| Assalamualaikum... Partikel 'lah' bolehkah dikategorikan sebagai morfem terikat? | Partikel lah merupakan morfem terikat kerana morfem tersebut hanya wujud bersama-sama morfem lain. | Tatabahasa | 28.03.2013 |
| Aizat Akmal SAT 12:25 asalamualaikum dbp. saya nak bertanya ttg kamus dewan online. adakah kamus tersebut mengalami sebarang masalah. hal ini kerana, lama tersebut tidak dapat di buka. masalah ini telah sekian lama berlaku. saya juga cuba buka melalui ejen pencarian lain selain google tp hasilnya ttp lah sama. mohon penjelasan. | Aduan tuan telah kami panjangkan kepada Bahagian Sistem Maklumat. Pihak kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi. | Lain-lain | 11.03.2017 |
| Apakah beza antara perkataan berhambus dengan berambus? | kedua-dua perkataan berhambus dan berambus mempunyai maksud yang sama pergilah, nyahlah: biarkan dia ~; pergi ~ dr sini. Perkataan yang baku alah berambus, manakala berhambus ialah bahasa percakapan. | Ejaan | 19.10.2018 |
| Salam, Adakah perbezaan antara penggunaan -lah dengan -nya sebagai partikel? Maksudnya adakah maksud "syukurlah" sama dengan "syukurnya"? Mohon berikan tunjuk ajar. Sekian, terima kasih. | Kata penegas atau partikel memberi penekanan pada bahagian tertentu dalam ayat, iaitu -kah, -tah dan -lah. Manakala "nya" ialah kata ganti nama diri ketiga. Untuk maklumat lanjut rujuk buku Tatabahasa Dewan , halaman 261. | Tatabahasa | 24.03.2013 |
| Kerja sama atau kerjasama? "Kerja" dan "sama" dua morfem bebas, kan? Morfem bebas dieja terpisah daripada satu sama lain kerana dapat berdikari dalam ayat. Hanya morfem terikatlah yang dieja rapat, seperti awalan meN- pada kata "membasuh" dan partikel -lah pada kata "berikanlah". Tiadalah alasan untuk D.B.P. membentuk senarai kata majmuk mantap kerana D.B.P. membentuk kata majmuk mantap atas kelaziman masyarakat yang merupakan sikap yang tidak betul kerana kelaziman masyarakat itu, iaitu pengejaan "keretapi", "kerjasama", "matahari" tidak berasaskan tata bahasa bahawa morfem bebas dapat berdikari. Jika pengejaan "kerjasama" yang kelaziman masyarakat kata majmuk mantap, "keretapi" juga kelaziman masyarakat, mengapakah tidak dikira kata majmuk mantap? | Kata majmuk ialah gabungan dua perkataan atau lebih dan mempunyai satu makna, kata majmuk yang mantap sahaja dieja satu perkataan iaitu warganegara, setiausaha, olahraga, jawatankuasa, tandatangan, suruhanjaya, tanggungjawab, kakitangan, antarabangsa, jawatankuasa, pesuruhjaya, matahari, bumiputera, sukarela, kerjasama, beritahu. Kata majmuk yang lain dieja dua perkataan. Perkataan kereta api dieja terpisah.Tetapi apabila sudah didaftarkan sebelum penyelarasan sistem ejaan baharu, Tetapi jika nama khas, apatah lagi nama yang digazetkan, walaupun ejaannya tidak mengikut Sistem Ejaan Rumi, hendaklah ditulis mengikut ejaannya yang telah digazetkan. Contohnya: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Keretapi Tanah Melayu (KTM), Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Percanggahan ejaan berlaku disebabkan oleh faktor sejarah bahasa. Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia dirasmikan penggunaannya pada 16 Ogos 1972. Kemudian, pada tahun 1975, DBP menerbitkan buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia (1975) dan buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981). Nama Keretapi Tanah Melayu (sejak 1948) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (sejak Feb 1972) wujud sebelum 16 Ogos 1972, oleh itu tidak terikat dengan Sistem Ejaan Rumi Baharu BM. Nama-nama yang wujud terkemudian tetapi mengekalkan ejaan Bandaraya, misalnya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Ipoh dll mungkin bertujuan untuk penyelarasan nama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sama juga dengan situasi nama stesen kereta api di Malaysia. | Lain-lain | 09.09.2017 |
| Salam sejahtera! Saya ingin bertanyakan mengenai perbezaan di antara perkataan "ia" dan "ya". Adakah kedua perkataan ini mempunyai maksud yang sama/perkataan seerti (to say yes)? Kedua, jika perkataan ia dicantumkan dengan partikel lah, ia akan ditulis seperti yang demikian "ialah". Adakah perkataan ini mempunyai makna yang sama dengan perkataan "ialah" yang tertera di dalam kamus? Terima kasih! | Ia dan ya mempunyai maksud yang sama, boleh rujuk http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=ia untuk maklumat lanjut. Kedua-dua perkataan ini tidak boleh disambung dengan partikel -lah. Ialah kata pemeri yang hadir sebelum kata nama. | Tatabahasa | 11.05.2020 |
| Saya ingin pastikan sama ada kata-kata berikut adalah sesuai untuk digunakan untuk poster besar pengiklanan. Dari segi tatabahasa dan kesesuaian. Terima Kasih " Nikmati-lah kemudahan servis waktu senja. Untuk tempahan servis, hubungi: 03- 5621 5566" | Sila buat visual poster tersebut dalam bentuk jpeg atau gif dan hantar semula melalui Khidmat Pengesahan Bahasa DBP (bukan Khidmat Nasihat Bahasa). Untuk kali pertama tuan/perlu perlu mendaftar dahulu dan dapatkan kata laluan (password) yang dihantar kepada e-mel yang telah didaftarkan dan ikutilah tatacara yang seterusnya. | Lain-lain | 13.08.2014 |
| tak bolehkah bersifat tetap. mcm bhs inggeris x ada perubahan. kalau alasan nak memartabatkn bhs,kena lah tetapkn bhs, seolah2 mcm x tentu dgn bhs kebangsaan sendiri sehingga sentiasa berubah. | Terlebih dahulu, terima kasih diucapkan kepada saudara atas pandangan menarik yang diberikan berkaitan bahasa kebangsaan negara. Sebenarnya untuk makluman saudara, setiap bahasa yang ada di dunia berubah mengikut peredaran masa dan turut berubah selagi manusia berbudaya. Bahasa Inggeris juga turut berubah mengikut perkembangan. Mohon jasa baik saudara untuk mengemukakan apakah perubahan yang dimaksudkan agar pihak kami dapat sama-sama berkongsi maklumat untuk bersama-sama kita mengangkat martabat bahasa kebangsaan negara kita. Terima kasih. | Lain-lain | 27.10.2006 |
| adakah redha sama maksud dengan rela? | reda: (réda) bersedia dgn ikhlas hati (utk membuat sesuatu), rela: ada di dalamnya orang-orang yg ~ bersekutu bersama-sama sbg manusia; rela: (réla) 1. dgn hati yg ikhlas (menerima dll), berkenan, bersedia, sudi: maka ~lah aku pergi mengikut dia ke mana perginya; 2. izin, persetujuan, perkenanan: anakanda datang kerana hendak meminta ~ ayahanda dan bonda; 3. memberikan (dgn ikhlas hati), melepaskan (menyerahkan dll) dgn senang hati: ia sudah ~ akan perbuatan isterinya itu; dgn ~ hati dgn senang atau suka hati: keizinan hendaklah diberikan dgn ~ hati, bukan dgn paksaan atau ugutan; | Makna | 03.11.2009 |
| Salam sejahtera, Mengenai slanga, adakah bahasa kependekan (bp), tergulung di dalam kategori ini? Bolehkan, ni (ini), tu (itu) dll dianggap sebagai slanga? Bagaimana pula dengan perkataan okey? Adakah ianya dianggap sebagai slanga? Saya juga ingin tahu sama ada perkataan slanga, apabila digunakan dengan partikel "lah", perlukah ia disambungkan? Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, slanga bermaksud kata-kata (ungkapan dan sebagainya) yang tidak tergolong dalam bahasa baku (biasa digunakan dalam percakapan tidak rasmi). Ni, tu dan okey dianggap sebagai slanga kerana hanya digunakan dalam bahasa percakapan tidak rasmi. Okey dalam bahasa rasmi ditulis baiklah. Bagi semua perkataan yang ditulis dengan partikel “lah”, hendaklah dieja bersambung (nilah, tulah). Walau bagaimanapun, ayat yang gramatis ialah inilah dan itulah.
| Istilah | 17.04.2020 |