Apakah kesalahan pada ayat ini? 1. Hazri menyimpan sepertiga daripada gaji bulanannya. 2. Kambing jantan itu ditambat kepada pokok rambutan. | 1. Hazri menyimpan sepertiga daripada gaji bulanannya. Ayat contoh ini betul. 2. Kambing jantan itu ditambat kepada pokok rambutan. Ayat yang betul ialah - Kambing jantan itu ditambat pada pokok rambutan. | Tatabahasa | 19.06.2008 |
1. Tolong senaraikan jenis kata bilangan. 2. Adakah kata bilangan tingkat merupakan satu jenis kata bilangan? | Kata bilangan ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah frasa nama dan hadir sebelum frasa terebut. Kata bilangan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu a) kata bilangan menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal. Contohnya dua, dua puluh, sejuta dan sebagainya. b) kata bilangan yang menunjukkan bilangan tak tentu. Contohnya segala, semua beberapa, sedikit dan sebagainya. c) kata bilangan yang membawa maksud himpunan. Contohnya, ketiga-tiga, berabad-abad, berguni-guni dan sebagainya. d) kata bilangan yang membawa maksud pisahan. Contohnya maisng-masing, tiap-tiap dan sebagainya. e) kata bilangan yang membawa maksud pecahan. Contohnya setengah, sepertiga, dua pertiga dan sebagainya. Tidak ada kata bilangan tingkat, termasuk dalam kata bilangan yang menunjukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal.
| Tatabahasa | 03.04.2013 |
saya keliru golongan kata bagi perkataan 'sebuah'. Perkataan 'sebuah' merupakan penjodoh bilangan atau kata bilangan atau kedua-duanya sekali. Semoga pihak Tn dapat memberi sedikit penerangan berkaitan perkataan tersebut. Harap pihak Tn. dapat membantu saya menyelesaikan kekeliruan yang saya hadapi. Jasa baik Tn. amat saya hargai. | Sebuah merupakan penjodoh bilangan. Penjodoh bilangan buah digunakan untuk benda (bentuk atau jenisnya tidak tentu) seperti sebuah peperangan, sebuah rumah, dua buah kerusi dan lain-lain. Kata bilangan ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah frasa nama dan hadir sebelum frasa terebut. Kata bilangan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu a) kata bilangan menunujukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal. Contohnya dua, dua puluh, sejuta dan sebagainya. b) kata bilangan yang menunjukkan bilangan tak tentu. Contohnya segala, semua beberapa, sedikit dan sebagainya. c) kata bilangan yang membawa maksud himpunan. Contohnya, ketiga-tiga, berabad-abad, berguni-guni dan sebagainya. d) kata bilangan yang membawa maksud pisahan. Contohnya maisng-masing, tiap-tiap dan sebagainya. e) kata bilangan yang membawa maksud pecahan. Contohnya setengah, sepertiga, dua pertiga dan sebagainya. Lazimnya kata bilangan berpasangan dengan penjodoh bilangan untuk menjadi sejenis penerang kepada kata nama yang mengikutinya. Contohnya, beberapa buah kereta, dua buah rumah dan lain-lain. | Tatabahasa | 28.02.2013 |