Muhammad Z Nurdin MON 21:05 Persoalan saya adakah DBP tidak mahu membuat kajian lanjut terutamanya bagaimana perkataan-perkataan berkenaan mungkin ditulis dalam tulisan jawi yang merupakan tulisan asal Bahasa Melayu. Bilakah DBP hendak buat kajian...? 10 tahun yang lalu saya pernah bertanyakan tentang maksud asal istilah 'patik', 'paduka', 'duli yang maha mulia', namun jawapan DBP tetap sama (statik) iaitu rujuk kamus dewan bahasa edisi ke-4. Banyak istilah dari sanskrit digunakan tapi rakyat tidak didedahkan dengan jujur apa maksud istilah itu sebenarnya dlm bahasa asal... | Etimologi kata Melayu yang bersumberkan daripada bahasa Sanskrit tidak ada dalam sumber rujukan DBP. Melalui carian kami di internet menemukan senarai kata berkenaan di https://ms.wikipedia.org/wiki/Senarai_kata_pinjaman_dari_bahasa_Sanskrit_dalam_bahasa_Melayu. Dalam hal penggunaan kata dan makna, sumber rujukan utama kami ialah Kamus Dewan, dan Kamus Dewan tidak memasukkan data etimologi kata, kecuali sebilangan kata yang ditandakan sebagai dialek negeri, kata Indonesia dan kata Brunei. | Lain-lain | 03.04.2017 |
mengapa tidak menggunakan tulisan jawi sebagai tulisan rasmi? apakah kita mesti menggunakan roman sebagai tulisan rasmi? jikalau ingin membubarkan PPSMI, perlu adanya perkataan-perkatan sendiri dalam istilah perubatan. bukannya mengadaptasi bahasa asing. saya seorang pelajar sains. dulu saya mempelajari biologi, fizik dan kimia dalam Bahasa Melayu, saya mendapati banyak istilah-istilah hanya dimelayukan, bukannya asal daripada Melayu sendiri. bagaimanakah untuk memperjuangkan Bahasa Melayu? tolong beri perhatian. | Sekiranya tulisan Jawi dijadikan tulisan rasmi sayalah antara orang yang paling gembira sekali. Saudara bagaimana? Kadang-kadang kita perlu membuka minda dan memahami bahawa sifat sesuatu bahasa itu tidak statik. Ia akan berubah mengikut perkembangan zaman. Itulah tanda bahawa bahasa itu hidup. Kalau tiada orang menggunakan bahasa, ia akan mati seperti bahasa Hawaii contohnya. Banyak istilah yang berkaitan dengan pelbagai bidang termasuklah bidang sains dan teknologi telah dimelayukan. Kalau saudara mempertikai tentang penyaduran istilah tersebut, cuba saudara berikan contoh satu perkataan dan daripada bahasa mana asal kata tersebut? Saya yakin bahawa asalnya bukan hanya daripada bahasa Inggeris sahaja. Orang Inggeris pun meminjam banyak istilah daripada bahasa lain, contohnya: algebra - B.Arab, amuck- B.Melayu, combat - B.Latin, Science - B.Latin melalui B.Perancis, Technology - B.Greek, dll. Kalau dikaji sebahagian besar kata dalam bahasa Inggeris itu dipinjam drp. bahasa lain. (Sila baca bahan yang berkaitan dengan perkembangan bahasa Inggeris). | Lain-lain | 25.12.2008 |
apakah yang dimaksudkan bahasa melambangkan negara terbilang? | Sesebuah negara yang berdaulat pastinya mempunyai bahasa kebangsaan, yang juga menjadi bahasa rasmi negara berkenaan. Di Malaysia, bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu sebagaimana tertera dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Selepas merdeka, bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem persekolahan di semua sekolah rendah kerajaan, menengah dan kemudian di peringkat universiti apabila ditubuhkan Universiti Kebangsaan Malaysia. Seterusnya penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran di pusat pengajian tinggi awam diperluaskan. Melalui sistem pendidikan ini, bahasa Melayu menjadi alat utama adalam sistem pendidikan kebangsaan. Kesan daripada pelaksanaan sistem ini, terbukti ramai graduan tempatan dilahirkan dengan cemerlang hasil daripada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Peningkatan taraf pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia telah menyumbang ke arah pembangunan negara dalam bidang ekonomi, pelajaran, politik, kesihatan, pertanian, perindustrian,pertahanan dan sebagainya. Oleh yang demikian, bahasa kebangsaan perlu dipertahankan, diperkasakan dan dikembangkan sesuai dengan ledakan maklumat semasa agar bahasa kebangsaan tidak statik, sebaliknya mampu dijadikan bahasa ilmu, bahasa komunikasi sosial, bahasa ekonomi, bahasa undang-undang, bahasa teknologi maklumat dan bahasa perpaduan. Faktor-faktor inilah yang menjana ke arah menjadikan sesebuah negara itu terbilang. | Lain-lain | 03.03.2008 |