Apa maksud: Dari sungai ke senggara, Palestin pasti merdeka. | “Dari sungai ke segara” merupakan slogan Arab yang bermaksud “dari sungai ke lautan”. Slogan ini menggunakan perkataan “segara” yang merujuk kepada “laut/lautan” dan bukannya “senggara” yang maknanya “mengurus/mengendalikan”. Maksud umum slogan ini ialah “sempadan wilayah”. Slogan “Palestin pasti merdeka” bermaksud “keyakinan Palestin akan merdeka pada suatu hari nanti”. Walau bagaimanapun, penggunaan slogan ini perlulah bersesuaian dengan konteks penggunaannya dalam ayat. Untuk makluman puan, DBP menyediakan pangkalan data Khidmat Nasihat DBP (KNDBP) dengan pautan http://kndbp.dbp.gov.my bagi menjawab pertanyaan yang berkaitan dengan bahasa Melayu, sastera Melayu, penerbitan DBP dan umum tentang DBP. | Lain-lain | 23.07.2024 |
Penggunaan ritma pantun yang kurang tepat, semasa penutup kata pada setiap kali Berita RTM. "Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka". Ritma di penghujung 'ra' dan 'ka', agak pelik. Mohon pencerahan. | Untuk makluman, rima ialah bunyi yang sama pada huruf akhir atau suku kata akhir dalam baris puisi (pantun). Rima akhir pula ialah rima pada setiap baris sesebuah puisi seperti rima dalam pantun empat kerat, iaitu a,b; a, b. Untuk rima akhir perkataan "segara" dan "merdeka", iaitu "ra" dan "ka" merupakan rima yang dikenali sebagai rima yang tidak sempurna tetapi diterima kerana bunyinya hampir sama apabila didengar. | Sastera | 27.02.2024 |
Perlukan Proof Read untuk banting dalam kadar segara Sila lihat lampiran | Untuk pengesahan iklan, sila kemukakan permohonan tuan melalui domain "Khidmat Pengesahan Bahasa DBP", bukannya Khidmat Nasihat Bahasa. | Lain-lain | 06.10.2015 |
Mohon pihak DBP membezakan istilah 'anteater' dan 'pangolin' dalam pangkalan data. Kedua-duanya diberi padanan tenggiling walhal haiwan berbeza. Ini penting. Minta sangat diperbetulkan dengan segara supaya dapat menghindari kesilapan dalam bidang biologi. | Terima kasih atas keprihatinan tuan dalam penggunaan bahasa Melayu yang betul. Pihak kami akan memaklumkan perkara tersebut kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi untuk tindakan selanjutnya. | Penyemakan dan penterjemahan | 16.02.2019 |
Bagaimanakah cara untuk membezakan "kepada" dan "terhadap"? | Kata sendi nama “kepada” terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarab, menyatakan pecahan dan perubahan keadaan. Kata sendi nama “terhadap” pula biasanya digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda. Contoh: Kata sendi nama “kepada” 1. Ali mengirim surat kepada abang. 2. Surat itu hendaklah dihantar kepada Kementerian Kewangan dengan segara. 3. Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan. 4. Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. Kata sendi nama “terhadap” 1. Kasih sayang Mariam terhadap ibu bapanya elok dicontohi. Untuk maklumat dan keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 272-274 dan 281-282. | Tatabahasa | 13.05.2025 |