Apakah ganti nama bagi raja yang zalim. Contoh ayat: Para pengawal membawa Sarah kepada Raja Mesir. Apabila beliau mendekati Sarah, tiba-tiba tangan dan kakinya lumpuh. **Raja Mesir dalam cerita ini digambarkan sebagai seorang raja yang zalim dan suka merampas isteri orang** | Kata ganti nama yang tepat ialah baginda. Baginda merupakan kata ganti nama ketiga yang digunakan untuk raja, sultan atau kerabat diraja. Untuk keterangan lanjut atau contoh sila rujuk Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 12.04.2013 |
Selamat Tengahari, Saya Sarah dari Tropical Marine Science Institute, Singapura. Saya perlukan sebuah buku cetakan Dr. Lokman Shamsudin pada tahun 1990. Tajuk buku ialah 'Diatom Marin di Perairan Malaysia'. Saya tidak dapat cari buku ini di online bookstore. Jadi, saya ingin tahu kalau DBP masih mencetak buku ini, dan berapa harga buku ini. Terima kasih. Sarah | Salam sejahtera Puan Sarah, Buku Diatom Marin di Perairan Malaysia sudah dihapus kira dan tidak dicetak ulang. Buku tersebut boleh dipertimbangkan untuk dicetak ulang sekiranya terdapat banyak permintaan daripada pembaca. Walau bagaimanapun, buku tersebut ada dalam simpanan Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, untuk pinjaman. | Lain-lain | 10.02.2010 |
Bilakah penggunaan 'yang' boleh atau tidak boleh digugurkan di dalam suatu ayat? Sebagai contoh, di dalam ayat "Buku yang Sarah pinjam itu mahal harganya." Bolehkah 'yang' di dalam ayat ini digugurkan? | Dalam ayat tersebut, perkataan yang tidak boleh digugurkan kerana 'yang' berperanan sebagai kata hubung. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 01.07.2010 |
Saya menghadapi masalah dalam penggunaan "Antara....dan" dan "Antara...dengan". Pasangan yang mana satukah yang wajar? Dalam penjelasan saudara, sila sertakan dengan contoh ayat. | Pasangan kata sendi nama 'antara ... dengan' yang betul, seperti dalam ayat Antara Siti dengan Sarah, Sarahlah yang lebih pintar. Walau bagaimanapun kata hubung dan dapat digunakan apabila kata sendi nama antara diikuti oleh lebih daripada dua frasa. Contohnya, Satu pertemuan akan diadakan antara Perdana Menteri, Menteri Kerja Raya, dan Menteri Pengangkutan pada minggu ini. | Tatabahasa | 07.03.2011 |
Salam sejahtera Tuan, Penggunaan yang betul ialah (1) Ali duduk di antara Siti dengan Abu. (ATAU) (2) Ali duduk di antara Siti dan Abu. Mohon tunjuk ajar. Sekian, terima kasih. | Pasangan kata sendi nama antara dan frasa sendi nama di antara ialah dengan bukan kata hubung dan. Kata hubung dan hanya dapat digunakan apabila kata sendi nama antara diikuti oleh lebih daripada du frasa. Contoh:- Antara Siti dengan Sarah, Sarahlah yang lebih pintar.- Satu pertemuan akan diadakan antara Perdana Menteri, Menteri Kerja Raya, dan Menteri Pengangkutan pada minggu ini. | Tatabahasa | 25.09.2013 |
1. apakah perbezaan antara "antara...dengan" dan "antara...dan"? mana satu betul? 2. "terpengaruh dengan" atau "terpengaruh oleh" betul? | 1. pasangan kata sendi nama antara dan frasa sendi nama di antara ialah dengan bukan kata hubung dan. Kata hubung dan hanya dapat digunakan apabila kata sendi nama antara diikuti oleh lebih daripada du frasa. Contoh:- Antara Siti dengan Sarah, Sarahlah yang lebih pintar.- Satu pertemuan akan diadakan antara Perdana Menteri, Menteri Kerja Raya, dan Menteri Pengangkutan pada Minggu ini. 2. Kedua-duanya betul kerana kata ‘dengan’ juga membawa maksud ‘oleh’ begitu juga sebaliknya. Sila rujuk KD4. | Makna | 19.10.2008 |