Ayat manakah yang betul? 1. Suatu hari nanti, saya kembali semula ke sini. 2. Satu hari nanti, saya kembali semula ke sini. Apakah perbezaan penggunaan "suatu" dan "satu"? Terima kasih. | Ayat 1 betul. Perbezaannya ialah Suatu hari merujuk kepada hari yang belum pasti atau abstrak. Contohnya, Encik Ali tetap akan kembali ke tanah air suatu hari nanti, manakala Satu hari pula merujuk bilangan hari, seperti hari Isnin, Selasa, Rabu dan seterusnya. | Tatabahasa | 11.08.2020 |
Siva Ramana 20 Disember 2015 SUN 10:28PM Siva Nama saya Siva Ramana. Walaupun saya bukan berbangsa melayu saya fasih berbahasa dan suka menonton drama melayu tak kira mana mana siaran. Sejak kebelakangan ini, banyak drama drama Sudah mula mencampuradukan penggunaan bahasa inggeris(BI) terlampau. Saya berusia 35 tahun saya menonton drama sejak kecil Lagi Dari cerita Opah zaman 80an hingga kini. Maka, saya tahu layar cerita dan cara penggunaan BM dulu dan kini. Saya memang tidak nafikan, untuk tujuan Pasaran dan gaya masa kini penggunaan BI dan BM Dalam tutur kata harian. Tetapi bila lihat drama kini penggunaan BI terlalu banyak Dalam satu seisi perbualan. Kalau Ada masa, Cuba tonton TV dan nilai sendiri. Tak salah kalau saya kata, tujuan saya menonton drama melayu untuk menghayati drama melayu, bukan untuk dengar BI.. Saya tidak Tahu sejauhmana balasan saya ini di ambilkira. Walaupun tak diambilkira saya masih tak Rugi yang sayangnya mingkin satu hari nanti kita lihat drama BM Dalam versi BI sepenuhnya kononnya itu lah trend pada masa itu." Sediakan payung sebelum hujan" " setitik nila rosak susu sebelangga". Buat lah sesuatu sebelum terlambat Terima kasih Daripada Insan bukan melayu yang Berjiwa melayu. | Terima kasih atas keprihatinan tuan. Untuk makluman, unit pemantauan di DBP juga telah membuat pemantauan tentang penggunaan bahasa dalam media elektronik dan dapatan dari pemantauan ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Media Elektronik. Walau bagaimanapun kami juga sedar kecelaruan penggunaan bahasa dalam media elektronik ini masih belum diatasi dan kami amat mengharapkan sokongan semua pihak terutamanya pengamal media dan orang awam untuk kita bersama-sama memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam media elektronik dan bidang-bidang lain juga. Kami amat memuji sikap dan jati diri tuan dalam hal ini, semoga bahasa kebangsaan kita terus dimartabatkan di negara kita. | Lain-lain | 20.12.2015 |
Adakah perkataan 'suatu hari' dan 'satu hari' membawa maksud yang sama? TQVM | Suatu hari merujuk kepada hari yang belum pasti atau abstrak. Misalnya, suatu hari nanti akan terbukti juga kesalahan yang telah dilakukannya itu. Satu hari merujuk bilangan hari, seperti hari Sabtu. | Tatabahasa | 27.05.2011 |
PENGWUJUDAN PROGRAM AUDIT BAHASA MELAYU BERTUJUAN MEMANTAU PENGGUNAAN BAHASA MELAYU. SAYA DIFAHAMKAN PROGRAM AUDIT INI MERUPAKAN SATU DARIPADA PERKHIDMATAN DBP. OLEH ITU, APAKAH 3 LANGKAH PELAKSANAAN PROGRAM BERKENAAN SECARA SISTEMATIK. TERIMA KASIH ATAS JAWAPAN DARIPADA PIHAK DBP. | Untuk makluman puan, program audit bahasa masih lagi dalam peringkat perancangan oleh pengurusan DBP. Tidak ada maklumat lanjut yang dapat diuar-uarkan sehinggalah program ini diluluskan dan dapat dilaksanakan pada suatu hari nanti. Sebagai maklumat tambahan, puan boleh merujuk artikel dalam akhbar berkaitan program berkenaan. | Lain-lain | 10.04.2012 |
"Saya terjumpa satu buku ""Sejarah Ringkas Bahasa Melayu"" oleh Asmah Haji Omar terbitan Jabatan Muzium Negara semasa melawat Pesta Buku Antarabangsa yang lalu. Isi kandungannya sangat menarik tetapi sayangnya penuh dengan kesilapan tatabahasa. Bab pertama saja sudah tak terkira kesilapannya. Saya fikir alangkah bagusnya kalau DBP kemas kini buku ini dan ia diterbitkan semula. Saya pasti buku ini akan dihargai oleh ramai pencinta bahasa Melayu atau sesiapa saja yang ingin tahu tentang asal-usulnya. Terima kasih." | Untuk makluman tuan, buku itu telah menjadi hak cipta Jabatan Muzium Negara dan DBP tidak boleh menerbitkannya semula, kecuali ada kerjasama antara DBP dan Jabatan Muzium Negara tentang penerbitan semula buku tersebut suatu hari nanti. | Lain-lain | 20.10.2015 |
Perbezaan semalam dengan kelmarin. Mohon penjelasan. T.kasih | Saudara Zulkifli, Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan kelmarin bermaksud sehari sebelum hari ini, semalam. Perkataan semalam bermaksud 1. satu malam: kalau ke kampung nanti, tidurlah di rumah nenek barang ~; 2. sepanjang malam: maka ~ itu Hang Tuah pun berhikayat pelbagai cerita; 3. hari sebelum hari ini, kelmarin: ~ kami pergi berkelah ke Port Dickson; Oleh yang demikian, kedua-dua perkataan ini membawa maksud yang sama. | Makna | 05.08.2009 |
Yg mana satu betul? "------- akan segera mengadap sultan apabila tiba di Melaka nanti," kata Laksamana Hang Tuah kepada sahabat-sahabatnya. A. Patik B. Hamba C. Tuanku D. Beta Dlm penerangan encik...hamba digunakan utk merendahkan diri... Manakala patik dgunakan ketika brckap dgn raja...Jd knapa jwpannya 'patik' ....sdangkan laksamana hang tuah bckap dgn sahabatnya... | Kami memohon maaf atas kesilapan jawapan yang diberikan. Pihak kami telah menghantar e-mel kepada saudara pada tarikh yang sama jawapan diberikan (5/2/2013) untuk pemberitahuan kesilapan kesalahan jawapan KNDBP. Jawapan yang tepat ialah hamba. Kami memohon maaf atas kesilapan yang diberikan tempoh hari. | Tatabahasa | 06.02.2013 |
Assalamualaikum wbt. Saya Norra. Saya ada pertanyaan berkenaan dengan tatabahasa. 1.Kami akan menyambut hari guru pada bulan Mei. 2. Kita akan pergi bercuti pada bulan Jun nanti. - Boleh terangkan sama ada ayat di atas salah atau betul? - Betul ke ayat di atas tidak gramatis? - Jika guna ayat di atas untuk ajar di tadika, adakah menjadi satu kesalahan besar dari segi tatabahasa. Terima kasih. Norra 0123657918 | Dalam kedua-dua ayat ini, puan hendaklah mengenal pasti kata sendi nama yang hendak digunakan. Kami berpandangan ayat pertama ialah "kita akan menyambut hari guru pada bulan Mei" dan ayat kedua "kami akan bercuti pada bulan Jun". | Tatabahasa | 23.06.2021 |
saya ingin meneruskan pengajian di ipta..permohonan saya ditolak..saya mengharapkan bantuan... | Assalamualaikum Terlebih dahulu saya ucapkan tahniah atas semangat dan keinginan saudara untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Saudara perlu sentiasa beringat bahawa bukannya mudah untuk mencapai kejayaan. Ia memerlukan ketekunan dan keazaman yang tinggi. Tabah menghadapi kegagalah kerana kegagalan adalah salah satu proses pembelajaran. Oleh itu jika saudara gagal untuk mendapat tempat di IPTA jangan putus asa, cari jalan penyelesaian yang lain seperti mendapatkan tempat di IPTS yang penting matlamat untuk saudara menyambung pelajaran dan memperoleh kejayaan akan tercapai di suatu hari nanti insyaallah. Sekian selamat belajar dan selamat memperoleh kejayaan yang cemerlang | Lain-lain | 11.05.2010 |
salam. saya amat meminati dunia penulisan. saya pernah menghasilkan satu novel online. Tapi, daripada segi kualiti mungkin agak rendah kerana mungkin penggunaan struktur kata yang agak kurang bijak, tidak cukup puitis, kosa kata tidak meluas dan kadang-kadang pengakhiran cerita dapat diteka oleh pembaca. Saya betul-betul berminat untuk menjadi penulis dan menerbitkan buku. Saya berkehendakkan khidmat daripada DBP dalam memberi tunjuk ajar dan tips bagi menjadi seorang penulis. harap kepada respon. kerjasama tuan diucapkan terima kasih. | Salam. Tips untuk menjadi penulis, antara lain, saudara perlu banyak membaca karya orang lain terlebih dahulu. Jika saudara ingin menulis novel misalnya, maka bacalah novel yang temanya menjadi minat saudara, contohnya kisah cinta, penyiasatan, misteri dan sebagainya. Teliti cara penulis itu menulis karya mereka dari segi pengadunan plot, watak perwatakan, seting, gaya, bahasa, teknik seperti monolog, dialog, saspens; pembahagian bab, dan apa-apa sahaja yang menjalin sesebuah cerita. Selain itu, saudara perlu mempunyai ilmu bantu yang merentas bidang seperti teori sastera, psikologi, falsafah, sosiologi dan sebagainya, kerana penulisan merupakan gambaran kehidupan, sama ada yang berlaku di alam realiti ataupun imaginasi semata-mata. Saudara juga disarankan agar memasuki mana-mana kursus atau bengkel penulisan yang banyak diadakan oleh badan-badan penerbit, atau orang perseorangan yang boleh menjadi mentor saudara. Pada masa ini juga, banyak buku panduan menulis boleh didapati di pasaran, yang dapat memberi banyak tips untuk saudara menulis. Dan akhir sekali, untuk menjadi penulis yang baik, maka mahu tidak mahu, ia terpulang juga kepada bakat semula jadi seseorang itu. Jika seseorang itu dianugerahi Allah, bakat semula jadi (alami), tanpa banyak belajar pun, dia akan menjadi penulis yang baik. Moga saudara menjadi seorang penulis yang berjaya pada suatu hari nanti, insya-Allah. Wassalam. | Lain-lain | 05.05.2010 |