Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[se.lé.sa] | سليسا

Definisi : (selésa) 1. tidak sempit, lega, luas: ketika mencari tempat berdiri yg lebih ~, dia ter­pijak kaki seorang anak kecil; 2. kesempatan, peluang; 3. (berasa) enak, sedap, senang: jika kita berdiri beberapa lama, kita berasa tidak ~; pakaian itu sungguh tidak ~ bagi Si Tenggang; menyelesakan menjadikan selesa (enak, sedap); keselesaan perihal selesa, keadaan (rasa dsb) selesa; ketidakselesaan keadaan tidak selesa: Puan Sariah memaklumi ibunya tentang ~ di asrama itu. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[se.lé.sa] | سليسا

Definisi : /selésa/ 1 tidak sempit (bkn tempat); luas; lega. 2 enak atau puas ketika duduk dll; sedap: Saya berasa ~ duduk di kerusi ini. menyelesakan membuat atau menjadikan selesa: Suasana di situ ~ kami. keselesaan keadaan atau rasa selesa: Kami amat mementingkan ~ pelanggan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
selesa (adjektif)
1. Bersinonim dengan luas: lega, tenggar, lebar, besar, lapang, lengang, lasar, banglas,
Berantonim dengan sempit

2. Bersinonim dengan kesempatan: peluang, kelapangan, can, tempoh, cerlak, kelonggaran, masa, waktu terluang,

3. Bersinonim dengan sedap: menyenangkan, enak, segar, seronok, nyaman, nikmat, indah, sihat, naim,
Berantonim dengan sesak

Kata Terbitan : menyelesakan, keselesaan,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Lebih selesa daripada jangkaan anda ATAU lebih selesa dari jangkaan anda ? Terima KasihYang betul ialah Lebih selesa daripada jangkaan anda.Tatabahasa26.06.2008
dendam: Panglima Hitam tidak berkata apa-apa sebab ianya ~ Portugis yg digelarnya lanun itu; (Kamus Dewan Edisi Ke-4) 1) Bolehkah saya bertanya tentang penggunaan perkataan "ia" dan "ianya"? 2) Rumah itu selesa. Bolehkah perkataan "selesa" digantikan dengan "enak" (maksud perkataan ini tidak terhad pada makanan sahaja berdasarkan kamus) dan "menyenangkan"? Terima kasih.1. Perkataan "ianya" tidak boleh digunakan kerana kata "ia" dan "nya" merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan tidak boleh digabungkan penggunaannya.
2. Perkataan enak tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat tersebut.
Tatabahasa11.06.2020
Salam sejahtera. Saya ingin bertanya sama ada frasa "persekitaran yang kondusif", perkataan kondusif boleh disama erti dengan perkataan "selesa" atau tidak. Adakah keadaan yang kondusif adalah seerti dengan keadaan yang selesa? Sekian, saya dahuluinya dengan ucapan terima kasih atas pencerahan tuan.Kondusif dalam konteks yang diberikan bermakna keadaan yang selesa dari segi tempat, peralatan, ruang dan suasana kerja yang tenang untuk membantu mencapai atau mendorong menghasilkan sesuatu. Makna21.03.2021
kata lawan bagi selesaSalam saudari Nora,

Lawan bagi perkataan selesa ialah RIMAS
Makna17.09.2012
Mohon pencerahan tentang kata pembenda.. "Adik tidur dengan nyenyak dan selesanya." atau "Adik tidur dengan nyenyak dan selesa."? "Adik makan dengan gelojohnya." atau "Adik makan dengan gelojoh."?

Kata pembenda ialah bentuk kata yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama menjadi kata nama. Dalam bahasa Melayu, kata sendi nama perlu diikuti oleh kata nama.

Dalam frasa dengan nyenyak dan selesa, perkataan nyenyak dan selesa ialah kata adjektif dan tidak boleh hadir selepas kata sendi nama. Kata pembenda -nya perlu diletakkan pada perkataan nyenyak dan selesa supaya menjadi kata nama, iaitu nyenyaknya, selesanya.

Begitu juga dengan perkataan gelojoh yang merupakan kata adjektif. Bagi mematuhi rumus tatabahasa, perkataan ini perlu diletakkan kata pembenda -nya untuk menjadi kata nama gelojohnya.

 Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku terbitan DBP seperti yang berikut:

(i)           Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 653, 1551 dan 2010.

(ii)          Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), halaman 104, 296.

(iii)        Rumus Tatabahasa Bahasa Melayu: Golongan Kata (DBP, 2017), halaman 168. 

Tatabahasa11.09.2025
“Oleh sebab jauhlah perjalanan yang kami lalui ini, kami berasa sangatlah tidak selesa apatah lagi hujan turun sepanjang perjalanan.” Adakah perkataan “jauhlah” di sini salah digunakan?

Ayat yang betul ialah “Oleh sebab perjalanan yang kami lalui ini jauh, kami berasa sangatlah tidak selesa apatah lagi hujan turun sepanjang perjalanan.”

Tatabahasa25.08.2024
Saya ingin mengetahui maksud istidah "e" atau "i" yang sering diletakkan dihadapan sesuatu perkataan. Contohnya, e-dagang, e-perolehan, i-resort. Saya terlihat satu iklan projek perumahan yang yang bernama Selesa Apartment dan kemudiannya semasa projek tersebut giat dibangunkan oleh pemaju tersebut, iklan kedua projek tersebut ditukarkan ke nama baru Selesa 'i-Resort' Apartment. Apa pandangan atau yang difahami oleh pihak tuan terhadap kualiti kemudahan yang terdapat (disediakan) di apartment tersebut dan apa yang dimaksudkan dengan i-Resort tersebut.. Terima kasih.Maksud "e" di awal perkataan tersebut ialah "elektronik" Bagi "i" di awal perkataan, diharap pihak saudara boleh menghubungi pihak resort yang berkenaan.Tatabahasa12.12.2007
perkataan berlawan untuk selesaRimasMakna12.09.2007
wholesome relexationbersantai dengan selesa (baik)Lain-lain04.04.2007
Tuan, 1.Suasana pagi itu sungguh selesa dengan kehadiran keluarga Ali. 2.Doktor meminta nenek mendapat rehat yang baik. 3.Anggota keluarga Ali dapat bertemu dalam suasana yang gembira. Adakah ayat-ayat tersebut betul?Jika tidak,sila tunjukkan cara membetulkan ayat. Terima kasih.Ayat yang diberikan tidak tepat daripada pemilihan kata. Ayat yang lebih gramatis:

1. Suasana pagi itu sungguh indah dengan kehadiran keluarga Ali.
2. Doktor menasihati nenek supaya mendapatkan rehat yang cukup.
3. Anggota keluarga Ali dapat berkumpul dalam suasana yang sangat harmoni.
Tatabahasa26.04.2018
12345

Kembali ke atas