tambahan pula tidak digalakkan digunakan sebagai penanda wacana betul ke? adakah tambahan pula bermaksud sesuatu yang berikutan daripada isu yang sama atau isu yang lain? | Tambahan pula bermaksud lebih-lebih lagi atau apa lagi. Tambahan pula merupakan sebahagian daripada penanda wacana - penghubung tambahan yang berfungsi untuk memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelum ini. Oleh itu, tambahan pula boleh digunakan. | Tatabahasa | 13.10.2008 |
Kepada Tuan/Puan yang dihormati, Saya ingin tanya, " Kita perlu bersenam untuk menjaga kesihatan. Tambahan pula, kita harus mengambil makanan yang seimbang Dan berkhasiat." Penggunaan penanda wacana"Tambahan pula" dalam perenggan ini betul stay salah. Sebab ada pihak yang kata bahawa "Tambahan pula" tidak boleh digunakan sebagai permulaan dalam sesuatu ayat. | Tambahan pula bermaksud lebih-lebih lagi dan tidak sesuai digunakan dalam konteks ayat yang berikut. Ayat pertama dan kedua bersifat setara dan lazimnya kata sendi nama dan atau serta digunakan dalam konteks yang berikut, seperti "Kita perlu bersenam dan mengambil makanan yang seimbang serta berkhasiat untuk menjaga kesihatan". | Tatabahasa | 28.10.2022 |
Gadis itu sangat baik budi pekertinya. Apakah pola ayat untuk ayat ini? Mohon pencerahan tuan. Selain itu, 'tambahan pula' tergolong dalam kata hubung gabungan; Dia tekun belajar, tambahan pula aktif dalam kegiatan kokurikulm. Oleh itu, bolehx "tambahan pula" digunakan pada pangkal ayat. Mohon pencerahan tuan | Pola ayat "Gadis itu sangat baik budi pekertinya" ialah Frasa Nama (FN) + Frasa Adjektif (FA). Gadis itu (subjek) + sangat baik budi pekertinya (pradikat). Perkataan “tambahan pula” boleh digunakan dipangkal ayat sebagai penanda wacana yang menghubungkan sesuatu maklumat dengan maklumat tambahan lain dalam wacana. Penanda wacana "tambahan pula" hadir pada awal ayat lazimnya diberikan tanda koma selepas perkataan tersebut. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 525 - 526. | Tatabahasa | 03.08.2021 |
ada guru berpendapat, tambahan pula bukan penanda wacana tetapi kata hubung. Oleh itu, penggunaannya adalah begini. Ali merupakan harapan keluarganya, tambahan pula ayahnya sudah meninggalkan dunia. Bukannya begini. Ali merupakan harapan keluarganya. Tambahan pula ayahnya sudah meninggalkan dunia. Begitu juga dengan kata bak....tidak boleh selepas noktah atau untuk memulakan ayat baharu. Contoh: Kita mesti berusaha dengan bersungguh-sunguh, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, bagaimana mendapaykan sagunya? Bukannya Kita mesti berusaha dengan bersungguh-sunguh. Bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, bagaimana mendapaykan sagunya? Bagaimana pendapat tuan? | Dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 526 frasa tambahan pula disenaraikan sebagai penanda wacana penghubung tambahan. Penghubung tambahan merupakan penghubung yang memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya seperti ayat contoh yang kedua. | Tatabahasa | 08.04.2012 |
wujud tak pasangan kata hubung walaupun.... tambahan pula/namun ? perilaku atau peri laku? | Walaupun, tambahan pula dan namun merupakan kata hubung pancangan keterangan yang berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada satu klausa utama. Ejaan yang betul ialah peri laku. | Tatabahasa | 20.03.2007 |
1. Semasa membuat rumusan, kata hubung seperti selain itu, tambahan pula,di samping itu dikira sebagai berapa perkataan? 2. perkataan "jawaban" dan "jawapan" yang mana satu betul? | Saudara, Frasa "selain itu", "tambahan pula" dikira sebagai dua perkataan. Ejaan "jawapan" ialah yang betul bukan "jawaban". | Tatabahasa | 22.10.2010 |
Salam sejahtera, Saya ingin mengetahui senarai penanda wacana isi baharu untuk ditulis dalam karangan. Bolehkah perkataan seperti 'tambahan pula, di samping itu, selanjutnya, lebih-lebih lagi, sebaliknya' digunakan dihadapan ayat?Adakah perkataan tersebut penanda wacana ataupun kata hubung? | Penanda wacana jenis penghubung tambahan ialah dan, lalu, malahan, tambahan pula, lebih-lebih lagi, di samping itu dan selanjutnya. Penggunaan penanda wacana ini boleh digunakan di pangkal ayat. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 526-527. | Tatabahasa | 22.07.2013 |
bolehkah penanda wacana tambahan pula digunakan di hadapan ayat? ataupun lebih sesuai digunakan di tengah ayat? | Wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat yang boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, dialog dsb. yang memperlihatkan hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan dan lengkap. Ciri wacana ialah kohesi dan koheran. Penanda wacana wujud adalah untuk mewujudkan kesinambungan antara ayat dengan frasa dalam sesuatu wacana. Cth. penada penghubung, penanda rujukan,penggantian,leksikaldan elipsis atau pengguguran. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 523. . | Tatabahasa | 18.01.2009 |
“sementelahan itu”betul tak? ribuan terima kasih | Perkataan "Sementelahan" bermaksud: lebih-lebih lagi, tambahan pula atau apalagi. Tidak perlu ditambah dengan perkataan "itu". | Istilah | 20.06.2016 |
Bagaimana boleh dapat bantuan untuk menyemak bahasa projek saya yang mempunyai 90 muka surat... Tambahan pula, mesti dapat balik pada isnin atau selesa~_~ Harap dapat balas secepat mungkin... Sekian, terima kasih. | Bahagian Penguatkuasaan menyediakan perkhidmatan menyemak dokumen. Walau bagaimanapun proses tersebut hanya akan bermula jika tuan bersetuju dengan sebut harga yang kami beri dan kerja tersebut juga dilaksanakan dalam tempoh yang sesuai. Jika tuan bersetuju hubungi kami di: Bahagian Penguatkuasaan, Aras 25, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. atau e-mel aliah@dbp.gov.my. | Lain-lain | 04.05.2012 |