Perkataan mana lebih tepat antara "sosial media" atau "media sosial" | MEDIA SOSIAL | Tatabahasa | 15.03.2013 |
Saya bersungguh-sungguh mengharap pihak DBP mempergiatkan usaha mempopularkan bahasa Melayu di media sosial. Saya sarankan, dan saya harap saran ini diambil serius, berikan munsyi-munsyi DBP mengelola akaun media sosial khususnya Twitter untuk mengajar rakyat bahasa Melayu yang baik dan benar, sesuai dengan penggunaan media sosial dan menegur ahil politik yang kian lama makin tidak endahkan bahasa Melayu. Wujudkan tentera maya bagi mempromosi bahasa baik dan benar. | Terima kasih atas keprihatinan dan cadangan/saranan tuan terhadap penggunaan bahasa Melayu. Cadangan pihak tuan akan kami panjangkan kepada pihak atasan kami. | Lain-lain | 04.02.2019 |
Salam. Adakah ayat ini betul dari segi tatabahasa? "Media sosial merupakan salah satu cabang internet." Terima kasih. | Ayat " "Media sosial merupakan salah satu cabang Internet." ini betul dari segi tatabahasa dan ejaan Internet (I - huruf besar) | Tatabahasa | 22.06.2020 |
Apakah terjemahan bagi "catfish" (istilah media sosial")? | Untuk makluman, padanan bahasa Melayu bagi istilah catfish mengikut Kamus Dewan, ialah ikan duri. Setakat ini, masih belum terdapat padanan yang merujuk kepada istilah media sosial. Pihak kami akan mengajukan istilah tersebut kepada pihak yang berkenaan. | Istilah | 20.04.2018 |
Salam sejahtera, boleh saya dapatkan padanan kata bagi istilah "repost" dalam konteks media sosial? Sekian, terima kasih. | Sehingga kini tiada lagi padanan bagi istilah repost dalam bidang teknologi maklumat (media sosial). Cadangan kami yang sesuai ialah "ulang siar". Walau bagaimanapun, cadangan tuan akan kami bawa kepada Jawatankuasa Istilah semasa untuk dibincangkan. | Istilah | 31.08.2019 |
Apakah terjemahan yang paling tepat bagi istilah "social media post"? Adakah perkataan pos sesuai untuk digunakan dalam konteks ini? | Dalam konteks media sosial, "post" diterjemahkan kepada "Hantaran". Oleh itu, terjemahan yang sesuai ialah "Hantaran Media Sosial". | Penyemakan dan penterjemahan | 23.04.2018 |
Saya ingin mendapatkan senarai kata-kata Bahasa Melayu yang dipinjam dari Bahasa Inggeris. Contohnya, Social Media dijadikan Media Sosial. Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat tersebut? Sekian terima kasih. | Sdr. boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari http://prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". Saudara juga boleh mendapatkan hebahan terkini dalam laman sosial kami, iaitu melalui Facebook dan Instagram Dewan Bahasa dan Pustaka. | Istilah | 11.01.2019 |
Saya ingin membuat kerja kursus saya.Tajuknya adalah 'Media sosial seperti twitter dan facebook merupakan media pilihan remaja kini utk berhubung.Walaubagaimanpun ejaan yang digunakan kebanyakannya melanggar peraturan ejaan bahasa Melayu.Tulis esei (1500p.p) tentang kesan pengunaan ejaan yang salah ini terhadap masa depan bahasa melayu.' Boleh berikan saya sumber rujukan dan bibliografi utk buat esei di atas? | Untuk mengumpul maklumat berkaitan dengan tugasan puan, sila kunjungi perpustakaan yang berhampiran khususnya di tempat puan belajar. Berkemungkinan tugasan ini berkaitan dengan sesuatu yang baharu dan belum banyak lagi rujukan mengenainya, namun secara umumnya puan boleh merujuk bentuk-bentuk kesalahan dalam wacana yang banyak dibentangkan dalam seminar bahasa. Tiada jalan pintas untuk berjaya, kadangkala ia bermula dengan sesuatu yang sukar. | Lain-lain | 31.07.2014 |
Perkataan baharu yang sering digunakan Di media sosial adalah "normal baharu" , yang mana Bahasa Inggerisnya adalah "new norms". Pada pengetahuan saya , norms= norma Soalan: 1. Adakah perkataan 'normal' tepat dan betul 2. Jika tidak tepat, apakah tindakan susulan pembetulan Yang DBP laksanakan supaya perkataan yang betul digunakan. | Padanan bahasa Melayu bagi new normal ialah kebiasaan baharu manakala new norm pula ialah norma baharu. Kebiasaan baharu (new normal) merupakan tindakan atau tingkah laku yang baharu atau, tidak seperti kebiasaan untuk dijadikan standard atau biasa disebabkan oleh sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit, dalam usaha mengadaptasi keadaan baharu. Norma baharu (new norm) pula merupakan peraturan yang diterima atau diguna pakai oleh masyarakat disebabkan berlakunya sesuatu perkara seperti pandemik penyakit berjangkit. DBP menyebarluaskan penggunaan istilah yang betul melalui media sosial DBP seperti melalui laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka, Instagram, Twitter dan aplikasi Whatapps. | Penyemakan dan penterjemahan | 15.06.2020 |
Salam sejahtera, apakah padanan kata bagi istilah "stalk, stalking & stalker" dalam konteks penggunaan media sosial? Sekian, terima kasih. | Istilah bagi stalk, stalking dan stalker dalam konteks penggunaan media social ialah intai, mengintai dan pengintai maya. | Istilah | 16.09.2019 |