Mencemar duli sesuai atau tidak digunakan untuk sultan yang menunaikan solat di masjid? | Takrifan mencemar duli berserta contoh ayat dalam Kamus Dewan Perdana: mencemar duli bd (berkenaan dengan raja, sultan dan sebagainya) sudi datang atau pergi ke: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli ke Masjid Pangkalan Udara TUDM, Subang untuk menunaikan solat Jumaat. Baginda turut mencemar duli untuk menyaksikan sambutan Hari Merdeka pada pagi ini. (KDP 2020: 410) Mencemar duli sesuai digunakan untuk sultan yang datang atau pergi ke sesuatu tempat, termasuklah masjid untuk menunaikan solat. Takrifan mencemar duli dalam Kamus Dewan Perdana diberikan label bd (bahasa diraja), iaitu kata yang digunakan dalam kalangan keluarga diraja, golongan istana, atau antara keluarga diraja dengan rakyat jelata.
| Lain-lain | 30.03.2025 |
Bagaimana cara-cara menunaikan solat secara berjemaah dan apakah kepentingannya? | Solat berjemaah bermaksud solat yang dilakukan lebih daripada seorang, atau secara beramai-ramai, dengan diketuai seorang imam. Solat berjemaah terdiri daripada seorang imam dan sekurang-kurangnya seorang makmum. Posisi imam mesti di hadapan makmum dan posisi makmum di belakang imam. Makmum tidak boleh mendahului imam dalam perlakuan dalam solat. Solat secara berjemaah sangat dituntut dalam Islam. Bagi Mazhab Syafie hukumnya ialah fardu kifayah, manakala sesetengah pendapat mengatakan solat berjemaah hukumnya sunat mua'akad atau sunat yang sangat dituntut dalam Islam. Antara solat yang biasa ditunaikan secara berjemaah ialah solat fardu lima waktu, solat hari raya, solat sunat tarawih dan solat sunat witir. Tetapi bagi sembahyang Jumaat, ia wajib dikerjakan secara berjemaah Sabda Nabi SAW:"Solat berjemaah itu lebih afdhal (baik) daripada solat bersendirian dengan 27 kali darjat" (HR Bukhari dan Muslim) Untuk maklumat lanjut berkenaan perkara yang dibincangkan silalah rujuk pakar bidang (ustaz/imam) secara langsung atau rujuk rujukan di laman sesawang atau di perpustakaan yang berhampiran. | Lain-lain | 16.01.2009 |