Apakah perbezaan erti bagi "secara amnya" dengan "secara umumnya". Apakah penggunaan secara amnya dalam ayat ini salah "Simptom-simptom AF mungkin tidak menyenangkan, namun secara amnya tidak mengancam nyawa". | Kedua-dua perkataan tersebut boleh bersaling ganti kerana merupakan kata yang sama makna. | Tatabahasa | 26.09.2019 |
apa jenis kata digunakan selepas "secara"?kata nama atau kata adjektif. apakah maksud "secara"? saya merasai kegunaan "secara" persis kegunaan adverb yang terdapat dalam bahasa inggeris. mengapakah frasa "secara kritikal" adalah salah, manakala yang betulnya ialah "secara kritis" terima kasih | Perkataan “secara” merupakan kata adverba, iaitu perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama dan frasa sendi nama dari segi cara, masa dan tempat. Perkataan ini boleh hadir di hadapan atau di belakang frasa. Perkataan “kritikal” bermaksud (i) berkenaan kesihatan, situasi dan lain-lain, (ii) sangat penting dalam menentukan hasil yang akan diperoleh, (iii) berkenaan sikap seseorang (tajam dalam memberikan teguran, pandangan dan sebagainya terhadap sesuatu atau seseorang) dan (iv) bersifat mengkritik atau mengandungi kritikan terhadap sesuatu atau seseorang. Manakala kritis pula bermaksud tidak dengan begitu sahaja menerima atau mempersetujui sesuatu dan perlu menimbangkan baik buruknya terlebih dahulu. Sehubungan dengan itu, berdasarkan maksud kedua-dua perkataan tersebut, penggunaan yang betul dalam konteks frasa yang diberikan ialah “secara kritis”. | Tatabahasa | 09.12.2021 |
Selamat pagi Tuan/Puan, Saya ingin tanya: perbelanjaan secara berjimat perbelanjaan secara bercermat perbelanjaan secara berhemah Adakah ketiga-tiga ini betul? Terima kasih :) | 1, Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 1. Perbelanjaan secara berjimat 2. Perbelanjaan secara bercermat 3. Perbelanjaan secara berhemat
| Tatabahasa | 13.08.2021 |
Salam sejahtera, Apakah perbezaan antara frasa 'secara amnya' dan 'secara umumnya'? Adakah penggunaannya sama? | Kedua-dua frasa tersebut boleh digunakan secara pilihan kerana mempunyai makna yang sama. | Tatabahasa | 06.11.2015 |
1. bagaimana menulis perkataan muamalat? atau perkataan yang berasal daripada bahasa arab? adakah perlu tulis secara normal atau secara meningiring (italic)? 2. dalam penulisan ilmiah, apakah perkataan yang perlu ditulis secara 'italic'? | Perkataan muamalat dan perkataan-perkataan yang berasal daripada bahasa Arab dan telah diterima pakai dalam bahasa Melayu ditulis secara normal tanpa perlu dicondongkan seperti contoh fitrah, haul dan sebagainya. 2. Dalam penulisan ilmiah, antara perkataan yang perlu dicondongkan termasuklah istilah-istilah tertentu dalam bidang berkaitan yang tidak mempunyai padanan istilah dalam bahasa Melayu. Selain itu, perkataan daripada bahasa Inggeris juga perlu dicondongkan. Walau bagaimanapun, penentuan perkataan yang perlu dicondongkan atau tidak, bergantung juga pada gaya penerbitan sesebuah penerbit. | Lain-lain | 21.02.2018 |
Ayah dan ibunya dibunuh secara kejam. Apakah fungsi kata bagi perkataan “secara” di atas? | Perkataan secara membawa maksud dengan cara. Klausa secara kejam merupakan keterangan cara. | Tatabahasa | 31.07.2020 |
Secara kasar dapat dijelaskan sebabnya. Apakah fungsi kata bagi perkataan “secara” dalam ayat di atas? Adakah ayat di atas gramatis? | Secara bermaksud dengan cara. Perkataan secara boleh digantikan dengan dengan cara, iaitu penggunaan kata dengan sebagai keterangan cara dalam ayat. | Tatabahasa | 31.07.2020 |
Salam sejahtera, Apakah terjemahan yang sesuai bagi "is voluntary"? Adakah "adalah secara sukarela" atau "ialah secara sukarela" sesuai? Contoh ayat: Using DBP is voluntary Mohon pendapat DBP. Terima kasih. | Terjemahan yang sesuai untuk "is voluntary" ialah "adalah secara sukarela" | Penyemakan dan penterjemahan | 03.07.2017 |
Keretapi dieja secara rapat atau dieja secara jauh dan apakah sebabnya | Jawapan yang betul ialah Kereta api. Perkataan tengah hari, pasar raya, kereta api, alat tulis merupakan kata majmuk, iaitu perkataan yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 72. | Lain-lain | 16.11.2023 |
Mengapakah perkataan 'secara' digolongkan sebagai kata nama? | Salam Sejahtera, Perkataan 'secara' tidak tergolong dalam kumpulan kata nama. Perkataan 'cara' merupakan kata nama. 'Secara' pula merupakan kata sendi nama. Penggunaan kata sendi nama digunakan bersama dengan kata nama. Sebagai contoh, Pegawai itu telah menerangkan akta tersebut kepada kami secara ringkas sahaja. | Tatabahasa | 18.06.2020 |