transitif 'menerangkan' dan ayat bahawa murid itu telah pulang seolah-olah menjadi objek kepada kata kerja transitif itu. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 13.11.2009 |
| 1. Adakah perkataan 'jarang' boleh dimaksudkan sebagai 'kadang-kadang'? 2. -menceritakan tentang/mendoakan agar dianggap salah kerana KKTransitif perlu diikuti dengan objek. Bagaimana dgn ayat seperti yg berikut: mencadangkan supaya/menyatakan bahawa/memaklumkan bahawa? 3. Bolehkan 'ia' dirujuk kepada haiwan, sedangkan tiada dinyatakan dalam Kamus Dewan, 'ia' boleh digunakan utk haiwan? | 1. Perkataan jarang juga bermaksud kadang-kadang kerana terdapat persamaan makna antara kedua-dua perkataan tersebut, iaitu tidak kerap. 2. Kata kerja transitif diikuti oleh objek, seperti dalam ayat "Dia memaklumkan bahawa murid itu telah pulang" - bahawa murid itu telah pulang merupakan objek kepada kata kerja transitif memaklumkan dan ayat bahawa murid itu telah pulang seolah-olah menjadi objek kepada kata kerja transitif itu. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga. 3. Ia selain kata ganti nama diri ketiga juga kata ganti benda yang dibicarakan. Merujuk makna yang tersebut ia boleh digunakan untuk benda yang dibicarakan termasuklah binatang. | Tatabahasa | 11.06.2010 |
| Assalamualikum. Tuan, saya ingin bertanya berkaitan dengan penggunaan perkataan berimbuhan "merbahayakan". apa yang kita maklum bahawa tiada imbuhan Mer_ dalam bahasa Melayu. tetapi dalam satu kursus berkaitan tatabahasa yang saya hadiri, salah seorang penceramah menyatakan bahawa perkataan itu telah diterima pakai oleh pihak DBP. Adakah benar kenyataan penceramah itu? Jika benar, apakah rasional pihak DBP menerima perkataan "merbahaya" sebagai perkataan yang mempunyai makna? Jika alasan penerimaan penggunaan perkataan tersebut atas alasan telah mantap digunakan, maka saya sebagai guru Bahasa Melayu berasa amat kesal kerana pihak DBP seolah-olah tunduk kepada kesalahan. Sekian harap maaf dan terima kasih. | Kamus Dewan Edisi Keempat, merakamkan perkataan merbahaya tetapi ditulis: merbahaya -> marabahaya. Tanda anak panah (->) bererti lihat perkataan di hadapannya. Oleh itu, perkataan yang betul ialah marabahaya. Kami khuatir maklumat ini disalah faham oleh pembaca yang melihat kamus. DBP konsisten dalam hal ini dan sehingga kini tiada sebarang perubahan, perkataan yang betul ialah marabahaya atau berbahaya, iaitu kata bahaya yang menerima awalan ber-. | Tatabahasa | 21.05.2015 |
| Pada 14 /11/12. Waktu berita utama TV3. Seorang tokoh politik yang sangat terkenal kononnya memperjuangkan Bahasa melayu/kebangsaan . Sempena meraikan sambutan hari devepavali beliau telah telah mengunakan imbuhan yang saya kurang pasti betul atau salah penggunaannya, iaitu berdeepavali dan bertahun baru. Ini bukan lah kali pertama beliau mengeluarkan perkataan yang pelik pelik. Bagi saya ini adalah satu pencemaran. | Penggunaan perkataan berdeepavali tersebut seolah-olah menyamakannya dengan perkataan berhari raya, iaitu merayakan hari raya. Namun pembentukan perkataan tersebut adalah tidak gramatis kerana kita juga tidak menggunakan ungkapan beraidilfitri dalam konteks merayakan hari raya Aidilfitri. | Tatabahasa | 15.11.2012 |
| Selamat sejahtera, kenapa bahasa Melayu hari ini dilihat banyak menyempitkan makna perkataan? Contohnya dlm perkataan "salam". Dpt diperhatikan, kata "salam" hanyalah digunakan dlm golongan kata iaitu kata sifat dan kata nama semata-mata, padahal perkataan itu juga boleh diperluaskan dan digunakan dlm bentuk kata seru, tak salah sekiranya dipadankan dgn kata seru "helo", "hai" dan "selamat tinggal" memandangkan hal itu dpt dibuktikan dgn penggunaannya sehari-hari khususnya dlm masyarakat Nusantara ini sendiri yg byk menggunakannya sbg kata seruan. Contohnya ialah, "Salam, saya dari Johor!". Sekian. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020:1936) kata salam diberikan takrifan seperti yang berikut: salam1 سلام kata nama 1 ungkapan tertentu spt “assalamualaikum”, “selamat pagi” dan “salam sejahtera” yg diucapkan sbg tanda hormat kpd sso ketika bertemu, sebelum memulakan ucapan dsb: Dia langsung tidak menjawab salam yg kuberikan.◊Aku mengucapkan salam saat bertemu dengannya. 2 tangan yg dihulurkan utk berjabat dgn sso sbg tanda hormat ketika mula bertemu atau hendak berpisah: Dia tidak akan menghulurkan salam kpd perempuan yg bukan mahramnya. 3 ungkapan “assalamulaikum” yg disebut apb memalingkan muka ke kanan dan ke kiri sebelum mengakhiri solat; 4 digunakan dlm ucapan, surat dsb, utk menyatakan sst perasaan, meraikan sso atau sst peristiwa dll: Salam Aidilfitri buat ayahanda dan bonda di kampung.◊Terimalah salam sayang drp kami di perantauan. kata adjektif 5 aman damai atau sejahtera: suasana yg salam; salam kaut, salam keruk bahasa basahan perbuatan bersalaman sambil menghulurkan wang oleh tetamu kpd tuan rumah, terutamanya ketika kenduri kahwin: Salam kaut ini seolah-olah sudah menjadi budaya setiap kali menghadiri majlis perkahwinan. salam takzim ucapan salam sbg tanda hormat kpd sso atau sst pihak: Saya mengambil kesempatan ini utk menyampaikan salam takzim Yang Berhormat, yg tidak dapat hadir pd pagi ini. 2. Oleh sebab itu, salam dalam ayat "Salam, saya dari Johor!" masih berkelas kata nama, dan maknanya terkandung dalam pecahan makna keempat iaitu ungkapan yang digunakan dalam ucapan, surat dan sebagainya, untuk menyatakan sesuatu perasaan, meraikan seseorang atau sesuatu peristiwa dan lain-lain. 3. Dalam Tatabahasa Dewan (DBP, 2008: 255) menyatakan kata seru ialah bentuk kata yang berfungsi melahirkan berbagai-bagai perasaan dan digunakan dalam ayat seruan. Contoh kata seru ialah: aduh, amboi, cis, oh, celaka, eh, wah, syabas, aduhai, wahai, dan sebagainya. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut: 44. Aduh, sakitnya kakiku! 45. Cis, terimalah tikamanku! 46. Celaka, habis tanamanku dimusnahkannya! 4. Dalam mana-mana bahasa, makna unit leksikal dalam lingkungan domain tunggal dapat dihubungkan dengan satu sama lain mengikut empat cara yang asas iaitu: perhubungan itu mungkin (1) menular, (2) bertindihan, (3) terkandung, dan (4) saling melengkapi. Kata ‘salam’ dikatakan berbeza daripada kata ‘hai’, ‘hello’ dan ‘selamat tinggal’ kerana fitur dalam domain tunggalnya tidak berhubung dengan kata-kata tersebut. Secara mudahnya, makna unit leksikal kata ‘salam’ tidak sepadan dengan makna kata ‘hai’, ‘helo’ dan ‘selamat tinggal’. Oleh hal demikian, kata ‘salam’ tidak dapat dikelaskan dalam golongan kata seru. 5. Dalam proses peminjaman kata, penyempitan makna atau peluasan makna berlaku dalam bahasa sasaran. Bahasa Melayu juga tidak terkecuali dalam proses pemberian makna sesuatu kata, khususnya dalam penganalisisan makna setiap kata yang dipinjam atau diserap. Contoh kata pinjaman yang mengalami perbezaan makna daripada bahasa asalnya ialah aljabar, amaun, beta, gahara dan grenad. Sila rujuk maklumat etimologi dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Makna | 02.08.2022 |
| Salam Ramadan, 1. Apakah golongan kata bagi: a) atas? b) di atas? 2. Dalam buku Tatabahasa Dewan, kata 'atas' merujuk kepada kata arah sedangkan ada Munsyi Dewan yang mengatakan bahawa 'atas' ialah KATA SENDI NAMA manakala frasa 'di atas' ialah KATA ARAH. Apakah pendapat tuan dalam hal ini? 3. Apakah penjodoh bilangan bagi klip kertas atau klip besi? 4. Mengapakah perkataan memperolehi, mempersetujui, memperbaiki, memperdalami dan memperhalusi dianggap tidak gramatis dalam bahasa Melayu? 5. Apakah bedanya kata 'meningkatkan' dan 'mempertingkatkan'? 6. Ayat: Malangnya, kini, pemimpin-pemimpin negara khasnya pemimpin Melayu seolah-olah menganggap perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sudah sampai ke penghujungnya. Betul atau salah rangkai kata 'sudah sampai ke penghujungnya'? Terima kasih. | 1 dan 2. Atas ialah kata arah dan kata arah lazimnya hadir sebelum frasa nama atau sesudah kata sendi nama untuk menunjukkan hala atau jurusan. Perkataan "di" merupakan kata sendi nama. Oleh itu frasa di atas ialah frasa sendi nama. 3. Apakah penjodoh bilangan bagi klip kertas atau klip besi? Penjodoh bilangan yang paling hampir untuk digandingkan dengan klip kertas ialah keping. Walau bagaimanapun lazimnya klip kertas dikira dalam bentuk unit, iaitu satu, dua dan tiga atau dalam jumlah yang lebih besar sekotak klip. 4. Mengapakah perkataan memperolehi, mempersetujui, memperbaiki, memperdalami dan memperhalusi dianggap tidak gramatis dalam bahasa Melayu? Apitan memper.....i wujud hasil daripada perkembangan bahasa, iaitu keperluan menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Setakat ini hanya bentuk yang berikut sahaja yang wajar dianggap sebagai jenis kata kerja yang terbentuk dengan apitan memper.....i iaitu: memperingati, memperkawani, mempersuami, dan memperisteri sebenarnya berbentuk mempersuamii dan memperisterii tetapi telah berlaku pengguguran satu huruf i dalam kedua-dua perkataan ini Bentuk yang lazim digunakan merupakan bentuk terbitan yang lewah dan sepatutnya dieja seperti yang berikut: memperolehi seharusnya memperolehmemperbaiki seharusnya memperbaikmemperkuasai seharusnya menguasaimemperdalami seharusnya mendalami memperakui seharusnya mengakui/ memperakukan mempersetujui seharusnya menyetujui memperhalusi seharusnya menghalusi. 5. Apakah bedanya kata 'meningkatkan' dan 'mempertingkatkan'? Meningkatkan ialah meninggikan kedudukan (taraf dll), membesarkan (pengeluaran dll), memperhebat: daya usaha ini akan ~ kemungkinan pertumbuhan ekonomi; kerjasama antara parti-parti komponen BN perlu ditingkatkan lagi; ~ diri Mempertingkatkan ialah menjadikan lebih tinggi atau lebih besar lagi (kedudukan, taraf, mutu, hasil pengeluaran, dll), menjadikan lebih hebat (giat, erat, dll), memperhebat: peranan ~ mutu bahasa Melayu tidak terletak di bahu pengkaji dan peminat bahasa sahaja; sikap kejam Soviet itu telah menambah keazaman Mujahideen utk ~ perjuangan mereka; 6. Ayat: Malangnya, kini, pemimpin-pemimpin negara khasnya pemimpin Melayu seolah-olah menganggap perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sudah sampai ke penghujungnya. Ayat tersebut betul. | Tatabahasa | 19.07.2013 |
| Salam sejahtera, Tuan/Puan, Soalan saya berkenaan dengan maksud dan penggunaan kata "cebur" dan "kecimpung", dan kenapa terdapat 2 perkataan berlainan tapi dengan maksud sama (jika maksud kedua-dua perkataan ini adalah sama)? Contoh konteks penggunaan dua perkataan ini bagi persoalan saya ialah berikut; dan saya mengambil contoh dari artikel (https://www.ukm.my/news/arkib-berita/year-2014/april-2014/graduan-harus-menceburi-perniagaan-bukan-makan-gaji/) Perenggan 4: "Bagaimana pun Shamsuddin menggalakkan mereka yang ingin menceburi perniagaan perlu mewujudkan peluang baru perniagaan dan bukannya berkecimpung dalam perniagaan yang sudah sedia ada." Dalam perenggan ini, perkataan "menceburi" seolah-olah bermaksud bahawa baru mahu bermula untuk melibatkan diri dalam perniagaan. Perkataan "berkecimpung" pula seakan-akan sudah lama bergiat dalam bidang perniagaan. Oleh yang demikian, pemahaman saya ialah kedua-dua perkataan tersebut boleh digunakan untuk menggantikan sesama perkataan, bergantung kepada penyusunan semula ayat, tetapi perbezaan antara dua ini ialah dari segi penggunaan: "cebur" bagi sesuatu yang baru hendak melibatkan diri, manakala "kecimpung" adalah bagi yang telah lama melibatkan diri. Soalan saya, adakah pemahaman saya ini betul atau salah? Sekian, terima kasih. | Berdasarkan petikan “Bagaimanapun Shamsudin menggalakkan mereka yang ingin menceburi perniagaan perlu mewujudkan peluang baru perniagaan dan bukannya berkecimpung dalam perniagaan yang sudah sedia ada” Pemahaman tuan dalam konteks petikan tersebut betul kerana “ingin menceburi” bermaksud baru/berhasrat untuk berniaga. Manakala “berkecimpung” dalam petikan tersebut merujuk kepada perniagaan yang sedia ada. Kata “cebur” dan “kecimpung” ialah kata nama yang bemaksud “bunyi seperti benda yang besar jatuh ke dalam air”. Kata “menceburi” dan “berkecimpung” pula menbawa makna kiasan iaitu “melibatkan diri secara aktif dalam sesuatu pergerakan, kegiatan ekonomi, politik dan sebagainya”. Kata “menceburi” dan “berkecimpung” boleh bertukar ganti penggunaannya berdasarkan konteks ayat. Perkataan yang berbeza, namun mempunyai maksud yang sama membuktikan kekayaan kosa kata bahasa Melayu. | Tatabahasa | 03.12.2021 |
| Shafini Latif Jun 13th, 7:16pm Assalamualaikum, mohon pencerahan daripada pihak tuan, baru2 ini saya telah ditegur kerana menggunakan perkataan 'Jakun' dianggap tidak menjaga sensitiviti, kononnya jakun hanya khusus untuk orang asli tidak lagi boleh dipakai untuk membawa maksud lain. saya tidak tahu ada perubahan begitu. kerana padakali terakhir saya menyemak kamus Jakun membawa 3 maksud termasuk 'sangat mudah kehairanan apabila ternampak sesuatu yang baru kerana belum pernah melihatnya dahulu'. adakah benar salah jika menggunakan perkataan jakun bagi membawa maksud lain? ada akta ke? | Ini data korpus berkaitan kosa kata jakun. Jakun penduduk asli Semenanjung Malaysia (yg diam di hutan-hutan Pahang, Johor dan Negeri Sembilan) - Kamus Pelajar Edisi Kedua Jakun II penduduk asli Semenanjung Malaysia drpd suku kaum Melayu-Proto yg tinggal di selatan Semenanjung (hutan Pahang, Johor dan Negeri Sembilan) - Kamus Dewan Edisi Keempat jakun I perkataan Minangkabau yang bermaksud halkum - Kamus Dewan Edisi Keempat Jakun penduduk asli Semenanjung Malaysia (yg diam di hutan-hutan Pahang, Johor dan Negeri Sembilan) - Kamus Pelajar Selain itu, berdasarkan sumber rujukan kami hanya dua maksud yang tersebut membawa maksud jakun, berkemungkinan terdapat dialek di daerah tertentu memberikan peluasan makna kepada kata jakun untuk maksud yang lain lagi. Perkataan yang sesuai ialah kolot. Kolot (adjektif) yang bersinonim dengan kuno: mundur, terkebelakang, primitif, konservatif, ortodoks, tidak maju, cara lama, cara purbakala, dan juga bersinonim dengan jumud: kaku, beku, Antara perkataan lain yang sesuai ialah hairan, iaitu 1. berasa pelik atau ganjil ketika melihat atau mendengar sesuatu, takjub, kagum: ~ saya melihat orang-orang buta di situ menganyam bakul dgn berbagai-bagai bentuk dan corak; 2. aneh, ajaib, pelik, ganjil: ~ sungguh, mesin itu dapat memberi jawaban kpd masalah itu dgn begitu pantas; ~ bin ajaib aneh sekali, sungguh aneh; menghairani berasa hairan terhadap, mengagumi: sekali lagi ia ~ segala apa yg hendak diajar oleh ayahanda saudaranya itu seolah-olah telah diketahuinya terlebih dahulu; menghairankan menimbulkan rasa hairan (pelik, aneh, ganjil): kepintaran perompak itu melepaskan diri di tengah-tengah orang ramai sangatlah ~; keganjilan kelakuan laki-laki itu sungguh-sungguh ~; terhairan-hairan berasa sungguh hairan, tercengang-cengang (kerana hairan): berdirilah dia di situ ~; kehairanan 1. = kehairan-hairanan dlm keadaan hairan, sangat hairan: dia tercengang-cengang ~ melihat kejadian yg tidak disangka-sangka itu; dia berdiri dlm ~ di hadapan mereka; 2. keanehan, kepelikan, keganjilan: ~ kelakuannya itu tidak dihiraukan orang lagi apabila diketahui bahawa dia gila. Untuk maklumat lanjut boleh menggunakan perkhidmatan percuma yang disediakan oleh DBP, iaitu http://prpm.dbp.gov.my | Istilah | 13.06.2015 |