Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[se.nyum] | سڽوم

Definisi : 1. gerak bibir yg ternaik pd hujungnya yg membayangkan rasa suka (geli hati, setuju, dsb) tanpa mengeluarkan suara: perempuan muda itu kelihatan memberikan ~ manisnya kpd laki-laki itu; 2. menggerakkan bibir hingga ternaik sedikit hujungnya bagi mem-bayangkan rasa suka (geli hati, setuju, dsb) tanpa mengeluarkan suara: “~, ~,” kata ayah sebelum memetik kamera; ~(-senyum) kambing senyum yg dibuat-buat utk mengejek; ~ kanyur senyum yg dibuat-buat (ketika marah); ~ kucing Kl senyum yg mengandungi sesuatu muslihat; ~ manis senyum yg menarik sekali (menampakkan kejelitaan seseorang); ~ mesra a) senyum yg menunjukkan rasa mesra; b) sj kuih drpd tepung yg dicampur dgn berbagai-bagai ramuan; ~ raja senyum yg dibuat-buat (tidak mengan-dungi apa-apa makna); ~ serong-serong bahasa senyum sedikit sahaja; ~ simpul senyum yg menandakan gembira (geli hati, dll); ~ sinis senyum yg dibuat-buat kerana mengejek (me-nyindir); ~ sumbing senyum sedikit sahaja; ~ tawar senyum yg dibuat-buat ketika berduka-cita (dlm kecewa dll); senyum-menyenyum saling tersenyum: sudah luput segala tunduk-menunduk, ~ serta tegur-menegur; menyenyumi melahirkan senyuman kpd: dia ~ si pelacur tua secara sinis; tersenyum melahirkan senyum: Wan Intan ~ berkulum melihat temasya yg berlaku di hadapannya itu; tersenyum-senyum mengeluarkan senyum yg berulang-ulang dan agak berpanjangan, tersenyum berulang-ulang atau dgn agak ber-panjangan: beberapa orang mahasiswa ke-lihatan ~ memandang gelagat kami; dia ~ mendengar segala janjiku itu; senyuman hasil tersenyum: ~nya menyejuk-kan hati. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[se.nyum] | سڽوم

Definisi : gerak bibir yg ternaik di bahagian hujungnya dgn mulut ter­tutup atau terbuka sedikit, yg membayangkan rasa suka, geli hati dsb. ~ kambing senyum yg dibuat-buat utk mengejek. ~ kanyur senyum yg dibuat-buat ketika marah. ~ kucing senyum yg mempu­nyai sesuatu muslihat. ~ kulum senyum dgn malu-malu tetapi kelihatan manis. ~ manis senyum yg manis sekali. ~ mesra senyum yg menunjukkan rasa mesra. ~ pahit senyum yg dipaksakan ketika dlm kesusahan. ~ raja senyum yg sengaja dibuat-buat. ~ simpul senyum yg menunjukkan kegembiraan seseorang. ~ sumbing senyum yg sedikit saja. ~ tawar senyum yg dibuat-buat ketika bersedih. tersenyum me­lahirkan rasa gembira dll dgn memaniskan muka (mulut tertutup atau terbuka sedikit): Kadang-kadang saya ~ sendirian apabila teringat akan peristiwa-peristiwa itu. senyuman gerakan bibir se­masa tersenyum: ~ yg menawan dpt melembutkan hati. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata senyum

Puisi
 

Hendak diminum tidak terminum,
     Minum sedikit di dalam gelas;
Hendak senyum tidak tersenyum,
     Senyum sedikit tidak berbalas.


Lihat selanjutnya...(17)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam, saya ada satu persoalan tentang perkataan "senyum". Mohon PRPM beri tunjuk ajar. 1. Dalam bahasa Melayu (BM), wujud atau tidak perkataan ‘bersenyum’? 2. Dalam Kamus Dewan, yang ada cuma ‘tersenyum’. Akan tetapi, dalam korpus PRPM, ‘bersenyum’ didapati ada dalam BM. Jika kedua-dua bentuk ini wujud, apakah perbezaan makna antara ‘ber-‘ dan ‘ter-‘ yang digabungkan dengan ‘senyum’? 3. Adakah ‘senyum’ kata kerja tak transitif tanpa pelengkap? Sekian, terima kasih.Dalam bahasa Melayu, tidak terdapat perkataan bersenyum. Perkataan yang ada ialah tersenyum yang bermaksud melahirkan senyum. Perkataan 'bersenyum' cuma terdapat dalam pantun Melayu lama. Tidak semua perkataan mempunyai imbuhan 'ter' dan 'ber'. Contoh perkataan lain yang tidak mempunyai imbuhan "ber" tetapi mempunyai imbuhan "ter" ialah tergelak (tidak ada bergelak), tertawa (tidak ada bertawa) dan tergendala (tidak ada bergendala). Tersenyum ialah kata kerja tak transitif yang tidak memerlukan objek atau penyambut sesudahnya. Contoh kata kerja tak transitif yang tidak memerlukan objek ialah terjatuh dan terduduk.Ejaan16.04.2012
Salam, Soalannya, Bakri.........malu apabila dipuji oleh gurunya. (tersenyum-senyum atau tersipu-sipu)Tersipu-sipu.Tatabahasa26.10.2010
Salam sejahtera. Adakah ayat-ayat di bawah ini betul? 1. Dia senyum sahaja apabila disapa. 2. Juruacara itu selit ke dalam penonton di bawah pentas. 3. Selitkan surat ini di bawah pintu. 4. Rakyat jelata datang mengangkat sembah kepada raja. 5. Baju ini sepadan dengan saiz badannya. 6. Mereka sepakat dengan saya. 7. Pertandingan semalam berakhir dengan / diakhiri dengan keputusan seri. 8. Simpul tali itu telah longgar. 9. Tembakan itu sipi. 10. Kami sukacita dapat melancong ke luar negara secara percuma. Terima kasih.Berikut ayat-ayat yang telah dipinda.

1. Dia tersenyum  apabila disapa.
2. Juruacara itu menyelit bersama-sama penonton di bawah pentas.
 3. Selitkan surat ini di bawah pintu.
4. Rakyat jelata datang mengangkat sembah kepada raja.
5. Baju ini sepadan dengan saiz badannya.
6. Mereka sepakat dengan saya.
 7. Pertandingan semalam berakhir dengan keputusan seri.
8. Simpulan tali itu telah longgar.
9. Tembakan itu sipi.
10. Kami gembira kerana dapat melancong ke luar negara secara percuma.
Tatabahasa13.03.2013
selamat sejahtera. Saya ingin meminta nasihat daripada pihak tuan tentang bentuk dan golongan kata ini. Saya harap pihak tuan dapat memberikan pembetulan serta ulasan tentang bentuk dan golongan kata ini. Terima kasih di atas kesudian pihak tuan membantu saya.Terdapat beberapa pembetulan:

1. Sebak = kata kerja
2. Cuma = kata tugas
3. Senyum = kata tunggal
4. Tawa = kata kerja
5. Kekasih = kata ganda
6. Inginkan = kata kerja
7. Temui = kata kerja
8. Sengaja = kata kerja
9. Pada = kata tugas
Tatabahasa27.03.2013
Assalamualaikum, Saya ingin merujuk kepada pihak DBP kerana kami akan menerbitkan sebuah kamus bergambar untuk pelajar berumur 2 hingga 4 tahun. Dengan itu, saya ingin bertanyakan tentang penggunaan kata imbuhan dalam kata kerja yang betul dan bersesuaian dengan peringkat usia mereka. Sebagai contoh :- Kategori 'KATA KERJA': 1) hold - pegang (*atau harus ditambah kata imbuhan 'me-' memegang) 2) listen - dengar (*atau harus ditambah kata imbuhan 'men-' mendengar) 3) smile - senyum (*atau harus ditambah kata imbuhan 'ter-' tersenyum) #sekian terima kasih.1. Kata pegang lazimnya digunakan dalam bahasa percakapan, oleh itu buku rujukan hendaklah menggunakan kata yang betul, iaitu memegang.
2. Begitu juga dengan perkataan kedua dan ketiga, iaitu mendengar dan tersenyum.
Tatabahasa03.12.2012
dengan menggunakan digunakan bersama atau pilih antara satu?contohnya,dengan dan menggunakan digunakan berasingan.Terima kasihKata sendi nama "dengan" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud seperti yang berikut: 
i. membawa maksud bersama-sama atau berserta (Ayah pergi ke pekan dengan ibu.)  
ii. membawa maksud cara sesuatu dilakukan (Dia menyambut tetamu itu dengan senyum simpul.) 
iii. membawa maksud memakai atau menggunakan (Ani melukis potret itu dengan cat air.)
iv. menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama (Orang itu sentiasa sependapat dengan ketuanya.)

Berdasarkan penerangan pada nombor iii di atas, perkataan "dengan" tidak perlu digunakan bersama-sama dengan "menggunakan"  keranan telah membawa maksud "menggunakan".
Tatabahasa02.03.2012
Salam Tuan/Puan Bolehkah pihak DBP memberi komen kepada hasil nukilan saya seperti di bawah. Untuk pengetahuan pihak DBP saya tidak berapa pasti apakah hasil nukilan saya ini puisi atau sebaliknya. Saya juga ingin mendapatkan komen daripada pihak DBP sama ada hasil nukilan ini layak untuk di siarkan di mana-mana majalah atau surat khabar. Terima kasih dengan komen yang akan diberikan. Anak-anakku kau umpama cahaya matahari Yang tidak pernah jemu menyinari bumi Begitu juga kalian menyinari kehidupan ayah dan umi Anak-anakku Kecerian terpancar di wajah dan senyum di bibir kalian Sungguh mendamaikan dan menyejukkan umpama air sungai yang mengalir tenang Anak-anaku Kaulah harta yang paling bernilai di dunia ini Diri kalian tidak boleh di jual beli Jika hilang tidak akan muncul kembali Anak-anakku tanpamu kalian di sisi umpama langit yang gelap yang tidak berbintang penuh diselubungi awan hitam Anak-anakku Ayah dan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraan kalian Agar menjadi anak-anak yang soleh dan taat Dengan perintah TuhanWaalaikumsalam puan, Bagi mendapatkan sebarang ulasan  entang hasil nukilan puan, sebaik-baiknya puan hantarkan puisi tersebut mengikut format puisi yang sebenar kepada e ditor Dewan Sastera di Bahagian Majalah DBP, atau fadhli@dbp.gov.my.  Setiap puisi yang dihantar perlu dinilai terlebih dahulu oleh editor bagi memastikan bahawa puisi tersebut menepati kriteria yang ditetapkan dan sesuai untuk diterbitkan.Terima kasih.Lain-lain30.11.2013
Ayat yang betul ialah Puan Lee pandai menganyam tikar daripada buluh. bolehkah terangkan penggunaan daripada..... kalau ayat "tikar diperbuat daripada buluh" memang betul, kenapa kita tidak boleh gunakan " Puan Lee pandai menganyam tikar dengan buluh". boleh terangkan penggunaan dengan dan daripada. sekian terima kasih.

Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh:

i. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya
ii. Ukiran itu diperbuat daripada kayu
iii. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama.


Kata sendi nama "dengan" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud seperti yang berikut: 
i. membawa maksud bersama-sama atau berserta (Ayah pergi ke pekan dengan ibu.)  
ii. membawa maksud cara sesuatu dilakukan (Dia menyambut tetamu itu dengan senyum simpul.) 
iii. membawa maksud memakai atau menggunakan (Ani melukis potret itu dengan cat air.)
iv. menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama (Orang itu sentiasa sependapat dengan ketuanya.)

Tatabahasa04.09.2013

Kembali ke atas