| Syams El-Bahri El-Banjari WED 17:24 Syams El-Bahri El-Banjari Syams Assalam'alaikum... Salam kenal. Saye dari Kuala Tungkal-Jambi. Saya nak tanye, apakah Saye bise dapatkan buku novel Selempang Merah Panglima Shaleh oleh Zahara Nawawi? | Waalaikumussalam. Untuk makluman, buku Selempang Merah Panglima Saleh masih dalam proses cetak semula. Mohon hubungi Encik Abd Khalid di Bahagian Pemasaran DBP melalui alamat e-mel abd.khalid@dbp.gov.my untuk mendapatkan perkembangan buku ini. Terima kasih. | Lain-lain | 23.11.2016 |
| Salam sejahtera, Tuan / Puan Bolehkah Tuan/Puan nyatakan ayat manakah yang betul? 1a) Cuba anda kenal pasti aplikasi kestabilan dalam situasi harian kita. 1b) Cuba anda kenal pastikan aplikasi kestabilan dalam situasi harian kita. 2a) Berat seluruh objek tertumpu di pusat graviti objek itu. 2b) Berat seluruh objek tertumpu pada pusat graviti objek itu. 3a) Objek menjadi tidak stabil apabila disokong di luar pusat graviti. 3b) Objek menjadi tidak stabil apabila disokong pada luar pusat graviti. Sekian, terima kasih. CK | Yang betul adalah seperti yang berikut: 12) Cuba anda kenal pasti aplikasi kestabilan dalam situasi harian kita. 2b) Berat seluruh objek tertumpu pada pusat graviti objek itu. 3b) Objek menjadi tidak stabil apabila disokong di luar pusat graviti. | Tatabahasa | 08.12.2011 |
| Assalamualaikum dan salam sejahtera. 1) Teliti ayat-ayat di bawah, kemudian kenal pasti kata nama am dan kata nama khas dalam setiap ayat berikut. 2) Teliti ayat-ayat di bawah. Kemudian, kenal pasti kata nama am dan kata nama khas dalam setiap ayat berikut. Tuan, antara kedua-dua arahan di atas, yang mana satukah betul dari segi tanda bacanya? Mohon penjelasan. Terima kasih. | Teliti ayat-ayat di bawah, kemudian kenal pasti kata nama am dan kata nama khas dalam setiap ayat yang berikut. | Tatabahasa | 01.02.2017 |
| Salam sejahtera, Adakah kedua-dua ayat di bawah juga betul? Ali kenal benar akan lelaki yang sedang berbual-bual dengan ayahnya. Ali kenal amat akan lelaki yang berbual-bual dengan ayahnya. sekian. | Kedua-dua ayat adalah salah. Ayat yang betul ialah: 1. Ali amat mengenali lelaki yang berbual dengan ayahnya. 2. Ali benar-benar mengenali lelaki yang sedang berbual-bual dengan ayahnya. | Tatabahasa | 11.01.2012 |
| Salam sejahtera. Apakah terjemahan yang betul bagi perkataan "ice breaking"? Adakah "suai kenal" adalah terjemahan yang betul? Adakah terdapat terjemahan atau cadangan lain yang lebih tepat? | Istilah suai kenal atau orientasi boleh digunakan sebagai padanan "ice breaking" bergantung pada konteks dan situasi. | Istilah | 25.11.2009 |
| Salam sejahtera, Ayat manakah yang lebih tepat? 1. orang yang tidak aku kenali itu menyapaku. 2. orang yang tidak aku kenal itu menyapaku. Mohon penjelasan tentang perkataan kenal dan kenali. Terima kasih banyak | Ayat yang betul ialah Orang yang tidak aku kenali itu menyapaku. Kenali digunakan bagi ayat pasif kata ganti nama diri pertama dan kedua. | Tatabahasa | 06.07.2016 |
| Salam sejahtera. Saya ingin bertanya tentang kesalahan pada papan tanda premis perniagaan yang saya dapat kenal pasti. Antaranya: 1)Perabut Rejek/Terpakai 2)Keropok Leko 3)Pusat Pakaian Alfa Boutique's Collection 4)Ikan Bakar Special | Struktur tatabahasa yang betul dalam papan tanda perniagaan ialah: a. Kedai Perabot Terpakai b. Kedai Keropok Lekor c. Pusat Pakaian ( DBP tidak berkuasa untuk mengubah nama kedai yang telah didaftarkan seperti ALFA BOUTIQUE'S COLECTION) d. Kedai Ikan Bakar Istimewa | Tatabahasa | 22.04.2014 |
| Salam sejahtera, izinkan saya untuk luahkan lagi pandangan dan cadangan saya tentang bahasa Melayu. Saya pernah menonton saluran televisyen Thailand dan pernah menonton siaran beritanya. Saya sangat terkejut kerana siaran beritanya masih lagi menggunakan tulisan Jawi disamping tulisan Thai. Kita sudah tahu dan kenal dengan masyarakat Thai yang sangat mencintai bahasa mereka dan dasar kerajaan mereka yang mengamalkan satu bahasa yakni bahasa Thai sebagai bahasa kebangsaan mereka tetapi mereka masih juga menyiarkan tulisan Jawi di saluran televisyen mereka kerana mereka juga cinta kepada bahasa serumpun iaitu bahasa Melayu dan mahu bersatu padu dengan bangsa Melayu kerana mereka pernah menjajah Tanah Melayu di Selatan Thai yang dulunya dikenali sebagai Patani. Saya sebenarnya rasa sangat kagum dengan kerajaannya yang berpandangan jauh dalam mencapai semangat perpaduan di kalangan warganegaranya. Selain memberikan kemudahan prasarana kepada penduduk Melayu, kerajaan Thai juga menyiarkan saluran berita berbahasa Melayu loghat Patani atau Kelantan setiap Jumaat biasanya serta menyiarkan tulisan Jawi dalam saluran beritanya tapi soalnya, kenapa tulisan Jawi tidak disiarkan di saluran televisyen Malaysia? kenapa surat khabar juga sudah tidak menggunakan tulisan Jawi? Sekarang saya rasa tersangat sedih dengan bahasa dan tulisan kita. Bagi saya tulisan adalah budaya bangsa. Kalau tulisan kita boleh lenyap. Jadi, tak mustahil bahasa dan budaya kita juga pun boleh lenyap. | Terima kasih atas makluman yang disampaikan. Agak sedih kerana akhbar tulisan Jawi di negara kita juga tidak lagi diterbitkan. Walau bagaimanapun, berita yang menggembirakan kita ialah pelaksanaan tulisan Jawi dalam paparan awam di beberapa wilayah pihak berkuasa tempatan, seperti yang telah diketahui umum iaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu, juga Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Majlis Perbandaran kemaman. | Lain-lain | 17.11.2015 |
| Salam sejahtera SULAIMAN KAIAT, Soalan : 01 Bagaimanakah caranya untuk mengasingkan suku kata bagi sesuatu perkataan ? Adakah mengikut sebutan perkataan atau terdapat cara yang lain ? 02 Bagaimanakah caranya hendak mengasingkan dua perkataan di bawah ? ( a ) mengelakkan Jawapan guru sekolah ialah me + nge + lak + kan ( b ) ampaian Jawapan guru sekolah ialah am + pa + ian Adakah jawapan bagi kedua-dua perkataan adalah salah, tolong beri tunjuk ajar. Tolong beri jawapan dengan secepat mungkin kerana kami menerima aduan daripada ibu bapa. Segala kerjasama daripada pihak tuan amat saya hargai. Sekian, terima kasih. | Kenal pasti kata dasar tersebut dan seterusnya mengenal pasti imbuhan pada perkataan tersebut untuk mengasingkan suku kata. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Daftar Kata Bahasa Melayu atau Daftar Umum Sebutan Baku Bahasa Melayu dan Tatabahasa Dewan. Suku kata untuk mengelakkan ialah 'meng + e + lak'. Suku kata ampaian pula ialah 'am + paian'. Harap maklum. | Tatabahasa | 23.07.2008 |
| Salam, Harap berikan sedikit tip tentang penggunaan imbuhan "kan'. Saya perhatikan bahawa sama ada imbuhan itu ada ataupun tidak ada, perkataan masih berbentuk kata kerja. Jadi, saya sedikit keliru sama ada nak tambah "kan" ataupun tidak. Terima kasih. | Kata kerja tidak semestinya mempunyai imbuhan kerana kata kerja terdiri daripada empat bentuk, iaitu kata kerja tunggal, kata kerja terbitan, kata kerja majmuk dan kata kerja ganda. Kata kerja tunggal ialah kata yang terbentuk tanpa imbuhan. Contohnya, terbang. Kata kerja terbitan ialah kata kerja yang terhasil daripada proses pengimbuhan, sama ada awalan, akhiran, apitan atau sisipan. Contohnya, memasak, bukukan, membesarkan dan menggeletar. Kata kerja majmuk terdiri daripada rangkaian dua morfem bebas atau lebih. Contohnya, kenal pasti. Kata kerja ganda pula merupakan proses yang hanya menggandakan kata dasar tanpa melibatkan sebarang imbuhan. Contohnya, geleng-geleng. Berdasarkan bentuk kata kerja tersebut, akhiran -kan membentuk kata kerja terbitan. Golongan kata yang boleh bergabung dengan akhiran ini ialah kata nama, kata kerja tak transitif, kata kerja transitif, kata adjektif dan kata tugas. Akhiran –kan membentuk kata kerja transitif yang biasanya menerima juga awalan meN- atau di- dan hadir dalam ayat aktif transitif atau pasif. Kata kerja yang menerima akhiran –kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat, iaitu dalam ayat pasif dan ayat suruhan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam beberapa imbuhan lain, iaitu meN-…-kan, beR-…-kan, mempeR-…-kan, di-…-kan dan dipeR-…-kan. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 143-223. | Tatabahasa | 28.06.2021 |