Salam sejahtera, Saya ada persoalan berkaitan istilah yang digunakan dalam pertanian atau tanaman makanan. Istilah manakah yang tepat untuk digunakan antara dua ini: media tanaman atau medium tanaman? Sama juga untuk media semaian atau medium semaian? Sekiranya dilihat maksud "media" digunakan dalam bidang komunikasi atau perhubungan. Medium pula dirujuk sebagai bahan yang menjadi perantara bagi menghasilkan sesuatu kesan. Minta pencerahan dari pihak DBP. Terima kasih. | Istilah yang betul ialah medium tanaman dan medium semaian. Media tanaman merupakan istilah lama, manakala medium semaian memang terdapat dalam pangkalan data istilah DBP. | Istilah | 02.06.2020 |
Apakah yang dimaksudkan dengan fertigasi? Sebab saya cari di carian umum tetapi tiada dalam rekod. Adakah ejaan saya salah? | Menurut daripada istilah pertanian, ejaan yang betul ialah fertigasi yang bermaksud sayuran atau buah-buahan yang melibatkan pengairan titis, yang digabungkan dengan pemberian nutrien bersama-sama air yang dibekalkan kepada tanaman. Tanaman ini menggunakan pasu dengan media yang boleh menyimpan air seperti sabut kelapa atau gambut. | Ejaan | 11.05.2020 |
Ayat yang manakah betul? A. Ibu menghias halaman rumah dengan tanaman hiasan supaya kelihatan cantik. B. Ibu menghiasi halaman rumah dengan tanaman hiasan supaya kelihatan cantik. | Menurut data kami, ayat yang betul ialah ibu menghias halaman rumah dengan tanaman hiasan supaya kelihatan cantik. | Tatabahasa | 22.05.2017 |
Tanaman secara SRI (system of Rice Intensification) merupakan satu kaedah untuk meningkatkan penghasilan padi dengan mengubah sistem pengurusan pokok, tanah, air dan permakanan. Kaedah SRI menjadikan tanaman lebih sihat, tanah dan pokok yang lebih produktif dengan menggalakkan pembesaran akar yang lebih besar. Ia juga akan menjaga dan mewujudkan organisma dalam tanah. | Berikut merupakan ayat yang telah dipinda. Tanaman secara SRI (system of Rice Intensification) merupakan satu kaedah untuk meningkatkan penghasilan padi dengan mengubah sistem pengurusan pokok, tanah, air dan pemakanan. Kaedah SRI menjadikan tanaman lebih sihat, tanah dan pokok lebih produktif dengan menggalakkan pembesaran akar yang lebih besar serta menjaga dan mewujudkan organisma dalam tanah. | Tatabahasa | 14.10.2013 |
1.Tanaman tersebut hidup a.segar b. subur kerana dijaga dengan baik. 2. Ali merupakan a. pelajar b. penuntut Universiti Sains Malaysia tahun pertama. 3. Saya suka membaca buku di pondok bacaan ini kerana suasananya a. sangat tenang sekali. b. sungguh amat tenang sekali. | Saudara Waypenglee, Jawapan bagi pertanyaan saudara adalah seperti yang berikut: i. subur ii. penuntut iii. sangat tenang sekali Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 09.06.2009 |
Salam tuan di talian, Penggunaan perkataan banyak yang manakah dalam ayat contoh di bawah. 1. Kelapa sawit ialah tanaman dagangan yang banyak mempunyai kegunaan kepada kita. atau 2. Kelapa sawit ialah tanaman dagangan yang mempunyai banyak kegunaan kepada kita. Saya pendapat bahawa ayat 1 betul kerana mengikut hukum DM, perkataan lain tidak boleh disisipkan antara sesuatu perbuatan. Minta komen pihak tuan. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah Kelapa sawit ialah tanaman dagangan yang mempunyai banyak kegunaan kepada kita kerana kegunaan itu yang banyak bukannya mempunyai yang banyak. | Tatabahasa | 19.06.2012 |
Banyak orang membeli hasil tanaman Encik Wong kerana buah-buahannya tumbuh subur.Adakah ayat ini betul? | Ayat ini salah kerana "buah-buahan" tidak boleh "tumbuh subur". Hanya "pokok" atau "tanaman" sahaja yang boleh tumbuh subur. | Tatabahasa | 10.11.2014 |
Perkataan 'menjadi' merupakan kata kerja tak transitif berpelengkap. Adakah betul ayat berikut walaupun tanpa pelengkap: - Tanaman padinya pada tahun ini begitu menjadi. | Ayat 'Tanaman padinya pada tahun ini begitu menjadi' betul. Kata kerja tak transitif dalam ayat ini tidak memerlukan pelengkap kerana sudah mempunyai makna yang sempurna. | Tatabahasa | 13.03.2008 |
As'salam. Saya ingin bertanya tentang istilah yang digunakan untuk media tanaman yang dinamakan hidroton. Tapi bila merujuk kepada PRPM istilah tersebut tidak ada. Apakah istilah yang tepat? | Istilah hidroton (dalam bidang pertanian) merupakan padanan yang betul untuk istilah bahasa Inggeris hydroton yang merujuk pada sejenis media tanaman. | Istilah | 11.06.2018 |
Kelapa sawit merupakan tanaman _____ di negara itu. Isi tempat kosong di atas diisi dengan' kedua penting' ATAU 'kedua terpenting' ATAU kedua-duanya boleh diterima ? Terima kasih. | Kedua penting atau kedua terpenting, kedua-dua frasa tersebut boleh menjadi jawapan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 13.09.2009 |