Salam Sejahtera. 1. Bagaimanakah cara yang betul untuk menulis sinkope 'tu', 'ni', 'kan', 'nak'? 2. Ada editor yang meletakkan tanda (') sebelum perkataan kan = 'kan. Apakah fungsi (') 3. Perlukah juga meletakkan tanda (') pada singkatan cu = cucu, nak = anak, pak = bapak? Terima kasih | Salam sejahtera, 1. Untuk singkatan tu, ni, kan dan nak = singkatan tersebut sudah betul. Untuk kan, hanya kan yang berfungsi sebagai imbuhan sahaja dieja bersambung dengan perkataan sebelumnya. Selain itu "kan" dieja terpisah kerana kan dalam percakapan bermaksud bukan atau tidak membawa apa-apa makna. 2. Editor tidak meletakkan tanda (') sebelum perkataan kan. 3. Tidak perlu meletakkan (') pada kependekan cucu, anak dan bapak. Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut, mohon rujuk Kamus Dewan Edisi ke-4. | Tatabahasa | 23.09.2015 |
masalah penggunaan 'kan". keadaan bagaimana verb boleh tambah 'kan'. keadaan bagaimana 'kan' dihujung kata perbuatan tak patut letak 'kan' . saya perlu jawapan segera, kerana banyak 'kan' saya kena potong oleh supervisor semak thesis phd | Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contonya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran - kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Mohon tuan dapat berikan contoh penggunaan -kan dalam tesis yang diterima dan dipotong. | Tatabahasa | 03.07.2014 |
Hi, saya sentiasa mengelirukan penggunaan imbuhan. Bila nak guna akhiran kan, i dan bila guna memper...kan atau tidak ada kan. Bila tidak perlu guna imbuhan? Terima Kasih. | 1) Imbuhan akhiran –kan merupakan akhiran yang membentuk kata kerja dalam bahasa Melayu. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran –kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya, i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Contohnya: berbantalkan, dipertingkatkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183-186. 2) Imbuhan akhiran –i membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran –i, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan sesuatu jadi: baik – baiki (menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah - sudahi. (ii) memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: turuni lurah – turun ke lurah. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 186-190. 3) Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. 4) Walau bagaimanapun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya: besar – memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah – memperindah (menjadikan bertambah indah).Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 208-211. | Tatabahasa | 08.06.2024 |
Salam, Kebelakangan ini saya perhatikan pihak media tidak lagi menggunakan imbuhan 'kan' dalam laporan mereka. Saya tertanya-tanya adakah penggunaan 'kan' sudah tidak diamalkan lagi. Contoh laporan: 1) Sebuah badan khas ditubuh. (Utusan Malaysia: 10/11/10) (Bukankah sepatutnya: sebuah badan khas ditubuhkan) 2) Penganggur dipenjara. (TV3) (Bukankan sepatutnya penganggur dipenjarakan) Harap pihak DBP dapat perjelaskan. Sekian, terima kasih. | Saudara, Mengikut hukum tatabahasa bahasa Melayu yang baku dan rasmi, imbuhan meN...kan masih terpakai seperti dalam perkataan menubuhkan/ditubuhkan, memenjarakan/dipenjarakan. Walau bagaimanapun, adakalanya pihak pengguna bahasa tidak begitu teliti atau terlepas perhatian tentang perkara ini kerana terlalu biasa dengan apa yang diamalkan terutamanya dalam bahasa percakapan. | Lain-lain | 10.11.2010 |
saya kurang arif mengenai penambahan 'kan'. | Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contonya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran - kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Untuk penjelasan lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Empat, halaman 183,184,185 | Tatabahasa | 03.07.2014 |
Saya dapati sekarang ramai orang awam menggunakan dengan meluasnya perkataan yang dieja berlainan apa yang saya fahami selama ini seperti kebaikkan, kecantikkan dan sebagainya. Adakah konsep penggunaan perkataan "kan" sudah berubah ? | Ejaan yang betul ialah kebaikan dan kecantikan, apitan ke-...-an bertemu dengan kata dasar baik/cantik dan menerbitkan kata berkenaan. Tidak ada apitan ke-...-kan untuk menerbitkan kata kebaikkan dan kecantikan. | Tatabahasa | 05.02.2017 |
Saya masih samar-samar tentang cara penggunaan akhiran "kan" pada kata kerja . Apakah peraturan-peraturannya? Sekian. Terima kasih | Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran -kan untuk membentuk kata kerja. Contonya: i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Untuk penjelasan lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Empat, halaman 183,184,185. | Lain-lain | 29.07.2010 |
Walaupun saya sudah rujuk banyak buku rujukan tetapi tiada buku yang dapat menjelaskan imbuhan meN...i dan meN...kan dengan teliti. Bilakah kita guna imbuhan meN...i dan meN...kan ? Bagaimanakah kita dapat bezakan? Adakah imbuhan -kan mesti diikuti dengan kata nama konkrit? Contoh: "rumah itu berlatarbelakangkan pemandangan sawah padi" -Pemandangan ialah kata nama abstrak tetapi perkataan depan juga menerima -kan. Adakah cara yang paling bagus untuk menentukan imbuhan -kan dan -i? | 1. Dalam buku Tatabahasa Dewan, hal 207 (d) seakan membenarkan kenyataan saudara, "Pada dasarnya sukar ditentukan makna khusus apitan meN-...-i, selain membentuk kata kerja transitif dan mendukung makna asas yang terkandung dalam kata dasar.Apabila dibandingkan penggunaan apitan meN-...-kan dengan meN-...-i, fungsinya dapata dibahagikan kepada tiga"... untuk maklumat lanjut sila rujuk buku yang berkenaan pada halaman yang dinyatakan, sebelum dan selepasnya juga. 2. Dalam contoh ayat Kamus Dewan kata terbitan dengan imbuhan ...-kan tidak semestinya diikutidengan kata nama konkrit, ... berlatarbelakangkan desa ..., walau bagaimanapun perbincangan lanjut tentang imbuhan ...-kan, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan hal 185 - 191. 3.Panduanuntuk penggunaan kata terbitan imbuhan ...-kan dan ...-i.sila rujuk Tatabahasa Dewan, hal 183 - 190. | Tatabahasa | 04.08.2008 |
mana ayat aktif yang betul daripada ayat pasif berikut. Bilik tidur adik sudah saya kemas tadi. Saya sudah mengemaskan bilik tidur adik pagi tadi. ATAU Saya sudah mengemas bilik tidur adik pagi tadi. Apakah fungsi kan dalam ayat ini adakah menjejaskan makna. | Ayat yang sesuai ialah "Saya sudah mengemaskan bilik tidur adik pagi tadi". Fungsi "kan" dalam perkataan "mengemaskan" bermaksud "menjadikan tersusun", manakala "mengemas" bermaksud "menyusun". | Tatabahasa | 19.03.2013 |
Apakah fungsi imbuhan akhiran -an, -kan? Bagaimana pula dengan akhiran -i? Terima kasih. | Akhiran –kan dan akhiran –i merupakan akhiran kata kerja, manakala akhiran –an merupakan akhiran kata nama. Akhiran –kan merupakan salah satu daripada imbuhan yang membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus yang dikaitkan dengan penggunaan akhiran –kan, iaitu: (I) memberi pengertian kausitif atau menyebabkan jadi, contohnya: buku-bukukan (menyebabkan jadi buku) waris-wariskan, panjang-panjangkan. (II)memberikan pengertian benefaktif atau melakukan sesuatu untuk manfaat orang lain, contohnya: beli-belikan(membelikan untuk orang lain), masak-masakkan. Akhiran –i juga membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran-i,iaitu: (I) memberikan pengertian kausitif atau menyebab kan sesuatu jadi: baik-baiki(menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah-sudahi. (II)memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: naiki bas-naik ke bas. Sila rujuk Tatabahasa Dewan halaman 117-121 dan 183- 190. | Tatabahasa | 14.05.2014 |