| Salam sejahtera. Pertanyaan saya berkaitan tentang penggunaan "nya". Adakah penggunaan nya boleh untuk merujuk kepada haiwan? Sebagai contoh ayat berikut; "Gigi ketam berada di dalam perutnya." Sekiranya tidak boleh digunakan, apakah ayat yang sesuai? Soalan kedua ialah bagaimanakah untuk menggunakan perkataan "nya". Boleh berikan contoh penggunaan ayat. Sekian, Terima kasih. | - Penggunaan -nya merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan hanya boleh digunakan pada manusia. Ayat yang lebih tepat ialah Gigi ketam berada di dalam perut.
- Contoh ayat yang menggunakan kata ganti nama diri orang ketiga -nya ialah, Mimi mengundang Ai Ling dan Kencana datang ke rumahnya.
Selain sebagai kata ganti nama diri orang ketiga, perkataan -nya juga berfungsi sebagai kata penekan dan pembenda. Contoh ayat seperti yang berikut: Kata penekan – Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis. Kata pembenda – Lajunya ialah 100 km sejam. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk mengetahui maklumat lanjut. | Tatabahasa | 26.07.2021 |
| Salam sejahtera! Haruskah "nya" dicantumkan dengan perkataan di depan? Ayat contoh: Dia terlupa membawa iPhonenya atau dia terlupa membawa iPhone nya? Saya ingin tahu terutama sekali jika perkataan di depan "nya" adalah jenis kata nama khas. Terima kasih! | Untuk makluman, “nya” merupakan kata ganti nama diri ketiga yang ditulis serangkai dengan kata yang mendahuluinya, kecuali jika merujuk kepada Allah kerana pada perkataan tersebut perlu diletakkan sempang, iaitu ‘-Nya’. Sehubungan dengan itu, contoh ayat yang betul ialah “Dia terlupa membawa iPhonenya.” | Tatabahasa | 11.08.2020 |
| Adakah penggunaan nya boleh digunakan pada kata kerja? Apakah fungsi imbuhan nya? | Salam sejahtera, Fungis 'nya' ialah sebagai kata pembeda dan penekan selain bertindak sebagai kata ganti nama diri ketiga. | Tatabahasa | 11.06.2020 |
| Salam Sejahtera. Mohon penerangan penggunaan kata -nya yang betul dalam ayat-ayat di bawah. a) Dia menjaga haiwan kesayangannya dengan baiknya. b) Dia menjaga haiwan kesayangannya dengan baik. Adakah penggunaan -nya selepas kata adjektif betul dalam ayat di bawah? a) Beg plastik itu diikat dengan kemasnya sebelum dibuang. b) Murid menyebut ayat tunggal dengan betulnya. Terima kasih. | Keempat-empat ayat boleh diterima. Untuk ayat 1(a), dan 1(b), kata "-nya" (haiwan kesayangannya)merupakan kata ganti diri orang ketiga yang merujuk kepada "dia". Untuk ayat 1(a), "...dengan baiknya", 2(a) "... dengan kemasnya", 2(b) "... dengan betulnya" merupakan keterangan cara yang mengandungi kata sendi nama dengan diikuti oleh kata adjektif baik, kemas, betul yang menerima kata pembenda -nya. | Tatabahasa | 09.02.2019 |
| Salam tuan,adakah penggunaan -nya di bawah ialah ayat yang gramatis? 1. Semuanya …… ringgit. Ayat tersebut biasa saya dengar apabila beli sesuatu. Saya telah semak Tatabahasa Dewan -nya ialah kata pembenda ataupun kata penekan. Saya rasa “semuanya” di sini memberikan penekanan kepada harga sahaja,bukan kata pembenda / kata ganti nama diri ketiga. Adakah anggapan saya betul dan ayat ini gramatis? 2. Suaminya di mana? Ayat tersebut telah saya dengar semasa tonton video. Seorang wanita berkata sedemikian dengan marah apabila ditanya ada suami ke tidak. Dia seorang yang belum ada jodoh. Saya rasa “suaminya” di sini,cuma memberikan penekanan kepada realiti bahawa dia tidak ada suami,bukan kata pembenda / kata ganti nama diri ketiga. Adakah anggapan saya betul dan ayat ini gramatis? | 1 “Semuanya … ringgit.” Kata ganti nama orang ketiga –nya boleh juga berfungsi sebagai penekan dan pembenda. Dalam ayat di atas, kata ganti nama –nya berfungsi sebagai penekan. 2. 2. “Suaminya di mana?” Dalam ayat di atas, -nya berfungsi sebagai kata ganti nama orang ketiga. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 103 dan 296. | Tatabahasa | 23.04.2024 |
| Salam sejahtera. Saya ada satu kemusykilan mengenai perkataan -nya. Kenapakah buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 3 muka surat 38 ada penggunaan nya yang merujuk kepada perkara? Ayat itu berbunyi begini, Hal ini bukanlah suasana yang baharu kerana beberapa buah sekolah di luar negara telah mengamalkannya. | Ada tiga fungsi "-nya", iaitu sebagai kata ganti nama diri orang ketiga, penegas dan pembenda. Perkataan "-nya" dalam konteks ayat tersebut berfungsi sebagai penegas. | Tatabahasa | 06.05.2022 |
| Salam sejahtera tuan, saya ingin bertanya, bolehkah kata ganti nama diri -nya wujud sebelum perkataan dia dalam sesebuah ayat? Contoh: Pegawai itu memberitahunya bahawa dia didapati bersalah kerana dia telah melanggar peraturan yang ditetapkan. (Kata ganti “-nya” wujud sebelum kata ganti “dia”) Adakah ayat tersebut betul? | Ayat tersebut betul. Kata ganti “-nya” boleh wujud sebelum kata ganti “dia”. Namun “-nya” perlu merujuk kepada seseorang. Ayat tersebut perlu ada ayat sebelumnya yang merujuk kepada siapa “-nya”. | Tatabahasa | 24.01.2023 |
| Salam sejahtera. Mohon jelaskan soalan-soalan yang dilampirkan. Terima kasih:) | LAMPIRAN: Dewan Bahasa dan Pustaka.docx Salam sejahtera 1) Penggunaan dia dan -nya dapat dibezakan melalui ayat berikut. Apabila dia (sebagai ganti nama) kembali ke kampungnya (ganti nama) setelah sepuluh tahun meninggalkan kampung tersebut,dia amat terperanjat dengan pelbagai perubahan yang berlaku. Berdasarkan penerangan di atas, adakah”-nya” bermaksud “dia punya”? Sekiranya benar, adakah penggunaan “-nya” dalam ayat di bawah betul? 1 1. Saya memberikan hadiah itu kepadanya. 2. Dia telah membeli beberapa buah buku yang disukainya. 3. Katanya, masalah ini harus diselesaikan dengan segera. 2 2) Adakah kenyataan berikut betul? Kata hubung seperti jika, kalau, jikalau dan sekiranya mempunyai maksud dan penggunaan yang sama dan digunakan untuk menunjukkan syarat yang harus dipenuhi untuk mencapai atau melakukan sesuatu perkara. Kata hubung seperti andai kata dan seandainya pula digunakan untuk menerangkan peristiwa yang dianggap mungkin terjadi. Berdasarkan contoh ayat yang diberikan, semua penggunaan kata “-nya” yang hadir dalam ayat tersebut berfungsi sebagai kata ganti nama diri orang ketiga, bukan merujuk maksud kepunyaan individu. Bagi penggunaan kata hubung “jika”, “kalau”, “jikalau”, “andai kata” dan “seandainya” yang hadir dalam ayat boleh berfungsi untuk menyatakan syarat, harapan, andaian, menyatakan kemungkinan sesuatu akan berlaku dan sebagainya berdasarkan konteks pengunaannya dalam ayat. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman: 253 – 254 dan Kamus Dewan Perdana, halaman: 93-94 dan 903. | Tatabahasa | 12.11.2024 |
| Salam, saya perlukan sedikit pencerahan, perkataan Rabb atau Rab? Dan Rab-Nya atau Rabnya? | Perkataan yang betul ialah “Rab” dan “Rabnya”. Perkataan “-nya” dalam “Rabnya” merujuk kata ganti diri ketiga iaitu hamba Allah, manakala perkataan “-Nya” dieja dengan huruf besar, merujuk Allah. Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 1545 dan 1792. | Tatabahasa | 11.08.2024 |
| Salam sejahtera, Bolehkah Tuan/Puan menyatakan sama ada penggunaan 'nya' dalam ayat berikut adalah betul? Jika tidak, apakah cadangan ayat yang lebih gramatis? 1) Burung dapat mengekalkan suhu badannya kerana burung berdarah panas. 2) Objek itu stabil kerana tapaknya yang besar. 3) Ikan menggunakan siripnya untuk berenang dalam air. Sekian, terima kasih. CK | Nya ialah kata ganti diri orang ketiga. Oleh itu, penggunaan "nya" dalam ayat contoh yang diberikan adalah tidak gramatis. Berdasarkan ayat tersebut kata "nya" boleh digugurkan seperti Burung dapat mengekalkan suhu badan kerana burung berdarah panas. | Tatabahasa | 19.01.2012 |