| Assalamualaikum dan salam sejahtera, Saya ingin tahu, bilakah istilah padanan rasmi bagi String Theory akan dimasukkan dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM)? Terlalu banyak terjemahan yang digunakan untuk memerihalkan String Theory dalam bahasa Melayu seperti Teori Tetangsi, Teori Dawai, Teori Tetali dan Teori Rentetan. Tanpa adanya istilah rasmi dalam PRPM, susahlah untuk ahli sains Malaysia untuk menulis berkaitan topik ini kerana tiada penggunaan seragam bagi String Theory. Bolehkah saya mencadangkan Teori Tetangsi dijadikan istilah rasmi kerana istilah lain kurang tepat. Dawai boleh disalah tafsir menjadi Wire Theory, Teori Tetali terlalu umum dan boleh membawa maksud tali yang tebal (rope) dan Teori Rentetan mungkin boleh disilap terjemah sebagai Sequence Theory. Teori Tetangsi merupakan perihalan yang agak baik buat masa kini kerana terbentuk daripada gandaan separa perkataan tangsi yang membawa maksud tali yang dilumas dengan lilin (untuk tali kail dan lain - lain). Tali tangsi halus sesuai untuk perihalkan teori ini yang ada penggunaan objek satu dimensi yang "halus". | Istilah yang dicadangkan akan dikemukakan kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi untuk dibincangkan. Tuan juga boleh menghubungi Bahagian Peristilahan dan Leksikologi melalui talian 03-21479161/21479165. | Istilah | 25.01.2017 |
| 1. Adakah terdapat perbezaan penggunaan "dijumpai" dan "ditemui"? Misalnya, untuk teknologi maklumat, terjemahan tepat untuk "the search string is not found" adalah "istilah carian tidak ditemui" atau "istilah carian tidak dijumpai"? 2. Tolong jelaskan penggunaan "boleh" dan "dapat" secara terperinci. Misalnya, dalam ayat: "Templat dokumen anda tidak dapat dimuat naik kerana terdapat ralat." Adakah "dapat" digunakan dengan betul atau patutkah "boleh" digunakan dalam ayat tersebut, dan kenapa? 3. Tolong jelaskan penggunaan "dari" dan "daripada" secara terperinci. Misalnya, (a) "Pilih jenis medan yang sesuai dari senarai juntai bawah" - adakah dari atau daripada yang tepat, dan kenapa? (b) Untuk mengemas kini tarikh akhir tandatangan, anda mesti masukkan tarikh yang lebih lewat daripada hari ini. 4. Tolong bezakan bila "hingga" dan "sehingga" patut digunakan? Terima kasih. | - Perkataan “ditemui” lazimnya merujuk sesuatu yang ditemukan melalui usaha, kajian, atau penyiasatan. Perkataan “dijumpai” pula merujuk kepada sesuatu yang terjumpa atau didapati, kadang-kadang secara kebetulan. Dalam ayat contoh yang diberikan, ayat yang gramatis ialah "istilah carian tidak ditemui". Huraian lanjut berkaitan dengan maksud dan contoh penggunaan perkataan “ditemui” dan “dijumpai” boleh dirujuk melalui Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 919 dan 2314.
- Perkataan “boleh” dan “dapat” membawa makna yang sama, iaitu mampu (berkeupayaan), tidak disekat atau dilarang (daripada berbuat atau melakukan sesuatu), dibenarkan atau diizinkan. Contoh pemilihan kata dalam ayat yang diberikan adalah betul. "Templat dokumen anda tidak dapat dimuat naik kerana terdapat ralat." Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan perkataan “boleh” dan “dapat”, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 311 dan 477.
- Jawapan bagi pertanyaan yang lain adalah seperti yang dilampirkan.
| Tatabahasa | 23.12.2025 |