| 5. Kita seharusnya bersalam dengan ibu bapa sebelum pergi ke sekolah untuk menunjukkan tanda hormat kepada mereka. adakah ayat ini betul? | Dari aspek makna, ayat yang tepat ialah "Kita seharusnya bersalam dengan ibu bapa sebelum pergi ke sekolah sebagai tanda hormat kepada mereka". | Tatabahasa | 27.09.2024 |
| Di sini, saya nak tanya tentang tatabahasa. 1. kuatkuasa-----kuat kuasa penguatkuasa-----penguat kuasa penguatkuasaan-----penguat kuasaan 2. pemuda-pemuda-----pemuda-pemudi 3. pusat beli-belah-----pusat-pusat beli-belah pusat membeli-belah-----pusat-pusat membeli-belah 4. sementelahan sementelahan itu 5. justeru, justeru itu, 6. ....kita akan dapat..... .... akan kita dapat..... 7.....saya akan mendapat.... .......akan saya mendapat.... .......saya akan dapat.... .....akan saya dapat..... ....saya perlu..... .....perlu saya...... 8. anti dadah antidadah Kelab Anti Dadah Kelab Antidadah Kelab AntiDadah Kelab Anti-Dadah Kelab Anti-dadah Kelab anti-dadah Kelab anti-Dadah Kelab anti dadah Program Anti Dadah Program Antidadah Program AntiDadah Program Anti-Dadah Program Anti-dadah Program anti-dadah Program anti-Dadah Program anti dadah Kempen Antidadah Kempen anti-Dadah ...*.dan sebagainya......... 9. kita haruslah.... kita seharuslah.... kita seharusnya..... seharusnya kita........ harus kita........ haruslah kita.......... 10. keistimewaan alam semulajadi keistimewaan alam semula jadi 11. mempertingkatkan mempertingkat 12. memperbaiki memperbaik 13. perkataan yang bersifat "memper...kan" , "memper...", "memper....i". | 1. Kuat kuasa, penguat kuasa, pegawai penguat kuasa, penguatkuasaan. 2. Pemuda, pemudi serta pemuda dan pemudi. 3. Pusat beli-belah, pusat-pusat beli-belah. 4. Sementelah dan sementelahan. 5. Justeru. 6. ... kita akan dapat ... 7. ... saya akan mendapat ... dan ... saya perlu ... 8. Antidadah, Kelab Antidadah, Program Antidadah, Kempen Antidadah 9. Kita haruslah dan kita seharusnya 10. Keistimewaan alam semula jadi 11. Mempertingkatkan 12. Memperbaik 13. Apitan memper...kan digunakan juga dengan kata kerja dan kata nama Apitan memper...kan dengan kata kerja membawa maksud menyebabkan orang lain melakukan perbuatan yang terkandung dalam maksud kata kerja. Apitan memper...kan dengan kata nama membawa maksud kuasatif. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Tatabahasa Dewan, halaman 208. Apitan memper-...-i tidak begitu produktif dan kata-kata yang dapat bergabung dengan apitan ini tidak banyak, seperti`memperingati`, `memperkawani`, `memperisteri`dan `mempersuami`. Kata dasar lain boleh bergabung dengan apitan memper-...-i jika ada keperluan untuk menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja, yang sebelum ini tidak terungkap dalam bahasa Melayu. Lihat Tatabahasa Dewan, halaman 211. Awalan memper- biasa juga dirujuk sebagai awalan per-. Lihat Tatabahasa Dewan, halaman 177. | Tatabahasa | 29.10.2012 |
| Salam sejahtera. Semasa di sekolah dulu, saya difahamkan bahawa kita seharusnya menggunakan "tidak" untuk menafikan kata/frasa kerja atau kata/frasa adjektif. Tetapi, baru-baru ini, saya terbaca sebuah buku yang mengatakan bahawa sekiranya sesebuah ayat itu mempunyai dua kata/frasa kerja atau dua kata/frasa adjektif yang bertentangan maksudnya, kita seharusnya menggunakan "bukan". Contohnya, "Ali rajin, bukan malas" atau "Dia menyanyi, bukan menari". Adakah ini betul? | Kata nafi bukan menjadi unsur nafi frasa nama dan frasa sendi nama. Kata nafi tidak pula unsur nafi bagi frasa kerja dan frasa adjektif. Kata nafi bukan boleh hadir sebelum frasa kerja dan frasa adjektif jika kedua-dua frasa tersebut mendukung maksud pertentangan maklumat. Contohnya, Saya bukan tidak lalu makan, tetapi kenyang. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan halaman 262-263). | Tatabahasa | 23.03.2017 |
| Saya ingin bertanya tentang penggunaan "terhadap" dan "kepada".Kalau melibatkan perasaan..perlu guna terhadap atau kepada.. Contoh: 1. Saya cinta kepada negara/ Saya cinta terhadap negara. 2. seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan memberi sepenuh kecintaan kepada bahasa kebangsaan/seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan memberi sepenuh kecintaan terhadap bahasa kebangsaan. Mohon pihak DBP memberikan penjelasan tentang pengunaan terhadap dan kepada dalam konteks abstrak/perasaan..eg. pengorbanan, kesetiaan dan sebagainya. | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, (DBP, 2021) halaman 721 dan 1054, kata sendi nama “terhadap” bermaksud menyatakan sasaran yang merujuk manusia atau sesuatu; dan berkenaan dengan atau tentang. Kata sendi nama “kepada” bermaksud arah ke (dipakai sebelum nama orang atau kata pengganti diri); menyatakan sasaran yang merujuk manusia atau sesuatu (terhadap); menyatakan hubungan pemilikan, penguasaan, pengawalan dan sebagainya antara seseorang atau sesuatu dengan seseorang atau sesuatu yang lain. Penggunaan kata sendi nama terhadap dan kepada boleh digunakan bergantung pada kesesuaian penggunaan dalam ayat. Ayat yang sesuai: Saya cinta kepada negara. (terhadap tidak sesuai digunakan) Seluruh rakyat seharusnya menerima hakikat ini dan memberi sepenuh kecintaan kepada/terhadap bahasa kebangsaan. | Tatabahasa | 13.10.2025 |
| Selamat petang. Pada suatu malam, Si Anak Berkepala Besar ingin mendengar sebuah cerita yang sangat panjang. Dalam ayat ini, seharusnya 'Si Anak Berkepala Besar' atau 'si anak berkepala besar'? Terima kasih. | Sekiranya Si Anak Berkepala Besar merupakan gelaran kepada watak dan keseluruhannya menggunakan nama ini, maka seharusnya dieja dengan huruf besar, jika "si anak berkepala besar" hanya sebagai menerangkan sifat-sifat watak, ejaannya huruf kecil. | Sastera | 12.11.2018 |
| 1. bilakah kita seharusnya menggunakan penjodoh bilangan di belakang kata bilangan himpunan, contohnya; a) Ketiga-tiga orang pesalah itu akan dipenjarakan./ Ketiga-tiga pesalah itu akan dipenjarakan. b) Kedua-dua orang suami isteri itu penipu./ Kedua-dua suami-isteri itu penipu. 2. Adakah perkataan berikut dieja betul, jawaban, jawapan, kewajiban, kewajipan | a) Ketiga-tiga orang pesalah itu akan dipenjarakan./ Ketiga-tiga pesalah itu akan dipenjarakan. b) Kedua-dua orang suami isteri itu penipu./ Kedua-dua suami-isteri itu penipu. Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata bilangan boleh diikuti oleh penjodoh bilangan. Contohnya beratus-ratus orang penonton dan kelima-lima ekor kambing. Lazimnya kata bilangan berpasangan dengan penjodoh bilangan untuk menjadi sejenis penerang kepada kata nama yang mengikutinya. penggunaan penjodoh bilangan adalah tidak diwajibkan dalam konteks ini dan kedua-dua contoh yang dikemukakan adalah betul. Adakah perkataan berikut dieja betul, jawaban, jawapan, kewajiban, kewajipan. Jawapan dan jawaban boleh digunakan dan merupakan varian. Jawaban adalah betul dari segi morfologi manakala jawapan pula diterima pakai disebabkan kelaziman penggunaannya. Kamus Dewan Edisi Keempat menjadikan jawapan sebagai subentri kepada jawab. Begitu juga dengan perkataan kewajipan. Dari segi pembentukan kata apabila perkataan "wajib" menerima imbuhan ke-...-an menjadi kewajiban, tetapi apabila dikira dari segi sosiolinguistik dan penggunaan yang lazim, menjadi kewajipan. | Tatabahasa | 24.09.2012 |
| Apakah judul yang seharusnya digunakan dalam semua urusan di sekolah sama ada Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia? Situasi semasa kelihatan agak bercelaru dan mengelirukan apabila tiada ketetapan yang diperoleh. Terima kasih atas penjelasan yang diberi. | Tiada perbezaan antara bahasa Melayu dengan Bahasa Malaysia. Kedua-duanya perkara yang sama. Bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Malaysia manakala Bahasa Malaysia digunakan dalam subjek di sekolah dan mengikut konteks sosial untuk tujuan perpaduan. | Lain-lain | 26.02.2009 |
| Salam sejahtera, kata tanya tidak seharusnya digunakan dalam ayat penyata, namun bagaimana pula dengan frasa seperti "tidak mengapa" yang menggunakan kata tanya? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, mengapa bermaksud sebab apa, apa fasal; apa. Oleh itu, mengapa juga membawa maksud yang lain selain daripada kata tanya. Dalam konteks ini, tidak mengapa membawa maksud yang sama dengan tidak apa, tidak apa-apa atau tidak ada sesuatu. | Tatabahasa | 25.11.2019 |
| MEMIMPIN PEMIMPIN MUDA ARP Kita seharusnya mengambil contoh dari Badan Operasi Persatuan Belia Cergas Pontian diatas inisiatif mereka dalam mengadakan satu bengkel bagi melahirkan Pemimpin Anugerah yang berkualiti. Bengkel yang diadakan pada 25 dan 26 Oktober 2008 bertujuan membimbing dan melatih pemimpin muda dalam melaksanakan aktiviti Program Anguerah Remaja Perdana Rakan Muda. Bengkel tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) kawasan Pekan Nenas, YB Tan Lai Soon. Selama 2 hari, para pemimpin telah didedahkan mengenai falsafah program dimana ia merupakan nadi kepada program tersebut dan tidak ketinggalan tentang kefahaman pengendalian teknikal bagi komponen-komponen Kemahiran, Rekreasi Fizikal, Kemasyarakatan dan Penjelajahan Lasak. Bengkel diakhiri dengan penyampaian sijil pertauliahan yang disertakan dengan pin merah yang berbentuk “Burung Dove” melambangkan mereka adalah Pemimpin Anugerah yang telah ditauliahkan. | Soalan saudara tidak jelas. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 24.11.2008 |
| Jika 'pusat membeli-belah' salah dan seharusnya 'pusat beli-belah', adakah 'zon menutup aurat/ ruang menunggu/ sekolah memandu' harus menjadi 'zon tutup aurat/ ruang tunggu/ sekolah pandu'? | Zon menutup aurat, ruang menunggu, sekolah memandu boleh digunakan kerana pengunaannya telah mantap. | Tatabahasa | 01.04.2019 |