Mengapakah kata seperti kebertanggungjawaban, keberadaan, keberhasilan, keberkesanan dan kata - kata seumpamanya menggunakan apitan ke-...-an dan bukannya per-...-an seperti pergaduhan (bergaduh), permainan (bermain), perjanjian (berjanji), percintaan (bercinta) dan seumpamanya? Salahkah jika kebertanggungjawaban saya tulis sebagai pertanggungjawaban, keberadaan sebagai peradaan, keberkesanan sebagai perkesanan dan keberhasilan sebagai perhasilan? Saya mohon pencerahan dan berterima kasih jika pihak DBP menjawab pertanyaan (kebertanyaan?) saya. | Apitan pe-...-an membentuk kata nama. Apitan pe-...-an bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan kata kerja untuk menandakan makna tempat atau kawasan khusus, seperti petempatan dan pesisiran. Hasil gabungan apitan ini dengan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas menandakan makna khusus, iaitu hal yang berkaitan dengan kata dasar atau hasil daripada melakukan maksud kata dasarnya seperti perakuan dan persengketaan. Untuk mengenal pasti kelas kata terbitan daripada apitan ke-...-an hendaklah melihat konteks penggunaannya dalam ayat. Dalam buku Tatabahasa Dewan, perkara ini diterangkan di bawah tajuk Aspek makna apitan ke-...-an (halaman 213), contohnya perkataan kehujanan ialah kata nama sepertimana fungsinya dalam ayat "Dia kehujanan di jalan". Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 212-213 | Tatabahasa | 22.11.2017 |
salam, saya bertanya berkenaa tanda slash (/). Dalam ayat bahasa melayu, perlukan ada space selepas tanda slash ini? cthnya: ....bergerak dan seumpamanya yang dibeli/sewa/pajak/pinjam atau yang diterima ... ATAU ....bergerak dan seumpamanya yang dibeli/ sewa/ pajak/ pinjam atau yang diterima ... Sekian, terima kasih | Dalam penerbitan, selepas tanda / , tiada jarak dan dieja rapat seperti "dibeli/sewa/pajak/pinjam". | Tatabahasa | 22.10.2013 |
Assalamualaikum saudara, Saya mencari peluang menulis secara sambilan untuk artikel/sayembara/penulisan kreatif dan seumpamanya. Adalah lebih baik sekiranya saudara di DBP sendiri sudi membantu atau memaklumkan kepada saya berkenaan apa apa peluang untuk menulis yang ada di DBP sendiri. Salam hormat. | Wassalam. Berhubung hasrat puan untuk menghantar karya berbentuk artikel/puisi/cerpen dan seumpamanya, pihak kami amat mengalu-alukan. Sehubungan itu, pihak kami mencadangkan puan menghubungi Bahagian Majalah dan berbincang dengan editor berkaitan. Untuk makluman, pihak DBP setiap bulan menerbitkan 11 jenis majalah seperti Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Siswa dan sebagainya. Sila hubungi Bahagian Majalah menerusi telefon: 03-21479001/9002 atau mengirimkan sebarang tulisan ke Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Peti Surat 10803, 50926 Kuala Lumpur. Sekian. | Lain-lain | 20.06.2018 |
Assalam. Adakah bunga raya dan seumpamanya kata nama khas. Jika ya, ejaan bunga huruf besar atau kecil. Hurai juga perkara lain yang berkaitan. Terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan, ejaan yang betul ialah bunga raya sama seperti bunga ros, teratai dan orkid. Jenis-jenis bunga ini dikategorikan sebagai kata nama am melainkan ada unsur lain yang menjadikannya sebagai kata nama khas seperti tajuk novel. | Ejaan | 27.01.2018 |
apakah perbedaan ayat 'pelanggaran' & 'perlanggaran' dan seumpamanya...terima kasih | Perlanggaran bermaksud perihal (kejadian dsb) berlanggar (antara kenderaan, kenderaan dgn orang, dll): kereta itu terlibat dlm ~ dgn sebuah lori di batu empat jalan Kuantan-Gambang; Manakala pelanggaran ialah 1. perihal melanggar (menyerang, menyerbu, dsb): ~ orang kafir terhadap orang Islam itu telah dapat dipatahkan; 2. perihal menentang perbuatan dsb atau tidak mematuhi (undang-undang, peraturan, adat, dll): ~ disiplin berlaku kerana murid-murid tidak menghormati peraturan sekolah; Kedua-duanya boleh digunakan bergantung kepada konteks dan situasi ayat. Untuk keterangan lanjut sila rujuk Kamus Dewan Edisi Empat atau layari http://prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". | Lain-lain | 11.10.2010 |
Assalamualaikum. Merujuk kepada yang berikut: Menurut buku Gaya Dewan Edisi Ketiga, tanda koma berfungsi untuk mengapit aposisi ”dan sebagainya”, “dan yang lain”, “dan seumpamanya”. Contoh 3: Sayur kubis, bayam, salad, kangkung, sawi, dan sebagainya, banyak dijual di pasar tani. Adakah 'dan lain-lain' juga termasuk dalam kategori aposisi yang disebut di atas? Adakah tanda koma perlu diletakkan di hadapan 'dan lain-lain'? Sekian, terima kasih. | Wassalam. "dan lain-lain" juga termasuk dalam fungsi tanda koma mengapit aposisi seperti "dan sebagainya", "dan yang lain", dan seumpamanya. | Lain-lain | 18.11.2019 |
Apa terjemahan untuk kata seruan "what the hell" dan seumpamanya? | Cadangan terjemahan yang sesuai bagi "what the hell" ialah "Apa halnya?”, bergantung pada konteks, situasi dan penggunaan ayat. Walau bagaimanapun, "what the hell" merupakan bahasa kolokial, iaitu bahasa basahan atau bahasa percakapan. | Penyemakan dan penterjemahan | 13.04.2023 |
Nama-nama aplikasi dalam talian seperti WhatsApp, Telegram, Facebook dan seumpamanya jika dalam sebuah penulisan rasmi, adakah perlu diitalikkan? Terima kasih. | Nama-nama aplikasi tersebut perlu dikekalkan penggunaanya. Nama-nama tersebut merupakan kata nama khas. | Lain-lain | 20.12.2022 |
Perkataan ulu dan hulu adakah boleh digunakan untuk kepada keris , pisau, cangkul dan seumpamanya. Contoh: _____ keris itu dibuat daripada perak. a. hulu b ulu Apakah pilihan jawapan yang tepat ? | Jawapan yang betul ialah hulu, rujuk makna keempat hulu, iaitu tangkai atau pemegang bagi pisau, keris, cangkul, dan sebagainya. | Tatabahasa | 27.04.2010 |
Selamat sejahtera, saya ingin bertanya tentang perkataan 'biras' dalam bahasa inggeris. Adakah perkataan yang seumpamanya atau perkataan yang lebih kurang sama maksudnya? Terima kasih. | Perkataan bahasa Inggeris untuk biras ialah in-laws (merujuk kepada, "the relationship between outsiders who marry siblings in a family"). Sila rujuk halaman 198 Kamus Melayu-Inggeris Dewan. | Lain-lain | 25.10.2022 |