Saya berjanji "pada", "kepada", "dengan" atau "terhadap" dia? Mohon berikan contoh untuk menunjukkan bezanya. Terima kasih. | Salam sejahtera, "Pada", "kepada", "dengan" dan "terhadap" merupakan kata sendi. 1. Kata sendi "pada" untuk menunjukkanketerangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh: (i) Bas kami bertolak pada pukul 7 pagi. (ii) Wang itu ada pada ibu. 2. Kata sendi "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh: (i) Sisa makanan itu diberikan kepada kucing. (ii) Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan. 3. Kata sendi "dengan" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama. Contoh: (i) Ayah pergi ke pecan dengan ibu. (ii) Hasilnya tidak setimpal dengan usahanya. 4. Kata sendi "terhadap" biasanya digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda. Contoh: (I) Seorang ketua harus sentiasa bersikap adil terhadap anak buahnya. (ii) Air bersifat lengai terhadap logam adi. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 12.10.2017 |
(i) Bolehkah kata sendi 'antara' digunakan untuk memulakan sesuatu ayat? Misalnya: Antara punca gejala sosial ialah ... (ii) Boleh kata nama selepas kata sendi 'antara' boleh digandakan? Misalnya: Antara faktor-faktor gejala sosial ialah ... Sekian. | 1. Kata sendi nama antara boleh digunakan di pangkal ayat, contohnya Antara ilmu perubatan dengan ilmu biologi ada persamaannya. 2. Kata nama yang menunjukkan jamak selepas kata sendi nama antara boleh digandakan. | Tatabahasa | 04.03.2010 |
Boleh saya dapatkan penerangan terkini mengenai penggunaan kata sendiri berikut? 1) dari / daripada 2) hanya / dengan 3) melalui / menerusi 4) antara / di antara 5) baru - baharu | 1. Kata sendi dari dan daripada ialah kata sendi nama yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu atau masa. Sementara kata sendi nama 'daripada' hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber atau unsur perbandingan atau perbezaan. Merujuk kepada ayat di atas, kata sendi yang sesuai ialah "daripada": Mengeluarkan wang daripada bank (merujuk kepada sumber). 2. Kata sendi dengan digunakan untuk membawa maksud i. bersama-sama atau berserta, ii. cara sesuatu itu dilakukan iii. memakai atau menggunakan dan menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama. Kata hanya merupakan golongan kata penegas. Kata penegas disebut juga partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan (hanya, sahaja, juga, memang, pun, -kah, -lah, –tah) yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Oleh sebab, kata "hanya" membawa maksud yang sama, iaitu tidak lebih daripada satu atau tidak ada orang lain lagi. 3. Kata melalui berasal daripada kata dasar lalu membentuk kata baru yang membawa pelbagai makna. Kata melalui membawa maksud "dengan perantaraan" atau "menerusi", contoh ayatnya: Kami berjalan melalui/menerusi lurah dan bukit. 4. Kata sendi nama "antara" perlu hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Contoh penggunaannya "Mereka berbincang antara adik-beradik". Sementara penggunaan kata 'antara' sebagai kata arah yang mengikuti kata sendi nama di-. Contohnya ialah "Rumahnya terletak di antara sebuah tasik dengan sawah padi". 5. Kata baru dan baharu kedua-duanya membawa makna yang sama dan baru dan baharu dianggap varian dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun buku Tatabahasa Dewan membezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. Baru berfungsi sebagai kata bantu, contohnya dalam ayat "dia baru sampai dari kampung" dan baharu sebagai kata adjektif, contohnya "buku Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu". Untuk penggunaan umum, puan boleh mengambil makna daripada kamus, namun jika untuk tujuan pembelajaran di sekolah, perlulah mematuhi rumus dalam buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 30.05.2019 |
Tuan, saya difahami bahawa: (1) dengan ialah kata sendi yang perlu diikuti kata nama. Dalam hal ini, lancar dan meriah ialah kata adjektif. oleh itu, perlukah kita tambah -nya bagi kata adjektif ini jika depan ialah kata sendi dengan? contoh: (i)Program itu dijalankan dengan lancarnya dan meriahnya atau (ii) Program itu dijalankan dengan lancar atau meriah? (yang mana betul) (2) dijalankan ialah kata kerja pasif bagi kata kerja aktif transitif bagi menjalankan. Oleh itu, bolehkah kita menggunakan : i) Program itu dijalankan dengan lancarnya atau perlu guna ii) Program itu berjalan dengan lancarnya? (yang mana betul) Ribuan terima kasih saya ucapkan terlebih dahulu. | Jawapan yang betul seperti yang berikut: 1. Program itu dijalankan dengan lancar dan meriah. 2. (i) Program itu dijalankan dengan lancar (ii) Program itu berjalan dengan lancar.
| Tatabahasa | 30.07.2023 |
Salam sejahtera pihak DBP, Saya selalu keliru dengan penggunaan perkataan kata sendi nama seperti berikut: 1. Adakah: i. "Kucing itu melompat dari / daripada kereta @ tangan @ tingkap"? ii. "Dia keluar dari / daripada kereta", "Roti itu dikeluarkan dari / daripada ketuhar"? - menunjukkan tempat atau arah? (DARI) - menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur mujarad? (DARIPADA) Saya nampak beberapa nasihat yang berbeza daripada DBP di ruang Khidmat Nasihat. 2. "Dia buat sesuatu terhadap / kepada / pada saya." 3. "Perkara itu terjadi kepada / pada saya." | 1. Kata sendi nama dari digunakan di hadapan kata nama yang merujuk arah, tempat dan masa, seperti Dia berasal dari kampung; manakala kata sendi nama digunakan di hadapan kata nama yang merujuk sumber dan perbandingan, seperti Roti diperbuat daripada tepung. 2. Kata sendi nama terhadap digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan, Jangan bersikap biadab terhadap orang tua; kata sendi nama kepada digunakan untuk merujuk sasaran, Lagu ini ditujukan kepada kekasihnya; dan kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, Pertandingan ini diadakan pada peringkat kebangsaan. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga halaman 265. | Tatabahasa | 06.07.2022 |
Salam sejahtera, adalah pada konteks tertentu seperti diri seseorang, kata "pada" dan "kepada" boleh digunakan bersilih ganti? Sekian, terima kasih. | 1. Kata sendi "pada" untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh: (i) Bas kami bertolak pada pukul 7 pagi. (ii) Wang itu ada pada ibu. 2. Kata sendi "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh: (i) Sisa makanan itu diberikan kepada kucing. (ii) Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan. Jadi, kata sendi "pada" dan "kepada" boleh digunakan pada manusia/orang mengikut situasi tertentu. | Tatabahasa | 16.05.2020 |
Tuan, saya keliru dengan bentuk: 1. ber... + Kata Sendi Nama + meN...kan / meN... 2. ber... + Tidak Perlu Kata Sendi Nama + meN...kan / meN... Tuan faham akan soalan saya, kan? :) Bilakah perlu menggunakan bentuk 1, dan bila hendak menggunakan bentuk 2. Tolong! | Barangkali soalan yang tuan ingin kemukakan berkenaan kata kerja transitif. Kata kerja digolongkan kepada dua kumpulan utama: i. kata kerja transitif ii. kata kerja tak transitif. Kata kerja transitif ialah kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya.Cth. Murid sedang membaca buku; saya telah menjawab soalan sdr. Kata kerja transitif dapat dibahagikan kepada kata kerja yang berfungsi dalam ayat aktif dan kata kerja yang berfungsi dalam ayat pasif. kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya. kata kerja tak transitif dapat dibahagikan kepada dua subgolongan. iaitu kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dan kata kerja tak transitif berpelengkap. Cth. kata kerja tak transitif tanpa pelengkap: semua orang pulang.; adik saya masih tidur. Cth. kata kerja berpelengkap: keadaan bapanya beransur baik.; mereka tinggal di Kampung Paya. Untuk keterangan lanjut, sila dapatkan buku Tatabahasa Dewan Edisi, terbitan DBP. | Tatabahasa | 29.04.2014 |
kalang II; kalangan 1. lingkungan, golongan: sajak ‘Sidang Roh’ oleh Kassim Ahmad mendapat reaksi yg keras drpd berbagai-bagai ~; di ~ orang Melayu; di ~ mahasiswa; di ~ negara Barat hanya Perancis berusaha mencapai matlamat dasar luar negeri;--contoh di atas adalah dari kamus dewan. 1) Menurut jawapan yang diberikan oleh pihak DBP dalam khidmat nasihat, tuan menyokong "dlm kalangan". "dlm kalangan" tidak pernah muncul dlm contoh ayat kamus dewan dan hanya muncul dlm majalah. Jadi, adakah ini bermakna contoh dari kamus dewan tidak gramatis? 2) "Puan Siti sayangkan anaknya." Penggunaan "sayangkan" gramatis atau tidak? "sayangkan" terdapat dlm kamus dewan dan adakah penggunaan ini hanya untuk pantun? | Kamus Dewan Edisi Keempat merupakan kamus umum yang pengumpulan datanya dibuat berdasarkan kajian korpus. dari segi penggunaan dalam korpus yang dikaji frasa 'di kalangan' dan 'sayangkan anak' digunakan dengan meluas. Walau bagaimanpun frasa yang lebih tepat adalah 'dalam kalangan'. Kata sendi 'di' digunakan untuk merujuk tempat. Ayat yang betul ialah Puan Siti menyayangi anaknya atau Puan Siti sayang akan anaknya. | Tatabahasa | 06.03.2008 |
Apakah perbezaan antara perkataan 'tentang', 'mengenai' dan 'terhadap' serta penggunaannya dalam konteks ayat? Contoh : Pegawai itu memberi taklimat mengenai / tentang pengambilan makanan seimbang. Penggunaan perkataan manakah yang paling sesuai, tentang atau mengenai? | 1. Kata sendi nama "tentang" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. Kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi hal yang diperlakukan atau dibicarakan. Contohnya: i. Mereka berbincang tentang masalah negara. ii. Kami berbual tentang kejadian rompakan itu. 3. Pegawai itu memberi taklimat tentang pengambilan makanan seimbang. 2. Perkataan "mengenai" tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud kena pada. Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut: 1. Tembakan pemburu itu mengenai sasarannya. ii. Bola yang ditendangnya mengenai palang gol. 3. Kata sendi nama "terhadap" biasanya digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda. Contohnya: i. Seorang ketua harus bersikap adil terhdap anak buahnya. ii. Tanamilah rasa belas kasihan terhadap binatang. iii. Air bersifat lengai terhadap logam adi. | Tatabahasa | 15.09.2012 |
Saudara, 1. Penggunaan kata sendi 'dengan' dan 'terhadap'. Yang manakah yang betul? a. Saya sangat bersimpati terhadap orang-orang yang ditimpa banjir. (Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM) b. Saya sangat bersimpati dengan nasib malang pelajar dari Bagan Serai itu. (Kamus Dewan Edisi Ketiga) 2. Kata Bilangan - perlukah diikuti dengan penjodoh bilangan? a. Berbelas-belas buah rumah telah dihanyutkan banjir besar malam tadi. (Kamus Pelajar) b. Ketiga-tiga anaknya telah bekerja. (Kamus Pelajar) c. Ketiga-tiga orang pesalah itu akan dipenjarakan. (Tatabahasa Dewan Edisi Baharu) d. Beratus-ratus rakyat mati. (Kamus Dewan) e. Beberapa orang kanak-kanak sedang bermain-main di bawah pohon ketapang. (Kamus Pelajar) f. Beberapa buah buku (Kamus Dewan) Sekian. Terima kasih. Salam hormat, LIM KHAN SAN | Mengikut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata sendi dengan digunakan untuk membawa maksud i. bersama-sama atau berserta, ii. cara sesuatu itu dilakukan iii. memakai atau menggunakan dan menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama. Kata sendi terhadap pula digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu, sama ada manusia, haiwan atau benda. Oleh yang demikian berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga penggunaan terhadap lebih tepat dalam Kamus Pelajar. Kamus Dewan Edisi Ketiga lebih merupakan kamus umum yang merakamkan contoh-contoh penggunaan berdasarkan korpus. Penggunaan penjodoh bilangan digalakkan bagi mendapatkan satu bentuk penggunaan bahasa Melayu yang betul, tepat dan indah. Walau bagaimanapun penggunaan bahasa Melayu tanpa penjodoh bilangan bukanlah satu kesalahan. Bagi contoh-contoh ayat di atas penggunaan penjodoh bilangan dapat menjadikan ayat-ayat tersebut lebih tepat,betul dan indah. | Tatabahasa | 12.06.2008 |