frasa sebaik sahaja atau sebaik saja atau sebaik-baik sahaja atau sebaik-baik saja. yang mana lebih tepat? bolehke frasa sebaik saja digunakan sebagai penanda wacana atau sebaik-baik saja lebih tepat? | Frasa yang paling tepat ialah sebaik-baik sahaja. | Tatabahasa | 20.10.2010 |
Sudah agak lama saya 'terputus hubungan' dgn DBP sebaik saja saya melangkah ke alam pekerjaan. Saya mempunyai beberapa naskhah cerpen yg pernah disiarkan oleh RTM Sabah hampir 20 thn lalu dan berminat utk dibukukan. Bagaimana prosedur menghantar contoh naskhah tersebut? | Prosedur menghantar manuskrip adalah seperti berikut: 1. Jumlah cerpen sebaik-baiknya 20 cerpen atau lebih. 2. Pastikan anda mendapatkan izin terbit daripada penerbit asal sekiranya anda ingin menerbitkan semula cerpen-cerpen yang telah tersiar di majalah, akhbar atau terbitan lain. 3. Taip manuskrip anda dalam jarak langkau dua baris (double spacing) pada sebelah halaman kertas sahaja pada kertas A4. Tuliskan muka surat manuskrip secara berurutan daripada cerpen pertama sehingga cerpen terakhir. 4. Sediakan halaman Kandungan serta muka suratnya. 5. Tulis judul manuskrip dan nama penulis pada kulit manuskrip. 6. Jilid manuskrip dengan kemas. 7. Kirimkan satu salinan manuskrip bercetak kepada Ketua Editor Buku Sastera (bagi pembaca dewasa), atau kepada Ketua Editor Buku Kanak-kanak dan Remaja (jika pembacanya kanak-kanak atau remaja). Sertakan satu salinan digital manuskrip tersebut (dalam CD atau disket). Sertakan juga sedikit biodata anda, alamat dan nombor telefon atau e-mel, serta nama waris anda (isteri, anak dsb.) serta alamat mereka. | Lain-lain | 09.03.2011 |
Salam sejahtera, Saya tertarik dengan artikel 'Yang Baru dan Baharu Mungkin Tetap Baharu' dalam Klik DBP (5.2.2012). Penjelasan sedemikian amat diperlukan oleh pengguna. Syabas untuk penulis. Soalan saya: Jadi apakah kelas kata untuk 'baru'? Jika penulis mengatakan 'baharu' dan 'baru' ialah kata adjektif dalam menyatakan maksud "new", lalu bila mengungkapkan maksud "just" dan "recently" (kedua-duanya adverb dalam kelas kata BI) apakah kelas kata bagi 'baru' itu? Dalam Kamus Dewan (versi laman web), dinyatakan bahawa 'baru' adalah kata tugas yang antaranya bersinonim dengan kata adverba 'sesudah' dan 'sebaik saja'. Bolehkah disimpulkan, 'baru' itu adalah kata tugas dan juga kata adverba? atau bagaimana? Terima kasih. | Kata baru dalam konteks makna just dan recently berfungsi sebagai Kata Bantu (dalam dolongan Kata Tugas). Dalam buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 258 baru tergolong dalam Kata Bantu Aspek yang menimbulkan suasana perbezaan masa, iaitu masa lampau, masa kini atau masa hadapan. Baru juga boleh berfungsi sebagai adverba dan mengikut konteks ayat yang digunakan. | Tatabahasa | 05.02.2012 |
Salam 1 Malaysia. Apakah itu laras bahasa undang-undang dan laras bahasa teknikal ?? Saya betul-betul tak faham dan keliru dalam penggunaan tatabahasa. Dalam kontrak perjanjian, adakah laras bahasa di atas? Untuk perhatian pihak tuan, disini saya melampirkan contoh teks kontrak untuk diteliti dari segi penggunaan tatabahasa dan kosa kata termasuk huruf besar dan kecil. Segala pembetulan menggunakan bahasa Melayu yang sebenar amatlah diharapkan. | Puan Noor Zarina, Laras atau ragam bahasa merupakan variasi bahasa yang digunakan dalam bidang khusus seperti perundangan, perubatan, teknikal dan sebagainya. Laras bahasa perundangan dan laras bahasa teknikal sudah tentu berbeza antara satu sama lain dari segi penggunaan kata, istilah dan susunan ayatnya. Bahan yang dilampirkan untuk semakan bahasa akan dikirimkan melalui alamat e-mel puan sebaik saja siap disemak. Terima kasih. | Lain-lain | 21.10.2010 |
Salam sejahtera, saya ingin tanya apakah perbezaan antara fasih dan petah? Terima kasih | Salam sejahtera, Berikut ini diperturunkan beberapa contoh penggunaan bagi fasih dan petah yang dipetik daripada korpus DBP, iaitu: 1. fasih a. ... Mahadzir yang juga fasih dalam bahasa Itali, Perancis, Portugis dan Sepanyol b. Kita juga ada ramai ulama yang fasih berbahasa Arab ... c. ... untuk berurusan dengan warganegara asing yang tidak fasih berbahasa Inggeris d. Saya mengambil masa empat tahun untuk fasih dan mahir dalam bahasa Mandarin. 2. petah a. Ashraf seorang yang petah bercakap dan suka berhujah. b. ... soal Dayang Ruku yang sememangnya lebih petah berbicara berbanding Dayang Hubu ... c. Artis yang petah berbicara ini mengakui cukup teruja sebaik saja dikhabarkan ... d. ... Lincoln telah mula terkenal sebagai seorang yang petah lagi bijak bercakap. Berdasarkan contoh yang diberikan, terdapat perbezaan antara kedua-dua kata ini berdasarkan konteks penggunaannya. Perkataan fasih lebih sesuai digunakan untuk merujuk kepada tahap penguasaan bahasa seseorang yang bukan penutur asli bahasa itu, makakala petah pula merujuk kepada kebolehan seseorang melontarkan kata-kata dengan lancar dan jelas sebutannya sewaktu berbicara, berhujah dan sebagainya dalam bahasa yang dikuasainya. Terima kasih. | Makna | 23.09.2024 |