| Apakah perbezaan sangka/sangkaan dan jangka/jangkaan? | Mengikut Kamus Dewan Perdana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka maksud "sangka" ialah pendapat atau kesimpulan yang dibuat berdasarkan tekaan atau agakan terhadap sesuatu perkara atau perasaan syak atau curiga pada seseorang. Kata "sangkaan" pula bermaksud apa-apa yang disangka atau perasaan syak atau curiga terhadap sesorang. Contoh penggunaan dalam ayat: 1. Pada sangkanya, dia sangat bergembira, tetapi rupanya tidak. 2. Setelah melihat kemewahan hidupnya, timbul rasa sangkaku terhadapnya. 3. Sangkaan mereka ada musuh yang datang menyerang tempat itu. 4. Teman-temannya menaruh sangkaan kepadanya. Manakala "jangka" pula bermaksud tempoh masa yang telah ditetapkan panjangnya atau tempoh masa bagi sesuatu usaha, rancangan dan sebagainya. Kata "jangkaan" pula bermaksud sesuatu yang dijangka atau sesuatu yang diharapkan berlaku. Contoh penggunaan dalam ayat: 1. Kuala Terengganu bertukar wajah dalam jangka lima tahun. 2. Jangkaan perbelanjaan bagi projek tersebut ialah RM25,000.00. 3. Cabaran besar bagi ahli dan parti politik adalah memantapkan integriti dalam menangani jangkaan rakyat yang kian meningkat. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. | Makna | 15.07.2023 |
| Tuan, apakah perbezaan penggunaan tiga titik "..." dengan empat titik "...." seperti dalam ayat di bawah ini? "Remuk hatinya apabila..." dengan "Remuk hatinya apabila ...."?. Bilakah kita perlu menggunakan tiga titik dengan empat titik tersebut?. Terima kasih. | Tiga titik dikenali sebagai elipsis, iaitu yang menunjukkan pengguguran bahagian teks, khususnya petikan, sama ada di bahagian awal, bahagian tengah, atau bahagian akhir sesuatu ayat atau teks, contohnya: a) . . . bahawa kita menemui perbezaan asas antara semangat kapitalis dengan prakapitalis. b) Bahasa Melayu menghadapi masa depan yang amat cerah . . . menghasilkan murid-murid yang mendapat pendidikan seluruhnya dalam bahasa Melayu. 3c) . . . dan memberinya rezeki dengan tidak disangka-sangkanya . . . Selain itu, elipsis menunjukkan sesuatu yang bersambung, contohnya: 1,2,3, . . . Hal ini bermakna tiada empat titik, yang ada ialah elipsis iaitu tiga titik. | Lain-lain | 01.12.2011 |