Ejaan “Sekampong” atau “Sekampung”? | Ejaan yang betul ialah sekampung. | Ejaan | 05.08.2019 |
Salam hormat, Andainya resmi ayam betina dikaitkan dengan bertelur sebiji riuh sekampung, apakah 'resmi ayam jantan' dan 'resmi jagung'? Terima kasih. | Untuk makluman, tidak ada maklumat tentang "resmi ayam jantan" dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, terdapat peribahasa tentang "resmi jagung" seperti yang berikut: Jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin jegang (tegak). Maksudnya ialah makin kaya (berilmu) makin sombong. | Lain-lain | 19.05.2012 |
Cikgu DBP, mengapakah kita menggunakan "bergantung pada orang lain" dan bukan "bergantung kepada orang lain"? | Frasa yang diterima ialah "bergantung pada" merujuk keterangan (abstrak) bagi sesuatu perbuatan seperti bergantung pada belas ihsan jiran sekampung. | Tatabahasa | 17.05.2014 |
Adalah dengan rendah hati kami memohon jasa baik dan khidmat nasihat daripada pihak Tuan untuk memberikan maklumat bagi maksud peribahasa atau kiasan berikut:- "Disangka jantan berkokok nyaring, rupanya ayam betina bertelur sebiji. Disergah biawak, digadai reban.". | Berdasarkan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (halaman 164), ada peribahasa yang berbunyi Penyu bertelur beratus-ratus banyaknya, senyap; ayam bertelur sebutir saja hingar sekampung yang bermaksud, keuntungan yang diperoleh orang kaya sedikit pun tidak menjadi sebutan orang, tetapi keuntungan yang diperoleh orang miskin walaupun sedikit riuhlah orang memperkatakannya, manakala Disergah biawak digadai reban merupakan kiasan yang harus ditafsirkan berdasarkan maksud penulis atau penuturnya. Bagi mendapatkan maksud sesuatu peribahasa, sila rujuk Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, Kitab Kiliran Budi, Tikaman Bahasa, Mestika Bahasa dan Peribahasa Bertema. | Sastera | 17.02.2025 |