Terdapat anggapan bahawa satu-satu emosi adalah berasingan daripada satu-satu emosi yang lain. Walhal, emosi tidak harus wujud secara bersendirian. Satu-satu emosi tidak semestinya berdiri sendiri. Malahan, ia harus atau boleh wujud bersama (_co-exist_). Emosi sedih boleh wujud bersama emosi gembira pada satu-satu masa. Walaupun, jika dilihat pada permukaannya, kedua-dua emosi tersebut adalah bertentangan, hal ini adalah harus kerana emosi ialah makhluk atau ciptaan Allah S.W.T. Perumpamaan yang sesuai bagi perkara berkenaan dan situasi tersebut ialah lautan air tawar dan lautan air masin yang wujud bersama (al-Furqan: 53). | Padanan bagi istilah co-exist dalam bahasa Melayu ialah wujud bersama. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 25.01.2025 |
Yang mana betul, dalam satu-satu masa / dalam suatu masa / dalam sesuatu masa? Contoh ayat - saya hanya boleh melakukan dua perkara dalam satu-satu masa. | Frasa yang betul ialah "dalam satu-satu masa", seperti contoh ayat "Saya hanya boleh melakukan dua perkara dalam satu-satu masa." | Tatabahasa | 20.07.2023 |
Assalamualaikum wbt Saya ingin bertanya, bagaimana cara untuk menentukan sama ada satu-satu frasa adalah kata nama khas atau nama am? Cth: Bendera Pertama Persekutuan Tanah Melayu atau Bendera pertama Persekutuan Tanah Melayu. Frasa ini digunakan untuk mewartakan bendera tersebut. Mohon maklum balas. Terima kasih | Kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada suatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dalam huruf besar. Contoh kata nama khas ialah Anwar Ibrahim, Kuala Lumpur, Universiti Putra Malaysia, Jalur Gemilang dan lain-lain. Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara, atau konsep yang umum sifatnya. Ia boleh dibahagikan kepada kumpulan kecil berdasarkan ciri makna perkataannya, iaitu hidup atau tak hidup, manusia atau bukan manusia, institusi atau bukan institusi, konkrit atau abstrak, berbilang atau tak berbilang, dan seumpamanya. Contoh kata nama am ialah guru, nelayan, gajah, burung, bidadari, angin, kecantikan, angkasa dan lain-lain. Berdasarkan contoh yang diberikan oleh tuan/puan, perkataan “bendera” dan “pertama” merupakan kata nama am manakala “Persekutuan Tanah Melayu” ialah kata nama khas. Jika frasa “Bendera Pertama Persekutuan Tanah Melayu” diwartakan sebagai kata nama khas, maka hendaklah ditulis dengan huruf besar di pangkal setiap perkataan tersebut. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 96 – 101. | Tatabahasa | 11.12.2024 |
Apakah perbezaan penggunaan istilah "Majlis "dan "Persatuan" ?Kekeliruan ini timbul sekiranya ingin mewujudkan satu-satu organisasi di peringkat daerah ? Contoh, Majlis Guru-Guru Besar atau Persatuan Guru-guru Besar . | Majlis bermaksud badan yang dilantik atau dipilih, yang mempunyai kuasa mentadbir, membuat peraturan dan menasihat, manakala persatuan bermaksud kumpulan beberapa orang, pasukan dan sebagainya yang mempunyai tujuan yang sama. Organisasi yang melibatkan kuasa pentadbiran kebiasaaannya dinamakan majlis. | Penyemakan dan penterjemahan | 04.03.2020 |
Kebanyakan masyarakat kini dilihat leka dalam pematuhan SOP penjarakan fizikal memandangkan ramai orang dilihat berkumpul dalam satu-satu masa khususnya di pasaraya atau tempat awam. Salam,Tuan/Puan.Bolehkah saya tahu ‘mengapakah ayat di sini kebanyakan masyarakat boleh digunakan’bukannya tulis ‘masyarakat’ sahaja?atau kebanyakan masyarakat dikatakan lebih sesuai? Soalan kedua:ayat di atas predikat ‘dalam pematuhan’betul atau salah?Saya kerap membaca karangan ‘penulis kerap menulis “dalam membicarakan atau lain-lain” Maksudnya penulis menulis dalam tambah ke belakang ‘mem’? Apakah perbezaan antara ‘orang ramai’ dengan ‘ramai orang’? | - Perkataan kebanyakan membawa maksud sebahagian yang banyak; jumlah yang terbesar. Penggunaan perkataan “kebanyakan masyarakat” dalam ayat tersebut menerangkan bahawa “sebahagian besar masyarakat”. Jika ditulis masyarakat sahaja bermakna semua orang dalam masyarakat tersebut.
- Kata sendi nama dalam hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Perkataan seperti sebab (cause), perkara (matter) atau had (limit) tidak mempunyai ruang atau jarak yang dapat ditentukan. Oleh itu, penggunaan perkataan yang betul ialah dalam.
- Orang ramai maksudnya dengan masyarakat atau orang awam. Ramai orang pula merujuk suasana orang yang ramai di sesuatu tempat, manakala bagi merujuk bilangan orang penggunaan yang paling tepat ialah banyak orang.
- Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
| Tatabahasa | 15.01.2021 |
Apakah terjemahan bahasa Melayu yang sebetulnya untuk perkataan Inggeris "Cover" dalam konteks video/audio muzik yang dinyanyikan oleh orang selain penyanyi asal satu-satu lagu. Contohnya: "Skyfall - Adele Cover by Mat". | Terjemahan yang sesuai bagi perkataan 'cover' mengikut konteks ayat 'Skyfall Adele Cover by Mat' ialah Nyanyian semula lagu Adele oleh Mat - Skyfall | Makna | 02.06.2020 |
Apakah perbezaan antara setiap dan tiap-tiap ? | Setiap dan tiap-tiap mempunyai maksud yang sama, iaitu satu-satu daripada banyak, masing-masing. | Makna | 08.01.2021 |
Salam dan hai. Saya mahu terjemah satu rencana di Wikipedia. Tetapi perkataan "read into" dalam istilah pengintipan agak sukar diterjemah secara satu-satu atau sepenuhnya dengan perkataan lebih kurang sama. Dan kebanyakannya tidak sesuai dengan konteks. Jadi saya berharap ada istilah sesuai untuk majoriti tema pengintipan. Sumber: https://en.wikipedia.org/wiki/Read_into | Perkataan "read into" merupakan kata umum yang boleh diterjemah sebagai "mentafsirkan". Perkataan ini bermaksud menganggap bahawa sesuatu mempunyai makna yang lebih daripada yang sebenar. | Lain-lain | 15.12.2021 |
Apa maksud Fail Meja? | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, "fail meja" bermaksud dokumen rujukan peringkat individu atau jawatan berasaskan senarai tugas dan tanggungjawab yang mengandungi maklumat atau panduan untuk mengendalikan tugas bagi satu-satu jawatan. | Makna | 02.10.2024 |
Bagi nama-nama gunung/pergunungan atau sepertinya, contohnya Blue Mountains, Green Mountains and Crazy Mountains di Amerika, perlukah diterjemah perkataan Blue, Green dan Crazy atau boleh saja diterjemah kepada Pergunungan Blue, Gunung Green dan Pergunungan Crazy? | Nama-nama bagi negara, negeri, daerah mahupun tempat adalah mengikut pengesahan yang telah diisytiharkan oleh badan-badan tertentu dalam satu-satu keadaan yang tertentu dalam masa-masa yang tertentu. Tidak ada panduan yang khusus untuk pengisytiharan satu-satu nama tersebut. Nama-nama ini hampir terkecuali daripada hukum-hukum dan pola bahasa dan penterjemahan. Nama tempat digolongkan dalam kata nama khas. Kata nama khas mendukung makna rujukan khusus pada nama orang, tempat, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat dan seumpamanya. Justeru, kata nama khas yang merujuk nama tempat tersebut tidak perlu diterjemahkan kepada bahasa Inggeris. | Penyemakan dan penterjemahan | 19.10.2019 |