| Dengan hormatnya saya memohon bantuan pihak Dewan bahasa dan Pustaka untuk menyemak ayat di bawah: Saya ingin mengajak warga MAMPU untuk bersama-sama melaksanakan kerja dengan penuh komited dan sekiranya mempunyai masa yang lapang, bersama-samalah kita membantu rakan-rakan kita yang memerlukan bantuan untuk melakukan tugas-tugas rasmi, berusaha untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran yang berkaitan tugas kita, bersama-sama menceriakan pejabat, menyempurnakan tugasan yang tertunggak dan sentiasa muhasabah diri mengenai tugasan seharian untuk memastikan hari ini lebih baik dari semalam. | Saya ingin mengajak warga MAMPU untuk bersama-sama melaksanakan kerja dengan penuh komited. Sekiranya mempunyai masa lapang, bersama-samalah kita membantu rakan sekerja menyelesaikan tugasan rasmi, dan berusaha untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran yang berkaitan tugas kita. Selain itu, sentiasa bekerjasama menceriakan pejabat, menyempurnakan tugasan yang tertunggak dan sentiasa muhasabah diri mengenai tugasan seharian untuk memastikan hari ini lebih baik dari semalam. | Tatabahasa | 06.06.2014 |
| A) Antara 2 ayat berikut, yang manakah lebih tepat 1) Kami akan kemaskan bilik ini semula selepas digunakan. 2) Akan kami kemaskan bilik ini selepas digunakan. Mengapa? B) Adakah terdapat kesalahan dalam ayat-ayat ini? 1) Bersama-samalah kita berdoa semoga Tuhan mencucurkan kita dengan rahmat-Nya. 2) Sejak dari semalam, ayah termenung memikirkan nasib abang di perantauan. | Ayat yang betul ialah ' akan kami kemaskan bilik ini selepas digunakan'. Ayat pasif dengan kata ganti nama diri orang pertama dan kedua, kata ganti nama diri diletakkan di hadapan kata kerja dasar. Kata ganti nama diri orang pertama dan kedua tidak boleh menerima kata kerja dengan imbuhan pasif di-. Ayat kedua: Bersama-samalah kita berdoa semoga Tuhan mencucuri kita dengan rahmat-Nya. Ayat ketiga: Sejak semalam, ayah termenung memikirkan nasib abang di perantauan. | Tatabahasa | 08.04.2008 |
| Saya keliru antara perkataan "mencontohkan" dan "mencontohi". Bagaimana kita hendak menggunakan kedua-dua perkataan tersebut dalam ayat? | "Mencontohkan" bermaksud memberikan sesuatu sbg contoh, menjadikan contoh: masalah ini samalah spt seseorang melihat sebuah rumah yg saya contohkan dahulu. "Mencontohi" pula bermaksud membuat sesuatu dgn mengikut contoh, mengambil contoh, meniru, meneladani: guru hendaklah dr mula menunjukkan tabiat yg baik supaya dapat dicontohi oleh kanak-kanak; kita umat Islam harus mencontohi keperibadian dan sifat-sifat Nabi Muhammad SAW. | Tatabahasa | 21.06.2007 |
| merujuk soalan 106, saya berpendapat bahawa ayat' sampah bertaburan' betul , sebaliknya ayat' sampah sarap bertaburan' kurang tepat kerana ' bertaburan' mempunyai maksud jamak. Oleh itu, subjeknya lebih sesuai jika 'sampah' .Keadaan ini samalah dengan ayat' bintang bertaburan di langit' adalah betul dan bukannya' bintang-bintang bertaburan di langit'. Minta berikan pandangan, terima kasih. | Encik Wong, Sampah bermaksud benda-benda yang terbuang, kotoran. Sarap bermaksud sampah. Sampah sarap pula bermaksud berbagai-bagai sampah atau bermacam-macam sampah, iaitu merujuk jenis sampah. Oleh itu, frasa sampah sarap bertaburan boleh diterima. | Tatabahasa | 14.05.2010 |
| isi dan kandungan mempunyai maksud yang sama, akan tetapi mengapa kebanyakan kita sering menggunakan isi kandungan, sama ada dalam pertuturan mahu pun penulisan? Terima kasih | Isi dan kandungan mempunyai maksud yang sama. Oleh itu, bersama-samalah kita membiasakan yang betul. | Tatabahasa | 10.04.2012 |
| Saya cuba mencari jawapan untuk frasa "seperti pada lampiran atau seperti dalam lampiran" dan saya menemui jawapan yang diberikan oleh panel DBP seperti yang berikut. 1. Butiran terperinci seperti dalam jadual berikut. Persoalan saya, bukankah kedua-dua partikel "seperti" dan "pada" atau "dalam" merupakan kata sendi nama yang tidak boleh digandingkan bersama kerana dianggap lewah. Hal ini samalah juga dengan isu "hingga ke', "selain daripada", "sejak dari" dan sebagainya. Sekiranya menurut prinsip Tatabahasa Dewan, frasa sebegini dianggap sebagai kesalahan tatabahasa. Selain itu, adakah "dalam pada itu" juga dianggap betul atau sebagai bentuk kekecualian? Sekian, terima kasih. | Frasa yang betul ialah "seperti lampiran" dan frasa "dalam pada itu" ialah penanda wacana yang telah mantap penggunaannya dalam kalangan masyarakat. | Tatabahasa | 28.11.2018 |
| Apakah perbezaan antara 'Dengan itu' dan 'Lantaran itu'? | Penanda wacana dengan itu, oleh hal yang demikian, dengan demikian, oleh itu merupakan penanda wacana penghubung musabab. Tiada perbezaan antara penanda wacana dalam jenis yang sama cuma kesesuaian penggunaan bergantung pada konteks ayat. Jika lantaran bermaksud kerana atau sebab, maka lantaran itu samalah maknanya dengan kerana itu atau sebab itu. | Lain-lain | 14.09.2016 |
| Mengikut kamus dewan, [lantaran]1. hal yang menjadi sebab sesuatu perkara;2. kerana, sebab. Adakah perkataan [lantaran itu] mempunyai maksud yang sama? Adakah penanda wacana ini wujud?Untuk pengetahuan tuan, saya mengetahui [selain] dan [selain itu] mempunyai makna yang berbeza. Adakah [lantaran itu] mempunyai maksud yang sama dengan [lantaran]? | Jika lantaran bermaksud kerana atau sebab, maka lantaran itu samalah maknanya dengan kerana itu atau sebab itu. | Tatabahasa | 23.10.2009 |
| saya ingin bertanya tentang perkataan study (belajar) yang dimelayukan adakah studi. perkataan ini saya tonton di saluran astro tutor untuk peperiksaan -- program misi studi upsr, spm, PT3. dewasa ini banyak kekeliruan bahasa berlaku. dah jadi macam indonesia | Perkataan studi terakam dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. Untuk makluman puan, Kamus Dewan berfungsi merakam perkataan yang banyak digunakan dalam kalangan masyarakat dengan merujuk data korpus. Itulah antara justifikasi sesuatu perkataan itu dimasukkan sebagai entri dalam Kamus. Semua perkataan yang dimasukkan dalam Kamus Dewan tidak semestinya diterima sebagai baku dan boleh digunakan untuk tujuan rasmi. Kami ambil maklum pandangan puan terhadap kekeliruan penggunaan bahasa Melayu dan bersama-samalah kita berusaha mempopularkan kata asli Melayu yang telah mengungkapkan makna yang terkandung dalam perkataan tersebut. | Tatabahasa | 30.06.2019 |
| Tuan, yang manakah betul, "pandangan hidup" atau "pandangan kehidupan", "gaya hidup" atau "gaya kehuidupan"? "Live" perbuatan bahasa Inggeris yang sepadan dengan "hidup"; "life" pula nama "live" bahasa Inggeris dan setimbal dengan "kehidupan". "Kehidupan" bentuk nama bagi perbuatan "hidup". Jadi, saya berpendapat bahawa yang betul "pandangan kehidupan" dan "gaya kehidupan" kerana "gaya kehidupan" selari dengan "lifestyle". Jika kita menulis "gaya hidup, maka padanan dalam bahasa Inggeris "livestyle", ini tidak betul! Lebih-lebih lagi, kita hendak menerangkan gaya tentang hal hidup kita, seperti gaya tidur kita, iaitu pukul berapa tidur, adakah berjoging antara hal hidup (kehidupan) kita, pemakanan antara hal hidup kita, jadi "gaya kehidupan" ini termasuklah gaya kita makan, sama ada makan makanan sihat atau sebaliknya. Samalah halnya dengan "pandangan kehidupan" - pandangan tentang hal-hal yang berlaku semasa kita hidup, hal hidup. "Gaya hidup" membawa maksud yang salah, kerana "hidup" ada kaitan dengan keadaan ada nafas, maka "gaya hidup"lah gaya bernafas kita, gaya kita "ada nyawa" (hidup = ada nyawa), maka tidak sampailah maksud! Kehidupan = life, lifestyle = gaya kehidupan. | Untuk makluman, gaya hidup ialah padanan bahasa Melayu untuk istilah "life style' dan pandangan hidup ialah padanan bahasa Melayu untuk "worldview" atau "world outlook". Istilah ini telah digunakan dalam pelbagai bidang ilmu dan tidak perlu ditukar kerana telah diterima dan telah mantap. Sekiranya puan tidak bersetuju dengan istilah tersebut, sila kemukakan pandangan puan kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP. | Istilah | 16.12.2016 |