Assamualaikum, saya ingin mengemukakan soalan berkaitan kata sisipan, mengapakah kata sisipan ini dikatakan amat terhad dan tidak produktif sifatnya dalam bahasa melayu? | Terdapat enam jenis imbuhan yang terdapat dalam bahasa iaitu imbuhan awalan, akhiran, sisipan, apitan, morfem kosong dan fleksi.Imbuhan yang paling tidak popular penggunaannya ialah sisipan. Walau bagaimanapun, bentuk sisipan tidak produktif lagi dalam pembentukan kata terbitan, dengan maksud, kata terbitan baharu tidak lagi dibentuk dengan sisipan. Bentuk-bentuk kata sisipan sudah membeku dalam kata terbitan tertentu dan tidak dapat hadir dalam perkataan-perkataan yang lain kecuali dalam beberapa istilah yang baru dicipta. Justeru, walaupun pengimbuhan sisipan tidak lagi popular dan dianggap membeku kerana tidak berkembang, namun kita perlu melakukan kajian terhadap proses ini agar tidak terus diabaikan. | Tatabahasa | 16.07.2018 |
Selain daripada "sinambung". apakah kata-kata akar lain yang menggunakan sisipan "in". Mengapa sisipan "in" perlu digunakan? | Setakat ini hanya terdapat satu kata terbitan yang terhasil dengan bentuk sisipan -in-, iaitu; sambung=sinambung. Bentuk-bentuk sisipan amat terhad dan tidak produktif sifatnya. Sisipan berlaku untuk mengubah jenis kata , contohnya bentuk kata nama dan kata adjektif yang mengandungi sisipan dapat dijadikan kata kerja melalui proses pengimbuhan. Contoh; 1. sisipan -el = geletar = menggeletar 2. sisipan -em- gemuruh = bergemuruh | Tatabahasa | 14.08.2013 |
Adakah terdapat kata sisipan dalam perkataan 'kelebak'? Pada pengetahuan saya, jika saya buang sisipan 'el', perkataan dasarnya akan jadi 'kebak'. Saya telah semak di dalam kamus, perkataan tersebut (kebak) tidak tersenarai. Jadi, adakah perkataan 'kelebak' boleh diterima sebagai kata sisipan? Begitu juga perkataan 'kelingking'. Jika kita buang sisipan 'el', perkataan tersebut akan jadi 'kingking'. Dalam Kamus Dewan Edisi ke-3, perkataan 'kingking' bermaksud 'limau'. Dari manakah asal perkataan tersebut? Mengapa perkataan tersebut membawa maksud 'limau'? Terima kasih. | Tidak semua perkataan yang ada huruf el di tengah-tengah perkataan menunjukkan berlakunya proses sisipan el pada perkataan tersebut. kata dasar dan kata yang ada sisipan el mempunyai makna yang hampir sama, seperti serak dan selerak. Kamus Dewan tidak menyenaraikan etimologi (asal-usul kata), sila rujuk kamus/buku lain yang berkaitan. | Tatabahasa | 03.09.2008 |
Apakah imbuhan sisipan yang terdapat dalam perkataan kesinambungan. | Imbuhan sisipan yang terdapat dalam perkataan kesinambungan ialah sisipan -in- , iaitu sambung = sinambung. | Istilah | 09.02.2009 |
Saya sertakan sisipan fail | Untuk makluman, belum terdapat padanan istilah bahasa Melayu dalam pangkalan data istilah DBP untuk tujuh istilah yang tuan kemukakan. Senarai istilah tuan akan dikemukakan kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi untuk mendapatkan padanan Melayu yang sesuai. Kami akan memaklumkan padanan istilah berkenaan kepada tuan melalui e-mel mzakwan@salam.uitm.edu.my. | Istilah | 07.09.2018 |
Mengapa Sisipan Klik DBP dalam akhbar Berita Harian dihentikan ? Saya rasa sisipan tersebut perlu diteruskan. | Klik DBP tidak lagi diterbitkan dalam Berita Harian dan sebagai gantinya DBP akan menerbitkan Klik dalam laman web DBP. | Lain-lain | 19.12.2009 |
Apakah imbuhan sisipan dalam bahasa Inggeris? | Pertanyaan yang dikemukakan kurang jelas. Sekiranya terjemahan yang dimaksudkan, sisipan boleh diterjemahkan kepada infix. | Penyemakan dan penterjemahan | 27.01.2020 |
saya ingin bertanya: 1.bagaimana pembentukan kata kerja sisipan berlaku,adakah dibina daripada kata dasar contoh:semerbak apakah kata dasarnya dan mengapa bila disisipkan menjadi bersemerbak,apakah huruf yang disisipkan.minta penjelasan 2.Boleh pihak tuan memberikan tip penting untuk membina karangan | Sisipan wujud dalam kata nama, kata adjektif dan kata kerja. Contoh yang saudara beri -semerbak merupakan bentuk sisipan kata adjektif. kata asalnya serbak - sisipan em di situ menjadi - semerbak. Untuk membina karangan paling penting saudara perlua mengetahui format dan menguasai tajuk yang bakal ditulis. sila rujuk buku-buku yang berkaitan dengan penulisan karangan untuk maklumat lanjut.
| Tatabahasa | 24.07.2008 |
salam... sisipan pada perkataan ''kerabat'' akan menjadi ''kabat'',betol atau tidak??apa pula makna ''kabat'' jika ia betol? | Tidak ada maklumat tentang kata "kabat" dalam pangkalan data kami. Contoh sisipan "er" yang betul ialah kuping - keruping, gigi - gerigi dan suling - seruling. | Tatabahasa | 02.08.2011 |
saya sedang mencari perkataan-perkataan yang mempunyai imbuhan sisipan. Bolehkah pihak tuan menyenaraikan perkataan-perkataan tersebut sekian terima kasih. | Antara contoh perkataan-perkataan yang mempunyai imbuhan sisipan seperti 1. tapak - telapak, 2. kupas - kelupas, 3. kemumur - kelemumur. Untuk mendapatkan keterangan lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 45, 71, 72, 131, 132, 217, 599, 602. | Lain-lain | 18.10.2010 |