| Salam, 1. Kenapa terjemahan dan padanan kata dlm kebanyakan kamus bahasa Inggeris-Melayu dan Google Translate dilihat tidak secekap dlm Kamus Online DBP - PRPM yg ada dlm terbitan DBP? Seolah-olah bahasa atau kosa kata dlm kamus Online DBP dilihat hanya hebat dan gah dlm kamus online itu semata-mata, bukan dlm semua terbitan kamus Inggeris-Melayu, bukan pula dlm Google Translate, malah bukan juga melalui penggunaannya dlm pertuturan sehari-hari. 2. Apakah peranan DBP dlm menyediakan maklumat, kemudahan, cadangan dan pembinaan bahasa Melayu dlm kemudahan "Google Translate"? dan kenapa terjemahannya juga banyak kekurangan dan kelihatan tiada kecekapan dan kekreatifan dlm istilah-istilah yg sedia ada dlm Melayu? tidak seperti bahasa Indonesia atau Melayu Riau yg kaya dgn kosa kata dan istilah. 3. Kenapa padanan kata "hello" dan "hi" dlm bahasa Inggeris hanya dipadankan dgn kata "helo" dan "hai"? sedangkan dlm masyarakat kita byk lagi kata yg dpt digunakan utk memadankan perkataan-perkataan itu spt "salam"; "selamat sejahtera"; "salam sejahtera"; "apa khabar"; "sejahtera" (singkatan drpd selamat sejahtera atau salam sejahtera); "jahtera" (singkatan drpd sejahtera, salam sejahtera atau selamat sejahtera); tabik (dlm masyarakat Nusantara); amboi (dlm peluasan makna kata selain makna lazim spt kata utk menzahirkan rasa kagum, hairan, kasihan atau utk mengusik, dsb.). Sekian, terima kasih! | 1. Terjemahan dan padanan kata dalam kamus bahasa Inggeris-Melayu (bukan terbitan DBP) dan Google Translate adalah terjemahan langsung berbeza dengan kamus dalam talian dalam PRPM yang kebanyakan kata dan istilahnya digubal bersama-sama pakar bahasa dan pakar bidang. Pemilihan padanan tersebut berbeza kerana penggunaan masyarakat dan pengguna bahasa mempunyai tingkat pengetahuan, sikap terhadap bahasa dan sumber rujukan bahasa yang berbeza. 2. DBP tidak mempunyai jalinan perkongsian data dengan Google Translate. Masih kurang penyumbang data dalam bahasa Melayu kepada Google Translate. Korpus penggunaan bahasa Melayu juga tidak seprolifik dan sekreatif penyumbang korpus bahasa Indonesia dan bahasa-bahasa lain di dunia. Keluarga Malaysia, khususnya orang Melayu perlu lebih banyak menulis dan menggunakan kata dan istilah dalam bahasa Melayu yang telah digubal. 3. Padanan kata hello dan hi dalam bahasa Inggeris hanya dipadankan dengan kata "helo" dan "hai" merupakan terjemahan langsung. Padanan ini boleh digantikan dengan perkataan lain seperti salam, selamat sejahtera, apa khabar dan sebagainya, mengikut kesesuaian konteks dan wacana yang ingin disampaikan kepada pembaca sasaran. Hal ini bergantung kepada kebijaksanaan dan kepekaan penterjemah untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kepada pembaca karya terjemahannya. Ada kalanya teks yang diterjemah tidak sesuai dengan kata padanan yang lazim digunakan dalam budaya masyarakat sasaran, maka terjemahan langsung lebih disarankan penggunaannya.
| Lain-lain | 02.08.2022 |
| Selamat sejahtera, prpm menyatakan bahasa "sudah" dan "telah" mempunyai maksud dan penggunaan yang sama. Dalam konteks ayat di bawah, yang mana lebih sesuai? Rumah mereka sudah/telah dimasuki pencuri. Penggunaan perkataan sudah agak janggal dalam ayat ini. | Perkataan yang sesuai digunakan dalam contoh ayat yang diberikan ialah “telah”. “Telah” merupakan kata bantu aspek yang menunjukkan sesuatu perkara sudah berlaku. Penggunaan perkataan “sudah” atau “telah” boleh digunakan mengikut kesesuaian makna dalam ayat. Walau bagaimanapun, ayat tersebut juga lengkap tanpa perkataan “sudah” atau “telah”. Contohnya, “Rumah mereka dimasuki pencuri.” Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan kata bantu aspek, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 258-259. | Tatabahasa | 10.12.2025 |
| Salam sejahtera, Kita boleh memperoleh buah-buahan di dusun,di pasar pagi,di pasar raya dan di gerai buah.(perlukah kata sendi nama "di" ditambah di depan setiap tempat ). | Tidak perlu menambah kata sendi “di” di depan setiap perkataan yang merujuk tempat kerana bersifat lewah. Ayat yang betul adalah: “Kita boleh memperoleh buah-buahan di dusun, pasar pagi, pasar raya dan gerai buah-buahan.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), hlm. 265-266 | Tatabahasa | 18.11.2025 |
| Salam sejahtera. Merujuk ayat- ayat di bawah, yang mana satukah ayat yang betul? 1. Kejadian kepala air ialah fenomena semula jadi. 2. Fenomena kepala air ialah kejadian semula jadi. Terima kasih. | Penggunaan kata pemeri "ialah" hadir di hadapan frasa nama. Maka, ayat yang sesuai “Kepala air ialah fenomena alam.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2013), halaman 263 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 596. | Tatabahasa | 10.11.2025 |
| Salam sejahtera. Saya keliru, bagaimanakah untuk mengeja dan menyebut perkataan seperti mengambil, mengeja, mengikat, mengobor dan mengubah. Setahu saya, kata dasar yang bermula dengan huruf a, e, i, o, u dibubuh imbuhan awalan meng-, jadi adakah perkataan-perkataan dieja seperti berikut: meng-am-bil atau me-ngam-bil meng-e-ja atau me-nge-ja meng-i-kat atau me-ngi-kat meng-o-bor atau me-ngo-bor meng-u-bah atau me-ngu-bah | Kata terbitan dengan awalan meN- atau peN- (termasuk yang digunakan sebagai unsur apitan) dengan kata dasarnya yang bermula dengan bunyi vokal atau diftong dilafazkan menurut cara pemecahan suku kata ejaan. Contohnya: mengambil [me.ngam.bil] mengeja [me.nge.ja] mengikat [me.ngi.kat] mengubah [me.ngu.bah] Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi–Sebutan–Jawi Edisi Kedua (DBP, 2016), halaman 56 – 57 dan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021). | Tatabahasa | 07.11.2025 |
| Salam sejahtera, 1.Buah-buahan bermusim adalah seperti buah durian,buah rambutan,buah manggis dan lain-lain.(perlukah depan setiap nama buah ditulis "buah"?) | Untuk ayat tersebut, tidak perlu ditulis perkataan "buah" di hadapan setiap nama buah kerana penerangan pada awal ayat sudah diberikan. Ayat yang lebih sesuai ialah, "Buah-buahan bermusim adalah seperti durian, rambutan, manggis dan lain-lain." Susunan ayat seperti di atas sudah memadai bagi menyampaikan makna ayat. | Lain-lain | 06.11.2025 |
| Salam sejahtera. Maaf, saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak tuan sama ada penggunaan kata sendi nama “ke” dan “di” bagi kedua-dua ayat di bawah betul (mengikut konteks), atau hanya ayat (a) yang diterima sebagai betul. (a) Ali berjalan kaki ke taman yang berhampiran rumahnya. (Maksud: menuju ke taman dengan berjalan kaki) (b) Ali berjalan kaki di taman yang berhampiran rumahnya. (Maksud: sedang berjalan kaki di taman) | Penggunaan kata sendi nama yang betul dalam ayat yang diberikan ialah ke. Kata sendi nama ke digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), halaman 266. | Tatabahasa | 28.10.2025 |
| Salam sejahtera. Mengapakah entri awalan asing seperti "bi-" daripada bahasa Parsi yang bermakna "tiada" tidak terdapat dalam pangkalan data Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM)? Salangkan awalan asing tersebut ialah asas bagi pembentukan istilah seperti "biadab" yang bermaksud tiada adab dan "bitara" yang bererti tiada yang setara. | Untuk makluman tuan, data kamus dalam PRPM berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005). Kamus Dewan Edisi Keempat belum memasukkan awalan bi- yang bermaksud tidak atau tiada. Awalan bi- sudah dimasukkan dalam kamus ekabahasa terkini DBP, iaitu Kamus Dewan Perdana (2020). | Makna | 10.10.2025 |
| Selamat sejahtera. Soalan saya: frasa "menoktahi kemiskinan" dan "menoktahkan kemiskinan", yang mana satu betul? Terima kasih. | Frasa yang betul ialah "menoktahi kemiskinan". Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan dan Kamus Dewan untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 08.10.2025 |
| Salam sejahtera, saya ingin menyemak sama ada boleh digunakan perkataan dalam bahasa Kelantan pada papan tanda kedai. Untuk informasi bahasa Kelantan yang saya gunakan adalah sebagai Trademark dan bukanlah nama syarikat saya. | Bahasa dialek tidak boleh digunakan pada nama premis kecuali telah didaftarkan. Untuk pengesahan iklan, pelanggan perlu mematuhi syarat pengesahan bahasa Melayu dalam iklan, iaitu hendaklah menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. DBP hanya meluluskan nama syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan mana-mana perkataan/logo/slogan yang telah DILULUSKAN/BERDAFTAR (Registered) oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sahaja. Sila nyatakan nombor pendaftaran pada Maklumat tentang Iklan sekiranya telah berdaftar semasa membuat permohonan pengesahan bahasa. | Tatabahasa | 07.10.2025 |