Assalamualaikum. Adakah selepas elipsis pada awal ayat, digunakan huruf kecil, contoh ayat, ("...aku akan ikut" balas Fahmi.) Adakah sama juga kaedah penulisan elipsis pada awal ayat untuk penulisan petikan terjemahan al-Quran dan hadis? Dimulakan huruf kecil atau besar. Terima kasih. | Elipsis ialah tiga titik berderet (...) yang mempunyai jarak biasa yang boleh digunakan sebagai penanda pengguguran teks, khususnya petikan, sama ada pada bahagian awal, bahagian tengah atau bahagian akhir sesuatu ayat atau teks. Oleh yang demikian, selepas tanda elipsis pada awal ayat atau teks perlu dijarakkan dan diikuti dengan huruf besar. Contoh “ ... Aku akan ikut,” balas Fahmi. Demikian juga petikan terjemahan al-Quran, contohnya ... Sesiapa yang bertakwa dengan Allah ... . (Surah al-Talaq 65:2) Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023), halaman 117-118. | Tatabahasa | 03.07.2025 |
Assalamualaikum, Saya ingin bertanya tentang penggunaan perkataan condong (italic). Perlukah diitalikkan untuk pernyataan dari orang terdahulu / buku lain. Contoh: 1) ...daripada Abdullah r.a. katanya: Turun ayat 2-3 surah at-Talaq... 2)Rasullah bersabda: Makanlah... 3) Menurut al-azdi dan al-Daraqutni: Beliau seorang yang ditinggalkan hadisnya. 4)...seperti yang dinyatakan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak: Hadis ini adalah hadis sahih isnadnya... Bolehkah saya italikkan semua ayat selepas titik bertindih untuk keempat-empat contoh di atas? Contoh lain: ...Muqadimah Sahih: Muhammad bin Abdullah memberitahu kepada saya daripada penduduk Meru, katanya: Saya mendengar Abdan bin Uthman berkata; Saya mendengar Abdullah bin al-Mubarak berkata; Isnad itu... (untuk contoh ayat dia atas, bolehkah saya italikkan ayat bermula dari 'Muhammad bin Abdullah hingga keseluruhan ayat seterusnya? Saya keliru kerana dalam satu dialog terdapat riwayat dari beberapa perawi - katanya,katanya etc) Harap pihak DBP dapat menjelaskan kekeliruan tersebut. Sekian, terima kasih. | Tidak perlu diitalikkan petikan tersebut, kecuali petikan daripada bahasa asing. Contohnya: Pelakon itu menuturkan kata-kata Hamlet: To be or not to be. | Tatabahasa | 29.12.2014 |