Imbuhan 'MeN..i/kan' amat mengelirukan.Apakah formula terbaik nak bezakan keduanya? Apa beza..1.memberi/kan 2menjauhi/kan 3.menjahit/kan 4.menemui/kan?TQVM | Apitan meN...i diikuti objek yang bernyawa, contohnya; Ayah mengirimi Ali surat, manakala apitan meN...kan diikuti objek yang tidak bernyawa, contohnya; Ayah mengirimkan surat kepada Ali. Untuk maklumat lanjut rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 191. Awalan kata kerja meN-... mendukung maksud melakukan sesuatu sama ada melakukan perbuatan atau menyatakan keadaan. Topik ini dibincangkan dengan panjang lebar dalam halaman 158-160. Untuk melihat perbezaan makna antara kata terbitan dengan awam meN-... dan kata kerja meN-...kan rujuk laman web kami www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 20.05.2011 |
Bagaimana mahu menentukan sama ada perkataan itu perlukan apitan men-kan / di-kan? Apakah bezanya sekiranya kita meletakkan akhiran -kan pada satu satu perkataan itu? | Apitan kata kerja meN-...-kan untuk ayat aktif, manakala apitan di-...-kan untuk ayat pasif. Aspek makna yang terkandung dalam kata kerja ini diterangkan dengan panjang lebar dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 197. Akhiran -kan lazimnya digunakan dalam ayat pasif dan ayat suruhan. Rujuk halaman 183. | Tatabahasa | 11.10.2011 |
Apitan meN...kan dalam frasa 'membuatkan Ahmad kopi' membawa maksud benafaktif. Mengapa frasa 'menghadiahkan Ahmad cincin" kurang tepat pula?Saya nampak binaan apitan meN...kan kedua-dua frasa adalan sama. Sila jelaskan | Pertanyaan tuan ini dibincangkan dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 207 dalam menerangkan perbezaan apitan meN-...-i dan meN-...-kan. Fungsi apitan meN-...-kan menandakan kuasatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif. Contohnya: Osman menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad dan Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. Penggunaan apitan meN-...-kan dalam dalam ayat ... membuatkan Ahmad kopi ... menandakan maksud benefaktif. Tuan perlu perbezaan fungsi apitan meN-...-kan tersebut bukan kepada persamaan bentuk apitan. | Tatabahasa | 09.09.2012 |
Bagaimanakah mahu pastikan sama ada KKTr meN....kan yang membawa maksud kausatif atau banefaktif. contohnya alam frasa 'membelikan ikan' atau membeli ikan. ATAU frasa' membeli emak ikan itu' atau membelikan emak ikan itu. Yang mana satu tepat dan tolong jelaskan. kenapa dalam frasa 'menjelaskan perkara' memerlukan akhiran '..kan' untuk maksud kausatif dan mengapa frasa 'membeli ikan' tak perlu akhiran ...kan dalam maksud kausatif? | Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 197, maksud kausatif atau menyebabkan, contohnya: Ali membesarkan rumahnya (menyebabkan menjadi besar), manakala maksud benefaktif atau manfaat. Dalam hal ini ayat yang terbentuk memerlukan dua objek. Contohnya: Ayah membelikan adik buku (membeli untuk adik/adik mendapat manfaat). Merujuk contoh yang diberikan oleh saudara, frasa yang betul ialah "membelikan emak ikan" untuk maksud benefaktif. Hal ini berbeza dengan frasa "membeli ikan". Frasa tersebut betul dan membawa maksud melakukan sesuatu. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, di bawah tajuk awalan meN- dan apitan meN-...-kan.. | Tatabahasa | 06.04.2012 |
1)apakah perbezaan antara pelbagai dan berbagai 2) jika ada perkataan mem.....kan tak perlu ada perkataan "tentang" 3) memperluas atau memperluaskan 4) bagaimana penggunaan mem...per...kan | 1. Pelbagai sama makna dengan berbagai-bagai. 2. Terdapat beberapa peraturan dalam penggunaan apitan meN-...-kan, iaitu: i. bentuk apitan meN-...-kan, ii. golongan kata yang boleh bergabung dengan meN-...-kan, iv. jenis kata kerja yang terbentuk, dan iv. aspek makna apitan me-...-kan. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 190 - 197 untuk mengetahui setiap peraturan yang tersebut. Sementara itu, salah satu makna tentang ialah mengenai, dan penggunaan kata tentang perlu disesuaikan dengan makna yang tersebut. 3. Kata terbitan yang betul ialah memperluas. 4. Kata nama dan kata kerja boleh bergabung dengan apitan memper-...-kan untuk membentuk kata kerja, contohnya: isteri (kata nama) - memperisterikan, dengar (kata kerja) - memperdengarkan. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 209. | Tatabahasa | 22.04.2010 |
Merealisasi atau merealisasikan? Tolong berikan contoh apabila me...(diakhiri dengan) kan dan me... tidak diakhiri dengan kan seperti menyepak bola dan alasan kenapa ia begitu. Ada di diakhiri dengan kan ada yang tidak, tolong jelaskan. | Merealisasi atau merealisasikan , keduanya-duanya boleh digunakan. Terdapat sebilangan kecil kata yang menerima apitan meN-…-kan dan meN…-i, penggunaanya silih berganti tanpa membezakan makna, contohnya: Ali sedang membaiki/membaikkan keretanya yang rosak. Kami masih dalam proses merealisasi/merealisasikan cita-cita kami. Perkataan merealisasi sebenarnya terdiri daripada kata dasar realisasi yang menerima apitan meN-…-i (merealisasii) tetapi telah digugurkan satu i. Kata kerja boleh dihasilkan dengan proses pengimbuhan sama ada imbuhan awalan , akhiran, apitan dan sisipan. Kata kerja yang terbentuk daripada imbuhan awalan meN- (variasinya: me-, mem-, men-, meng-) menerbitkan dua makna: 1) melakukan perbuatan atau 2) menyatakan keadaan. Bagi makna melakukan perbuatan dipecahkan kepada lima maksud iaitu i) melakukan sesuatu , contohnya: merayu, membuka, mentadbir, mengheret, menjahit (Emak menjahit baju). ii) mengeluarkan suara, contohnya: mengaum, mengiau; iii) membuang, contohnya: merumput; iv) menuju sasaran, contohnya: menepi, mendarat; v) menjadi seperti atau menyerupai sesuatu, contohnya: membusut. Bagi makna menyatakan keadaan dipecahkan kepada dua iaitu i) hidup sebagai, contohnya: membujang, menjanda; ii) menjadi, contohnya: memanjang. Kata kerja yang terbentuk daripada apitan meN …kan menghasilkan maksud : i) membuat sesuatu yang terkandung dalam kata kerja dasar, contohnya: Dia merundingkan hal itu tadi. ii) kausatif atau menyebabkan, contohnya: Aril memanjangkan bacaan doanya. iii) manfaat, contohnya: Emak menjahitkan adik baju kurung. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 143 – 223. | Tatabahasa | 18.05.2011 |
Kerja sama atau kerjasama? "Kerja" dan "sama" dua morfem bebas, kan? Morfem bebas dieja terpisah daripada satu sama lain kerana dapat berdikari dalam ayat. Hanya morfem terikatlah yang dieja rapat, seperti awalan meN- pada kata "membasuh" dan partikel -lah pada kata "berikanlah". Tiadalah alasan untuk D.B.P. membentuk senarai kata majmuk mantap kerana D.B.P. membentuk kata majmuk mantap atas kelaziman masyarakat yang merupakan sikap yang tidak betul kerana kelaziman masyarakat itu, iaitu pengejaan "keretapi", "kerjasama", "matahari" tidak berasaskan tata bahasa bahawa morfem bebas dapat berdikari. Jika pengejaan "kerjasama" yang kelaziman masyarakat kata majmuk mantap, "keretapi" juga kelaziman masyarakat, mengapakah tidak dikira kata majmuk mantap? | Kata majmuk ialah gabungan dua perkataan atau lebih dan mempunyai satu makna, kata majmuk yang mantap sahaja dieja satu perkataan iaitu warganegara, setiausaha, olahraga, jawatankuasa, tandatangan, suruhanjaya, tanggungjawab, kakitangan, antarabangsa, jawatankuasa, pesuruhjaya, matahari, bumiputera, sukarela, kerjasama, beritahu. Kata majmuk yang lain dieja dua perkataan. Perkataan kereta api dieja terpisah.Tetapi apabila sudah didaftarkan sebelum penyelarasan sistem ejaan baharu, Tetapi jika nama khas, apatah lagi nama yang digazetkan, walaupun ejaannya tidak mengikut Sistem Ejaan Rumi, hendaklah ditulis mengikut ejaannya yang telah digazetkan. Contohnya: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Keretapi Tanah Melayu (KTM), Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Percanggahan ejaan berlaku disebabkan oleh faktor sejarah bahasa. Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia dirasmikan penggunaannya pada 16 Ogos 1972. Kemudian, pada tahun 1975, DBP menerbitkan buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia (1975) dan buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981). Nama Keretapi Tanah Melayu (sejak 1948) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (sejak Feb 1972) wujud sebelum 16 Ogos 1972, oleh itu tidak terikat dengan Sistem Ejaan Rumi Baharu BM. Nama-nama yang wujud terkemudian tetapi mengekalkan ejaan Bandaraya, misalnya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Ipoh dll mungkin bertujuan untuk penyelarasan nama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sama juga dengan situasi nama stesen kereta api di Malaysia. | Lain-lain | 09.09.2017 |
Pohon jelaskan berkenaan penggunaan 'kan' selepas sesuatu kata kerja contohnya: menyedia/menyediakan; mengada/mengadakan; melaksana/melaksanakan. Pada perkataaan yang bagaimana perkataan 'kan' tidak boleh digunakan? | Saudara Norzila, Perkataan yang betul ialah menyediakan, mengadakan dan melaksanakan. Kata kerja sedia, ada dan laksana yang terbentuk dengan apitan meN...kan ialah kata kerja transitif, iaitu yang digunakan sebagai unsur predikat yang memerlukan objek atau penyambut dalam ayat transitif aktif. Pada kebiasaannyan kata kerja transitif mendapat apitan men...kan. Walau bagaimanpun bukan semua kata kerja transitif mengandungi ...kan. Ini bergantung pada penggunaan kata tersebut dalam konteks ayat yang melibatkan objek, sama ada objek tepat atau objek sipi. Contohnya, Hasnah membeli sebuah buku untuk Ali; Kakak menjahit sehelai baju untuk adik. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 190-197. | Tatabahasa | 09.07.2009 |
Cikgu, apakah perbezaan antara "meN-..." dengan "meN-...-kan/-i"? | Awalan meN- membentuk kata kerja aktif sama ada transitif atau tak transitif. Awalan ini mempunyai empat bentuk varian, bergantung pada huruf pertama kata dasar yang bercantum dengannya, iaitu me-, mem-, men- dan meng-. Untuk keterangan lanjut dan contoh penggunaannya, sila lihat buku Tatabahasa Dewan Untuk membezakan penggunaan apitan meN-...-kan dengan meN-...-i, seperti dalam ayat contoh yang diberi sila lihat fungsi antara kedua-dua apitan tersebut, iaitu: i. Fungsi apitan meN-...-kan menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-i menandakan lokatif. Contohnya: Ali menghadiahkan sebuah basikal kepada Ahmad dan Ali menghadiahi Ahmad sebuah basikal. ii. Apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa, manakala apitan meN-...-i menerima objek yang bernyawa. Lihat contoh di atas. iii. Bagi sebilangan kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya: Ali sedang membaiki kereta yang rosak dan Ali sedang membaikkan kereta yang rosak. | Ejaan | 08.05.2014 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. saya ingin bertanyakan soalan iaitu: 1. Bagaimanakah cara untuk membezakan dan menggunakan imbuhan meN-...-i dan meN-...-kan 2. Apakah perbezaan kata adverba dan kata penekan ? | 1. Fungsi apitan meN-...-kan dengan meN-...-i terbahagi tiga: (1) Fungsi apitan meN-...-kan untuk menandakan kausatif, manakala apitan meN-...-imenandakan lokatif, contohnya; a. Pak Osman menghadiahkan basikal kepada Ahmad. b. Pak Osman menghadiahi Ahmad sebuah basikal. (2) Bagi kata tertentu, perbezaan penggunaan apiatan meN-...-i adalah dari segi objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek tidak bernyawa dan apitan meN-...-imenerima objek bernyawa. Contohnya; a. Ali memberi kucing makanan. b. Ali memberikan makanan kepada kucing. Perkataan memberi dalam ayat (b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima apitan meN-...-i, tetapi telah digugurkan. (3) Bagi sebilangan kecil kata kerja yang menerima apitan meN-...--kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya; a. Ali membaiki kereta yang rosak itu. b. Ali membaikkan kereta yang rosak itu. Tidak berlaku pengguguran apitan meN-...-kan atau meN-...-i, dalam konteks ayat tersebut perkataan yang sesuai ialah mengambil. 2. Dalam buku Tatabahasa Dewan, kata adverba tersenarai sebahagian daripada katatugas kerana fungsinya mendukung sesuatu tugas sintaksis tertentu sama ada sebagai penghubung, penerang atau penentu. Kata adverba ialah kata yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, katanama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa, dan tempat. Kata Penekan ialah kata yang memberikan penegasan kepada perkataan yang tergabung dengannya. Contohnya: -nya dalam Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis. | Tatabahasa | 21.07.2018 |