Selamat petang. Apakah terdapat perbezaan antara pecahan seramik dan serpihan seramik? Yang manakah lebih tepat? Terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud pecahan ialah sesuatu yang sudah pecah atau dipecahkan manakala serpihan ialah kepingan-kepingan kecil (daripada sesuatu seperti batu, kayu, dan lain-lain). Maka kedua-dua perkataan pecahan seramik atau serpihan seramik boleh digunakan mengikut konteks ayat yang bersesuaian. | Makna | 29.04.2023 |
Betulkah penggunaan nama "pucuk awal" dan serpihan cili pada labrl produk? Bukankah sepatutnya pucuk muda dan serbuk cili kasar. Sekian | Sila berikan makna dan konteks penggunaan “pucuk muda” dan “serpihan cili” bagi memudahkan kami memberikan cadangan perkataan yang sesuai. | Istilah | 02.11.2024 |
Salam hormat. saya ada beberapa soalan yang tidak pasti tentang kesahihan ayat tersebut. Harap pihak tuan dapat membantu saya. 1. Serpihan kaca terpijak oleh saya. Ayat di atas saya tidak pasti betul atau tidak kerana kata sendi oleh dalam ayat pasif diikuti kata ganti nama diri pertama saya. Adakah kata kerja pasif berimbuhan ter boleh diikuti kata ganti nama diri pertama ? sila lihat 2 ayat berikut. 1. Cikgu Ariffin mengajarkan Bahasa Melayu kepada pelajar kelas 5 Sains. 2. Cikgu Ariffin mengajarkan Bahasa Melayu kepada pelajar kelas Tingkatan 5 Sains. Antara 2 tersebut, yang manakah betul ? Wajarlah kata tingkatan itu ditulis dengan huruf besar? Saya amat berharap agar pihak tuan dapat membalas e-mel ini. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah saya terpijak serpihan kaca / serpihan kaca saya terpijak. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 173 dan 491 untuk keterangan lanjut. Ayat yang betul ialah Cikgu Ariffin mengajarkan Bahasa Melayu kepada pelajar Tingkatan 5 Sains 2. | Tatabahasa | 02.08.2010 |
1)Istilah manakah yang sesuai untuk serpihan kaca?:- a) bertaburan b)berhamburan c) berserak-serakan 2) Apakah penjodoh bilangan untuk satu buku kupon/tiket? a) sebuku b) senashkah 3) Manakah antara berikut yang betul penggunaannya? a) membeli banyak hadiah b) banyak membeli hadiah | 1. bertaburan atau berserakan. 2. keping. 3. membeli banyak hadiah. | Tatabahasa | 08.10.2009 |
Assalamualaikum, Sebahagian ayat berikut, saya petik daripada Kamus Dewan Edisi Keempat. Pertanyaan saya ialah, perkataan kena dalam setiap ayat tersebut tergolong dalam golongan kata apa? Sekian, terima kasih. 1. Lututnya luka kerana kena serpihan kaca sewaktu dia jatuh tadi. 2. Tikamannya itu kena pada bahu lawannya. 3. Dilemparkannya sebiji batu kena kepala anjing itu. 4. Semua jenis minuman keras kena cukai baharu. 5. Budak itu kena pukul oleh kumpulan pelajar nakal di sekolahnya. 6. Kalau kena harganya saya jual juga rumah ini | Ayat 1 hingga 4 ialah kata kerja, namun bukanlah dalam binaan yang gramatis kerana tidak diletakkan imbuhan seperti terkena serpihan kaca dan dikenakan cukai. Ayat 5, perkataan kena ialah kata kerja pasif. Ayat 6 lazimnya digunakan dalam bahasa percakapan. Ayat yang gramatis "kalau berpatutan harganya ...". | Tatabahasa | 15.03.2017 |
Bagaimanakah penggunaan perkataan/ ayat yang betul untuk menyatakan penggunaan lebihan kayu yang telah digunapakai kepada sesuatu produk bernilai tambah seperti: 'Penggunaan sisa kayu terpakai' @ 'Penggunaan habuk kayu terpakai' @ 'Penggunaan sisa kayu' @ apakah pengunaan perkataan /ayat yang lebih sesuai untuk digunakan? | Penggunaan perkataan yang betul bergantung pada jenis dan bentuk bahan yg digunakan dalam penghasilan sesuatu produk tersebut. Kami mencadangkan perkataan yang sesuai ialah penggunaan sisa kayu, habuk kayu dan serpihan kayu. | Istilah | 23.09.2021 |
Apakah seramik, porselin dan tembikar merujuk benda yang sama? Terima kasih. | Tembikar ialah jenis seramik, manakala porselin ialah salah satu bahan yang digunakan untuk membuat seramik, selain tanah liat. Takrifan seramik, tembikar dan porselin dalam Kamus Dewan Perdana ialah: seramik سيراميک [se⋅rɑ⋅mik] n 1 barang yg dihasilkan drp tanah liat, mis tembikar, pasu dan jubin: Kami menyediakan seramik berukir bagi hiasan dalaman masjid tsb. 2 bahan yg keras, rapuh dan mempunyai takat lebur yg tinggi yg dibuat drp tanah liat: Seramik yg paling penting ialah tanah liat tradisional. 3 seni dan teknik membuat barang-barang drp tanah liat, tembikar dsb: Karya yg dipamerkan ialah seni catan, cetakan, seramik, anyaman dan foto yg merupakan hasil kerja tangan pelajar UPSI. berseramik برسيراميک [bər⋅se⋅rɑ⋅mik] ktt ada seramik atau berhias dgn seramik: Ruang dapur atas berseramik biru menjadikan dapur tampak mewah. tembikar تمبيکر [təm⋅bi⋅kɑr] n 1 cawan, mangkuk, pinggan dll yg dibuat drp tanah liat yg dibakar dan bergilap; 2 serpihan tembikar, cawan, mangkuk dll; tembereng; porselin ڤورسلين [por⋅sə⋅lin] n bahan yg dibuat drp campuran tanah liat, kuarza dsb, yg dipanaskan sehingga menjadi pepejal putih yg licin, keras dan digunakan sbg penebat elektrik, peralatan dapur, makmal dsb; berporselin برڤورسلين [bər⋅por⋅sə⋅lin] ktt mengandungi porselin: bahan batuan berporselin. Semoga jawapan ini menjawab persoalan tuan. Terima kasih. | Makna | 22.03.2023 |