Saya mendapati rata-rata akhbar harian tidak menggunakan imbuhan pada tajuk atau subtajuk. Hal ini secara tak langsung menggalakkan orang ramai tidak perlu menggunakan imbuhan dalam penggunaan bahasa mereka. Bukankah DBP diberi mandat untuk memantau dan menegur pengguna bahasa yang tidak gramatis? Akhbar yang mempunyai pelbagai fungsi haruslah menjadi contoh yang baik dalam aspek menegakkan bahasa kebangsaan dan bukannya mencemarkan bahasa semata-mata untuk menjimatkan ruang. | Terima kasih atas pandangan saudara. Dewan Bahasa dan Pustaka sentiasa memantau penggunaan bahasa oleh masyarakat khususnya penggunaan bahasa dalam media cetak dan media elektronik dan seterusnya memberikan khidmat nasihat bahasa tentang penggunaan yang betul melalui pelbagai saluran seperti khidmat bahasa dalam talian, melalui telefon, faksimile dan juga kunjungan. | Lain-lain | 29.05.2008 |
Apakah maksud istilah tatasemia? Terima kasih. Mengapakah akhbar harian tidak menggunakan imbuhan pada tajuk utama atau subtajuk? DBP perlu bertindak tegas terhadap akhbar harian yang memandang remeh terhadap hal ini kerana akhbar merupakan penyalur ilmu dan model bahaha? | Harap saudara dapat memberikan konsep atau konteks penggunaan bagi kata tatasemia. Dewan Bahasa dan Pustaka mengucapkan terima kasih atas pandangan dan cadangan saudara tentang peranan dan tanggungjawab DBP dalam memastikan penggunaan bahasa yang betul, khususnya dalam media cetak. DBP sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat nasihat bahasa kepada masyarakat pengguna bahasa melalui pelbagai saluran seperti khidmat nasihat dalam talian, melalui faksimile, telefon dan juga kunjungan. | Lain-lain | 29.05.2008 |
Salam sejahtera, (i) Kita difahamkan patut digunakan istilah 'baharu' menggantikan istilah 'baru' dalam semua penulisan rasmi. Ada maklumat lanjut/laman rujukan mengenainya? (ii) Makluman: Ada ralat dalam laman ini di bawah subtajuk 'Pengesahan Bahasa', iaitu tertaip 'samada ada': Ruangan Iklan adalah merupakan satu kemudahan ... samada ada iklan bergambar, ... Sekian, terima kasih. Liong | 1. Kata baru dan baharu kedua-duanya betul, namun penggunaannya dibezakan mengikut konteks ayat. Menurut Kamus Dewan, baharu atau baru bermaksud membaharui, memperbaharui, membaiki semula (melakukan sesuatu, mengubah dll). Bagi menjawab pertanyaan saudara, baru kebiasaannya merujuk kepada masa. Bagi membantu saudara memahaminya, dalam bahasa Inggeris kata just digunakan untuk mempamerkan penggunaan kata ini. Contohnya, Dia baru tiba dari Kuala Lumpur. Kata baharu pula merujuk kepada sesuatu yang baru. Terjemahan dalam bahasa Inggeris ialah new, contohnya, buku baharu dan kereta baharu. Walau bagaimanpun penggunaan frasa buku baru dan kereta baru juga adalah betul. 2. Terima kasih atas maklumat yang diberikan, kami akan menyemak dan membetulkannya dengan kadar segera. | Tatabahasa | 14.04.2012 |
APAKAH KEPENTINGAN PROSES PENYUNTINGAN DALAM PENULISAN MANUSKRIP?DAN HURAIKAN SECARA TERPERINCI. | Kepentingan penyuntingan manuskrip : ialah menyemak fakta, menyemak penggunaan bahasa dari segi tatabahasa, ejaan, tanda baca, dll., menyelaraskan persembahan teks seperti tajuk, subtajuk, jadual, rajah, nota kaki, bold, italic, dll., juga semakan dari segi penerbitan seperti rupa taip, saiz taip, jarak dan tinggi teks. | Makna | 25.09.2006 |
sila jelaskan panduan penyediaan kertas cadangan judul? | Salam sejahtera, Panduan penyediaan kertas cadangan judul yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kertas cadangan judul perlu mengandungi maklumat yang berikut: 1. Halaman tajuk - cadangan tajuk lengkap dan subtajuk, sebaik-baiknya yang boleh menarik pembaca. 2. Jadual kandungan kertas cadangan - senarai kandungan kertas cadangan dan dinomborkan mengikut susunan. 3. Pernyataan konsep buku - menyatakan konsep asas dan skop buku dengan jelas. Dinyatakan anggaran tebal manuskrip dan jumlah ilustrasi, sasaran pembaca dan keistimewaan buku tersebut. Pernyataan kosep ini antara 50 - 100 perkatan dan tidak melebihi 250 perkataan. 4. Perihal buku - pernyataan konsep buku dengan lebih terperinci. Nyatakan manfaat kepada pembaca yang akan diperoleh daripada buku itu, huraikan keunikan buku dan mengapa buku tersebut wajar diterbitkan. 5. Perihal penulis - biodata penulis, maklumat yang menyokong kepakaran penulis dalam bidang berkenaan, pengalaman kerja, latar pendidikan serta anugerah dan penghargaan (jika ada) yang berkaitan dengan pengkaryaan. 6. Perihal saingan dan pasaran - buku perlu memenuhi keperluan semasa dan penulis perlu mengenal pasti judul yang serupa di pasaran. Penulis perlu menyerlahkan keistimewaan bukunya berbanding dengan judul lain. 7. Jadual kandungan buku - senaraikan kandungan buku yang dicadangkan termasuk bahan awalan, isi dan bahan akhiran. 8. Ringkasan bab - huraian secara ringkas untuk setiap bab. 9. Rancangan serahan bahan - nyatakan rancangan serahan bahan yang lengkap kepada DBP untuk urusan penerbitan. 10. Bab contoh - satu bab yang ditulis lengkap perlu disediakan untuk menilai keupayaan penulis menghasilkan karya tersebut. | Lain-lain | 12.07.2010 |
apakah panduan penulisan kertas cadangan | Salam sejahtera, Harap maaf, soalan sdr. tidak jelas, adakah sdr. bermaksud panduan menyediakan kertas cadangan judul? Jika pertanyaan sdr. berkisarkan tentang panduan menyediakan kertas cadangan judul, maka jawapannya adalah seperti yang berikut: Panduan penyediaan kertas cadangan judul yang ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kertas cadangan judul perlu mengandungi maklumat yang berikut: 1. Halaman tajuk - cadangan tajuk lengkap dan subtajuk, sebaik-baiknya yang boleh menarik pembaca. 2. Jadual kandungan kertas cadangan - senarai kandungan kertas cadangan dan dinomborkan mengikut susunan. 3. Pernyataan konsep buku - menyatakan konsep asas dan skop buku dengan jelas. Dinyatakan anggaran tebal manuskrip dan jumlah ilustrasi, sasaran pembaca dan keistimewaan buku tersebut. Pernyataan kosep ini antara 50 - 100 perkatan dan tidak melebihi 250 perkataan. 4. Perihal buku - pernyataan konsep buku dengan lebih terperinci. Nyatakan manfaat kepada pembaca yang akan diperoleh daripada buku itu, huraikan keunikan buku dan mengapa buku tersebut wajar diterbitkan. 5. Perihal penulis - biodata penulis, maklumat yang menyokong kepakaran penulis dalam bidang berkenaan, pengalaman kerja, latar pendidikan serta anugerah dan penghargaan (jika ada) yang berkaitan dengan pengkaryaan. 6. Perihal saingan dan pasaran - buku perlu memenuhi keperluan semasa dan penulis perlu mengenal pasti judul yang serupa di pasaran. Penulis perlu menyerlahkan keistimewaan bukunya berbanding dengan judul lain. 7. Jadual kandungan buku - senaraikan kandungan buku yang dicadangkan termasuk bahan awalan, isi dan bahan akhiran. 8. Ringkasan bab - huraian secara ringkas untuk setiap bab. 9. Rancangan serahan bahan - nyatakan rancangan serahan bahan yang lengkap kepada DBP untuk urusan penerbitan. 10. Bab contoh - satu bab yang ditulis lengkap perlu disediakan untuk menilai keupayaan penulis menghasilkan karya tersebut. | Lain-lain | 17.09.2010 |
Salam sejahtera Tuan/ Puan, Saya ingin bertanya tentang penggunaan men kan atau me ... an - boleh diikuti dgn kata ' akan ' ? Contohnya : 1. Dia rindukan akan ibunya. (Sepatutnya kata adjektif emosi tidak boleh diletakkan " kan " pada penghujungnya - Dia rindu akan ibunya.) 2. Bagaimana pula dengan ayat : Dia amat merindukan akan ibunya ? (kata adjektif emosi sudah bertukar menjadi kata kerja transitif ' merindukan ' ). Bagaimanakah caranya untuk membetulkan ayat tersebut ? a. Dia amat rindu akan ibunya ? b. Dia amat merindui akan ibunya ? c. Dia amat merindui ibunya ? *** d. Dia amat merindukan ibunya ? e. Dia amat merindu akan ibunya ? atau ada jawapan lain yang lebih tepat ? *** 'men ... an ' perlu diikuti dengan objek tidak hidup, betul ? Cthnya : ... menghadiahkan sepucuk surat kepada ibunya. ... merindukan masakan ibunya. manakala ' men ... i ' perlu diikuti dgn objek hidup : ... merindui ibunya ... menasihati pelajarnya Terima kasih & maaf kerana mengganggu. ChoyHH ( choy862003@yahoo.com) | 1. Ayat yang betul ialah Dia rindu akan ibunya. 2. Dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 194, di bawah subtajuk (c) Jenis Kata Kerja yang terbentuk (dengan Apitan meN-...-kan), binaan ayat yang menerima kata kerja berapitan meN-...-kan adalah: subjek + kata kerja (meN-...-kan) + objek. Sama juga binaan ayat untuk kata kerja berapitan meN-...-i. Oleh itu, binaan ayat, Dia amat merindukan akan ibunya adalah salah. Ayat yang betul ialah: a. Dia amat rindu akan ibunya. b. Dia amat merindui ibunya dan c. Dia amat merindukan ibunya. Perkataan merindukan dan merindui bermaksud rindu akan dan boleh diikuti dengan objek bernyawa. Kesimpulannya, tidak semua aspek tatabahasa bahasa Melayu dapat dipastikan betul atau salah melalui rumus. | Tatabahasa | 14.02.2011 |
Assalamualaikum, ayat ini lebih sesuai digolong dalam kata kerja yang mana satu? 1)...'mencetuskan' kontroversi. 2) mitos 'melampaui' fakta sejarah. 3) filem ini 'mengelirukan' kerana merujuk kerajaan... 4) sikap 'berfikiran' kuno 5) Siam 'mengambil' masa 6) 'mempersiapkan' pertahanan 7) tidak mahu 'menerima' kebenaran sy agak keliru antara kk transitif aktif & kk tak transitif berpelengkap | 1. Mencetuskan kontroversi - Kata kerja aktif transitif. 2. Melampui fakta sejarah - Kata kerja aktif transitif. 3. Mengelirukan ... - Kata kerja aktif transitif. 4. Berfikiran kuno - Kata kerja tak transitif berpelengkap. 5. Mengambil masa - Kata kerja aktif transitif. 6. Mempersiapkan pertahanan - Kata kerja aktif transitif. 7. Menerima kebenaran - Kata kerja aktif transitif. Kata kerja aktif tak transitif berpelengkap mesti diikuti pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat. Unsur pelengkap ini hendaklah dibezakan daripada objek atau penyambut, kerana objek atau penyambut hanya hadir selepas kata kerja transitif aktif dan boleh mengalami proses pasif. Pelengkap ialah unsur yang hadir selepas kata kerja tak transitif untuk menyempurnakan maksud ayat. Ayat dengan kata kerja aktif tak transitif yang mengandungi pelengkap tidak boleh dipasifkan. Untuk lebih memahami tajuk tersebut lihat penerangan dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 145. Untuk menguasai jenis kata kerja, sila rujuk tajuk pembentukan kata kerja kerana setiap subtajuk di bawahnya diterangkan jenis kata kerja yang terbentuk daripada proses tersebut. | Tatabahasa | 24.03.2012 |