APA BEZA ANTARA “TADIKA” DENGAN “TABIKA”? | Tadika ialah akronim bagi taman didikan kanak-kanak manakala tabika ialah akronim bagi taman bimbingan kanak-kanak. Takrif tadika dan tabika dalam Kamus Dewan Perdana: tadika pusat pendidikan awal anak-anak yg berumur empat hingga enam tahun sebelum memasuki alam persekolahan yg sebenar. Tadika ialah akronim bagi taman didikan kanak-kanak:tadika Islam; tadika swasta. tabika pusat pendidikan awal kanak-kanak yg berumur empat hingga enam tahun sebelum masuk ke alam persekolahan yg sebenar. Tabika ialah akronim bagi taman bimbingan kanak-kanak: tabika KEMAS; tabika perpaduan.
| Ejaan | 21.05.2023 |
Assalam wbt & salam sejahtera tuan / puan. Mohon pencerahan, adakah maksud "tabika" sama dengan "tadika" ataupun tidak? Sekiranya tidak sama, mohon pencerahan apakah maksud sebenar "tabika" & "tadika"? | Wa alaikum salam dan salam sejahtera. Maksud tabika dan tadika tidak sama. Tabika ialah akronim bagi Taman Bimbingan Kanak-kanak (tempat kanak-kanak kecil biasanya dijaga sewaktu ibu bapa mereka bekerja). Tadika ialah akronim bagi Taman Didikan Kanak-kanak (kelas atau sekolah kecil untuk kanak-kanak yang berumur antara empat hingga enam tahun, sebelum mereka memasuki sekolah rendah) | Makna | 02.12.2017 |
Pengisytiharan. Adalah dengan rasminya diisytihar kanak-kanak TABIKA KEMAS berumur 6 Tahun dalam Parlimen Kuala Krau telah menyempurnakan pengajian bagi sesi 2012 Dan layak dianugerahkan Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak. * mohon semak kesalahan atau kesilapan ayat. terima kasih. | Dengan rasminya diisytiharkan bahawa kanak-kanak TABIKA KEMAS berumur 6 tahun dalam Parlimen Kuala Krau telah menyempurnakan pengajian bagi sesi 2012 dan layak dianugerahi Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak. | Tatabahasa | 09.10.2012 |
Assalam dan salam sejahtera, saya bagi pihak guru TABIKA KEMAS daerah Ranau, Saabah ingin memohon bantuan dari pihak DBP untuk mendapatkan artikel dan cerita berkenaan sirah Rasul bagi kegunaan pertandingan Hari Potensi KEMAS yang meletakkan syarat wajib menggunakan artikel dan cerita terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan Majalah Dewan Pelajar sahaja. Bagaimanapun kami menghadapi masalah untuk mencari tajuk-tajuk yang dikemukakan di dalam syarat-syarat tersebut. Saya memohon kepada pihak DBP untuk membantu kami dalam membuat carian atau menyatakan buku yang mempunyai tajuk-tajuk tersebut dan mencadangkan cara termudah untuk mendapatkannya memandangkan tarikh pertandingan semakin hampir. Dalam lampiran adalah tajuk yang kami perlukan. Terima kasih. | Salam sejahtera, Pertandingan Hari Potensi KEMAS Untuk makluman tuan/puan, syarat pada perkara 7.2 telah diubah suai untuk tidak terikat dengan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Oleh itu, sekiranya pertanyaan lanjut berhubung perkara ini, tuan/puan bolehlah menghubungi pegawai KEMAS Ibu Pejabat W.P Putrajaya (Puan Megawati melalui talian 012-329 4696). Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 06.08.2021 |