Assalamualaikum. Apakah istilah Bahasa Melayu untuk istilah-istilah dan simbol-simbol ini? 1. Parentheses: ( ). 2. Brackets: [ ]. 3. Braces: { }. 4. Chevrons: < >. Terima kasih. | - Tanda Kurung ( )
- Tanda Kurung Siku [ ]
- Tanda Kurung Dakap { }
- Kami mencadangkan chevrons ialah simbol siku keluang. Dalam bidang matematik, simbol > bermaksud lebih daripada manakala simbol < bermaksud kurang daripada. Penggunaan simbol bergantung pada konteks dan bidang yang digunakan.
| Istilah | 03.08.2021 |
BOLEH HURAIKAN SECARA TERPERINCI TENTANG PENGGUNAAN PERKATAAN SIMBOL YANG BETUL DAN TERKINI UNTUK TAHUN 2012 | Setiap simbol/tanda baca ada fungsinya. Tiada rujukan yang terkini dan dalam hal tanda baca rujukan utama ialah buku Gaya Dewan, terbitan DBP. Terdapat 17 tanda baca yang telah digunakan dengan mantap, iaitu tanda koma (,), tanda noktah (.), tanda pisah (-), tanda sempang (-), tanda elipsis (...), tanda titik bertindih (:), tanda koma bertindih (;), tanda soal (?), tanda seru (!), tanda kurung dan kelompok ({[( )]}), tanda kurung (( )), tanda kurung siku ([ ]), tanda kurung dakap ({ }), tanda petik (" "), tanda petik tunggal (' '), tanda garis miring (/) dan tanda penyingkat ('). Untuk mengetahui fungsi setiap tanda baca sila rujuk buku Gaya Dewan, halaman 64 - 79. | Lain-lain | 11.09.2012 |
Adalah dimohon kepada pihak tuan untuk mengesahkan penggunaan kurungan ( ) atau [ ] dalam ruangan tandatangan memo. Apakah beza penggunaan (Elia Nadira Zainudin) dan [Elia Nadira Zainudin]. | Tanda kurung ( ) lazimnya digunakan dalam untuk tujuan tertentu seperti mengapit singkatan atau akronim; mengapit keterangan atau penjelasan sumber bahan; mengapit angkat atau abjad yang emunjukkan bilangan; dan mengapit matrik yang tidak lebih daripada dua baris. Tanda kurung siku [ ] digunakan untuk tujuan tertentu seperti mengapit huruf, kata atau kelompok kata yang ditambah kepada bahagian teks; mengapit tahun dalam tatacara sebutan kes; mengapit ayat penjelas; dan mengapit matrik yang lebih daripada dua baris. Contoh yang suadara berikan tidak jelas, walau bagaimanapun penggunaan kedua-dua tanda tersebut boleh disesuaikan mengikut huraian yang diberi. | Ejaan | 16.11.2012 |
saya ingin bertanya, pada bahagian glosari dialek kelatan, terdapat fonetik yang yan bertanda petak ([]) seperti yang saya lampirkan sebagai gambar untuk entri congok. adakah bentuk tersebut dikira sebagai fonetik? minta penjelasan . terima kasih | Tanda kurung yang dimaksudkan ialah kurung suku yang digunakan untuk untuk mengapit huruf atau perkataan. Ini bukanlah simbol fonetik tetapi digunakan dalam bidang fonetik untuk mengapit huruf/kata. | Tatabahasa | 23.04.2020 |
Perlukah nama gelaran seperti Datuk, Dr, Prof , Tan Sri ditulis pada pangkal nama apabila memberikan sijil kepada seseorang? | Dalam sijil, lazimnya hanya nama yang ditulis. Namun ada juga penganjur menulis nama dan disertakan gelaran atau pangkat penerima sijil tersebut di dalam tanda kurung. Contohnya: Azli bin Ramli atau Azli bin Ramli (Dr.). | Lain-lain | 05.02.2014 |
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, Mohon pertanyaan bagi ruang tandatangan surat rasmi, sekiranya pegawai tersebut mempunyai pangkat sebagai contoh; (Ts. ABDUL RAZAK BIN SABTU D.S.M, B.K.T, P.J.K.) Apakah cara penulisan yang betul di dalam surat berkenaan? Pangkat berada di dalam tanda kurung atau berada di luar? Ada noktah di setiap huruf akronim atau tidak? Ini kerana merujuk kepada BIUPA, JPM, penulisan pangkat mempunyai noktah bagi setiap akronim. Segala kerjasama dan keprihatinan pihak tuan, didahulukan dengan ucapan terima kasih. Sekian. | Untuk makluman saudara, format penulisan surat rasmi boleh dirujuk pada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007, halaman 43 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Semua jabatan dalam sektor awam, termasuk DBP merujuk pekeliling ini. Untuk penulisan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri yang betul, saudara juga bolehlah merujuk Bahagian Istiadat dan Urus Setia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang berkenaan/Kementerian Wilayah Persekutuan. | Lain-lain | 22.07.2022 |
Assalamualaikum, Boleh cadangkan terjemahan untuk burung "Martial Eagle" (Polemaetus bellicosus)? Terima kasih. | Belum ada padanan Martial Eagle dalam pangkalan data kami. Untuk mendapatkan cadangan yang tepat perlulah dirujuk Bahagian Peristilahan dan Leksikologi terlebih dahulu. Untuk sementara waktu kami mencadangkan helang besar digunakan berserta istilah dalam tanda kurung, seperti helang besar (Martial Eagle). | Istilah | 27.11.2016 |
Bagaimana cara penulisan darjah/pingat kebesaran selepas nama seseorang? Beliau menerima pingat kelakuan terpuji (p.k.t.). | Penggunaan Darjah Kebesaran Persekutuan atau Darjah Kebesaran Negeri biasanya diletakkan di bawah nama penerima darjah kebesaran tersebut. Sekiranya diletakkan sebaris dengan nama penerima, darjah kebesaran tersebut perlu dimasukkan dalam tanda kurung () serta disusun mengikut darjah tertinggi. Contohnya, Tn. Hj. Muhammad bin Daud (P.K.T.). Namun hal ini bergantung pada protokol khusus sesebuah negeri dan sebagainya. | Lain-lain | 28.02.2020 |
Assalamualaikum, Boleh berikan terjemahan yang sesuai untuk haiwan bernama "Waterbuck" (Kobus ellipsiprymnus)? Terima kasih. | Belum ada padanan Waterbuck dalam pangkalan data kami. Untuk mendapatkan cadangan yang tepat perlulah dirujuk Bahagian Peristilahan dan Leksikologi terlebih dahulu. Untuk sementara waktu kami mencadangkan antelop besar digunakan berserta istilah asal dalam tanda kurung, seperti antelop besar (Martial Eagle). | Istilah | 27.11.2016 |
Bagaimana hendak menulis Bibliografi untuk artikel yang dipeti daripada internet? Sebagai contoh: Ana Ghoib. (Jan 8, 2015). Fenomena suhu sejuk melampau akan berulang. Berita Terkini. Diambil daripada: malaysiareview.com/97047/fenomena-suhu-sejuk-melampau-akan-berulang/ | Berikut diberikan format penulisan bibliografi untuk artikel daripada Internet: (a) Nama pengarang. (b) Tarikh data dalam tanda kurung. (c) Tajuk bahan. (d) Nama penerbit. (e) Alamat laman sesawang. (f) Tarikh melayari laman sesawang dalam tanda kurung. CONTOH: Taylor, Todd. (15 Mei 2002). “The Elements of Citation: Basic CGOS Style”. Columbia University Press. http://www.columbia.edu/cu/cup/cgos/idx_basic.html (23 Mei 2002). Ana Ghoib. (8 Januari 2015). “Fenomena Suhu Sejuk Melampau akan Berulang”. Berita Terkini. http malaysiareview.com/97047/fenomena-suhu-sejuk-melampau-akan-berulang/ ( ? ) | Lain-lain | 08.07.2015 |