Salam sejahtera tuan, saya ingin bertanya, bolehkah kata ganti nama diri -nya wujud sebelum perkataan dia dalam sesebuah ayat? Contoh: Pegawai itu memberitahunya bahawa dia didapati bersalah kerana dia telah melanggar peraturan yang ditetapkan. (Kata ganti “-nya” wujud sebelum kata ganti “dia”) Adakah ayat tersebut betul? | Ayat tersebut betul. Kata ganti “-nya” boleh wujud sebelum kata ganti “dia”. Namun “-nya” perlu merujuk kepada seseorang. Ayat tersebut perlu ada ayat sebelumnya yang merujuk kepada siapa “-nya”. | Tatabahasa | 24.01.2023 |
Boleh ke guna membawa'nya' sebab setahu saya 'nya' hanya boleh digunakan untuk manusia. Perlu tambah 'ke' sebelum pusat kitar semula sebab sudah ada 'ke' sebelum tempat pelupusan sampah? Mereka terlalu malas untuk menanam sampah sarap apatah lagi membawanya ke tempat pelupusan sampah atau ke pusat kitar semula. | Ayat yang betul ialah Mereka terlalu malas untuk menanam sampah sarap apatah lagi membawa sampah tersebut ke tempat pelupusan sampah atau ke pusat kitar semula. Kata sendi ke perlu diulang bagi menunjukkan tempat atau arah seperti yang diterangkan dalam Tatabahasa Dewan halaman 267. | Tatabahasa | 11.07.2014 |
Salam Sejahtera. Mohon penerangan penggunaan kata -nya yang betul dalam ayat-ayat di bawah. a) Dia menjaga haiwan kesayangannya dengan baiknya. b) Dia menjaga haiwan kesayangannya dengan baik. Adakah penggunaan -nya selepas kata adjektif betul dalam ayat di bawah? a) Beg plastik itu diikat dengan kemasnya sebelum dibuang. b) Murid menyebut ayat tunggal dengan betulnya. Terima kasih. | Keempat-empat ayat boleh diterima. Untuk ayat 1(a), dan 1(b), kata "-nya" (haiwan kesayangannya)merupakan kata ganti diri orang ketiga yang merujuk kepada "dia". Untuk ayat 1(a), "...dengan baiknya", 2(a) "... dengan kemasnya", 2(b) "... dengan betulnya" merupakan keterangan cara yang mengandungi kata sendi nama dengan diikuti oleh kata adjektif baik, kemas, betul yang menerima kata pembenda -nya. | Tatabahasa | 09.02.2019 |
Adakah perkataan -nya boleh digabungkan dengan perkataan "seolah-olah"? Contoh ayat: Kalau kamu berkata begitu, seolah-olahnya kamu menuduh saya mencuri. Pada pendapat saya, dalam contoh ayat di atas, perkataan -nya itu adalah tidak diperlukan untuk menyampaikan maksud ayat kerana jika digugurkan perkataan -nya dalam ayat itu, ia masih menyampaikan maksud yang sama. Kalau kamu berkata begitu, SEOLAH-OLAH kamu menuduh saya mencuri. Untuk itu saya berpendapat perkataan seolah-olah tidak perlu sama sekali disertakan dengan -nya dalam mana-mana keadaan jua. Ia menjadi perkataan yang lewah dan berlebihan. Ia juga tidak menjadikan perkataan seolah-olah sebagai penegasan. Adakah betul pendapat saya? | Antara fungsi -nya ialah sebagai kata tugas, iaitu penegas dalam ayat seperti dalam contoh ayat yang tuan berikan. Kata -nya perlu hadir untuk melengkapkan ayat tersebut. Untuk lebih jelas sila lihat contoh yang lain seperti sesungguhnya pemuda itu telah difitnah sebelum ini. | Tatabahasa | 29.05.2020 |
Salam sejahtera. Penggunaan "dia " dan "-nya" yang manakah betul dalam ayat yang berikut: 1) Ibu menyuruhnya membeli makanan untuk adik. 2) Ibu menyuruh dia membeli makanan untuk adik. 3) Siti membantunya menyelesaikan masalah itu. 4) Siti membantu dia menyelesaikan masalah itu. | Keempat-empat ayat itu betul. -nya ialah ganti nama ketiga, sama seperti dia. Akan tetapi sebelum menggunakan -nya untuk ganti nama ketiga, perlu ada cerita tentang orang ketiga sebelum itu. Contoh: Dia baru sahaja mendapat panggilan telefon daripada ibu. Ibu menyuruhnya membeli makanan untuk adik. | Ejaan | 20.05.2014 |
Ayat yang mana tepat ? 1. Masyarakat mula celik akan kepentingannya. ( nya merujuk kepada ayat sebelum ayat ini. 2. Masyarakat mula celik tentang kepentingannya. | lAyat kedua yang gramatis, masyarakat mula menyedari tentang kepentingannya. | Tatabahasa | 13.01.2014 |
bolehkah kita menggunakan perkataan contohnya diawal ayat untuk menyambung ayat sebelum ini atau contohnya itu perlu disambung. terima kasih | Contoh bermaksud model, manakala umpama bermaksud perbandingan atau ibarat. Perkataan contohnya merujuk model sesuatu benda (nya) yang telah dinyatakan sebelum ini dan perkataan ini boleh digunakan pada pangkal ayat dengan syarat mempunyai kesinambungan dengan ayat yang dinyatakan sebelum ini. | Tatabahasa | 19.07.2013 |
Manakah yang betul? Dapatkanlahnya sebelum stok habis atau Dapatkannyalah sebelum stok habis? Setahu saya dapatkanlah diterima sebagai mematuhi hukum nahu BM (dapatkan + -lah untuk memperlembut suruhan) dan dapatkanlah perlu disusuli objek dan dalam kes ini -nya. Namun, sata ada terlihat penggunaan dapatkannyalah juga. Mana yang betul? | Frasa ini lebih berbentuk frasa iklan. Terdapat penggunaan ayat yang berbeza antara frasa bentuk biasa dan bentuk iklan tanpa mengabaikan tatabahasa. Untuk frasa ini lebih tepat sekiranya menggunakan ayat: Dapatkan sebelum stok habis | Tatabahasa | 12.04.2019 |
Saya ingin bertanya: Apakah maksud sebelum dan sebelumnya? Apakah perbezaan antara kedua-dua perkataan ini? Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, sebelum bermaksud sewaktu belum, pada waktu belum: ~ mandi pagi, dia bersenam; kita seharusnya berusaha ~ terlambat. Fungsi 'nya' ialah sebagai kata pembenda dan penekan selain bertindak sebagai kata ganti nama diri ketiga.
| Tatabahasa | 02.02.2014 |
Apakah perkataan yang patut digunakan? 1. Wam Khatijah (mengupas) kuih itu sebelum menyuapkan ke mulut adiknya. 2. Mak Andam (mengupas) wajah pengantin itu sebelum majlis persandingan. 3. Disebabkan dia (pengikut), dia sering mengikuti lawatan sambil belajar. 4. Nama adik saya yang kecil ini ialah Aizudin tetapi nama (timbangan)nya ialah Judin. | Penggunaan kata dalam kurungan adalah tidak tepat. Untuk melihat penggunaan kata yang betul rujuk www.prpm.dbp.gov.my dan taipkan perkataan yang hendak dicari, contohnya mengupas boleh membawa maksud membuang kulit (buah-buahan) dan menghuraikan dengan teliti (karangan, pendapat, persoalan). Berdasarkan makna yang tersebut kata mengupas tidak sesuai digunakan dalam kedua-dua konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 06.10.2011 |