Ungkapan sedikit sebanyak wajar digantikan dengan sedikit banyak. Hal ini menyalahi kebiasaan dan kelihatan bertentangan. Tolong berikan ulasan ringkas terhadap kenyataan ini. | Merujuk kepada Kamus Dewan, ungkapan yang kebiasaannya digunakan ialah "sedikit sebanyak". Mohon agar saudara dapat memberikan sedikit maklumat apakah yang dimaksudkan dengan menyalahi kebiasaan dan kelihatan bertentangan agar pihak kami dapat berkongsi maklumat tersebut serta sumber yang saudara perolehi berkaitan perkara ini. | Tatabahasa | 14.06.2007 |
Sila pihak tuan semak ayat-ayat surat ini, sesuai atau tidak? Kami diarahkan oleh syarikat pelanggan kami yang disebut diatas supaya memulangkan Borang C dan R bagi T/T 2011 yang telah dilengkapkan dan dilaporkan melalui e-filing untuk tindakan tuan yang selanjutnya. Untuk makluman tuan, sepertimana yang ditunjukkan didalam Borang C T/T 2011, syarikat ini adalah dikenakan cukai sebanyak RM195,368.75, tetapi selepas campur Penambahan cukai dibawah Sec. 107C(10) syarikat pelanggan kami kena membayar jumlah baki sebanyak RM203,044.56. Oleh kerana memandangkan keadaan ekonomi yang amat tidak baik, ini mengakibatkan syarikat pelanggan kami tidak mampu untuk membuat bayaranya dengan sekaligus dan amat berharap supaya pihak tuan dapatlah memberikan masa kepada syarikatnya untuk membuat jumlah bayaran cukai bagi T/T 2011 melalui sebelas (11) ansuran dengan cara berikut : - Dan bersama-sama surat ini pelanggan kami ingin melampirkan sebelas (11) keping Cek AB untuk perhatian dan tindakan tuan seterusnya. Sila pihak tuan akui resit kepada pelanggan kami setelah cek telah laku. Sekian, semoga mendapat perhatian dan pertimbangan dari pihak tuan, Terima kasih. | Kami diarahkan oleh syarikat pelanggan kami yang disebut di atas supaya memulangkan Borang C dan R bagi T/T 2011 yang telah dilengkapkan dan dilaporkan melalui e-filing untuk tindakan tuan selanjutnya. Untuk makluman tuan, sepertimana yang tertera di dalam Borang C T/T 2011, syarikat ini dikenakan cukai sebanyak RM195,368.75, tetapi selepas dicampur penambahan cukai di bawah Sek. 107C (10) syarikat pelanggan kami dikehendaki membayar jumlah baki sebanyak RM203,044.56. Memandangkan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, syarikat pelanggan kami tidak mampu untuk membuat bayaran dengan sekali gus dan amat berharap supaya pihak tuan dapatlah memberikan masa kepada syarikat untuk membuat jumlah bayaran cukai bagi T/T 2011 melalui sebelas (11) ansuran dengan cara yang berikut: ... Dan bersama-sama ini kami lampirkan sebelas (11) keping Cek AB untuk perhatian dan tindakan tuan seterusnya. Sila keluarkan resit kepada pelanggan kami setelah cek tersebut ditunaikan. | Tatabahasa | 16.08.2012 |
Apakah benar perkataan serta susunan ayat yang telah saya gunakan dalan karangan ayat dibawah ini? "Kami adalah diarahkan oleh pelanggan kami yang disebut di atas supaya merujuk kepada Borang B bagi T/T 2011 yang telah dilengkapkan dan dilaporkan melalui e-filing untuk tindakan pihak tuan yang selanjutnya. Untuk makluman pihak tuan, sepertimana yang ditunjuk di dalam Borang B bagi T/T 2011, pelanggan kami adalah dikenakan cukai sebanyak RM __________, tetapi setelah ditolak bayaran Potongan Cukai Berjadual (PCB), bayaran ansuran Seksyen 107 B (CP 500) dan bayaran CP 38 berjumlah RM 32,893.89 bagi T/T 2011 pelanggan kami masih mempunyai baki kredit sebanyak RM __________ seperti yang ditunjukkan berikut: - Dengan keterangan dan penyata yang seperti ditunjuk diatas, pelanggan kami berharap supaya pihak tuan dapat mengesah dan memulangkan baki kredit pelanggan kami dengan secepat yang mungkin setelah ditaksirkan. Terima kasih." | Apakah benar perkataan serta susunan ayat yang telah saya gunakan dalan karangan ayat dibawah ini? "Kami adalah diarahkan oleh pelanggan kami yang disebut di atas supaya merujuk kepada Borang B bagi T/T 2011 yang telah dilengkapkan dan dilaporkan melalui e-filing untuk tindakan pihak tuan yang selanjutnya. Untuk makluman pihak tuan, sepertimana yang ditunjuk di dalam Borang B bagi T/T 2011, pelanggan kami dikenakan cukai sebanyak RM__________, tetapi setelah ditolak bayaran Potongan Cukai Berjadual (PCB), bayaran ansuran Seksyen 107 B (CP 500) dan bayaran CP 38 berjumlah RM32,893.89 bagi T/T 2011 pelanggan kami masih mempunyai baki kredit sebanyak RM__________ seperti yang berikut: Dengan keterangan dan penyata yang seperti ditunjukkan di atas, pelanggan kami berharap supaya pihak tuan dapat mengesahkan dan memulangkan baki kredit pelanggan kami dengan secepat yang mungkin setelah selesai ditaksirkan. | Tatabahasa | 07.06.2012 |
Beberapa hari selepas pengumuman yang telah dibuat oleh beberapa syarikat gergasi telekomuniasi di Malaysia untuk menaikkan kadar cukai sebanyak 6 peratus kepada pengguna pra bayar akhirnya mereka akur. | Beberapa hari selepas pengumuman yang dibuat oleh beberapa syarikat gergasi telekomuniasi di Malaysia untuk menaikkan kadar cukai sebanyak 6 peratus kepada pengguna prabayar, akhirnya mereka akur. - ayat ini tidak lengkap dan tidak dapat difahami, contohnya frasa "akhirnya mereka akur" akur dengan apa? | Tatabahasa | 15.09.2011 |
12Dengan ini adalah dimaklumkan bahawa pemenang tempat pertama akan menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM50,000.00. munsyi, adakah gramatis ayat ini? TK | Ayat tersebut tidak gramatis. Lihat penggunaan kata sendi nama adalah dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 265. | Tatabahasa | 05.04.2012 |
Wang sebanyak dua puluh ringgit telah diberi oleh ibu kepada Zahid. Adakah apa-apa kesalahan dalam ayat ini?? | Ayat tersebut betul. | Tatabahasa | 06.08.2013 |
Tuan, saya agak keliru tentang penggunaan perkataan 'sedikit banyak' yang digunakan oleh beberapa penerbit buku di negara kita. Adakah penggunaannya betul, bukan 'sedikit sebanyak'? Begitu juga dengan penggunaan perkataan 'di sebalik kejadian itu' dan 'di balik kejadian itu'. Yang manakah paling tepat? Sekian, terima kasih. | Frasa sedikit banyak dan sedikit sebanyak, kedua-duanya membawa makna lebih kurang. Oleh itu, tiada masalah dalam penggunaan frasa mana yang lebih digemari. Hal ini tidak sama bagi frasa di balik dan di sebalik. Di balik bermaksud di belakang, manakala di sebalik bermaksud pada bahagian (aspek dan sebagainya) yang terselindung atau tidak begitu ketara. Frasa yang betul ialah di sebalik kejadian. | Tatabahasa | 27.11.2012 |
Bolehkah "para hadirin sekalian" ditulis dalam karangan berformat syarahan? Saya telah menulis "para hadirin sekalian" sebanyak 3 kali dalam peperiksaan SPM 2011 hari ini, jika salah, adakah banyak markah peperiksaan akan merosot? Sila beritahu jika salah, terima kasih. | Pengulangan perkataan/frasa dibolehkan asalkan bersesuaian maknanya dan fungsinya dalam wacana tersebut. Walau bagaimanpun untuk tujuan peperiksaan lebih baik saudara merujuk dan berbincang dengan guru mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah. | Tatabahasa | 14.11.2011 |
Pada semester 2 di IPKS ini, saya sedang mempelajari bidang 'Pengatar Psikolinguistik'. Jadi, masalah saya dalam hal ini adalah berkaitan sumber-sumber carian mengenai bidang ini. Begitu juga masalahnya mengenai teori-teori bahasa dan teori pemerolehan bahasa yang susah bagi saya memahaminya. Bolehkan pihak tuan/puan memberitahu sedikit sebanyak fakta-fakta mengenai bidang Pengatar Psikologi ini terutamanya mengenai teori bahasa dan teori pemerolehan bahasa. Sekian, terima kasih. | Saudara dinasihati supaya membuat rujukan di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP atau di perpustakaan di ipt di tempat saudara. Saudara juga boleh berbincang untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pensyarah yang mengajarkan bidang ini. | Lain-lain | 27.06.2008 |
Apa maksud menderma dan berderma | Puan Hindun, Kedua-dua perkataan ini membawa makna yang sama iaitu, memberikan derma atau memberikan sesuatu dengan ikhlas. Contoh penggunaan: Dia telah berderma sebanyak seratus ringgit; Dia telah mendermakan kain baju kepada mangsa banjir. | Makna | 20.12.2010 |