Apakah penggunaan 'capai' dalam "Capai Raya Meriah" sesuai? ia bermaksud kita hendak mencapai raya yang meriah. Jika tidak sesuai, apakah sebabnya dan apakah kata ganti yang sesuai yang selari dengan 'capai raya meriah' | Menurut kamu s Pelajar Edisi Kedua, maksud capai ialah: 1. (hendak) memegang atau mengambil sesuatu dengan menghulurkan tangan: Ali mencuba ~ buah yg di hujung dahan itu. 2 Sampai (ke): Umurnya sudah hampir ~ 100 tahun. 3 Mendapat (sesuatu maksud dan lain-lain); menyampaikan atau menjayakan (maksud dan lain-lain): Dia bekerja sungguh-sungguh utk ~ cita-citanya. 4 Mendapat sesuatu dgn usaha: Utk ~ tujuan itu, kita mesti bekerja dgn lebih tekun lagi. Manakala maksud raya pula ialah besar Maka cadangan penggunaan ayat yang betul dan baik ialah "Mencapai Hari Raya yang Meriah" | Tatabahasa | 18.03.2021 |
Bolehkah saya tahu mana satu ayat yang lebih betul? Mengapa? 1) Ibu pimpin tangan adik semasa melintas jalan. 2) Ibu memimpin tangan adik semasa melintas jalan. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah Ibu memimpin tangan adik semasa melintas jalan. Perkataan memimpin dalam ayat tersebut merupakan kata kerja transitif, iaitu kata kerja yang menerima penyambut sesudahnya, yang disebut objek. Kata kerja ini terbahagi kepada dua, iaitu kata kerja dalam ayat aktif dan kata kerja dalam ayat pasif. Kata kerja transitif yang wujud dalam ayat aktif ialah kata kerja yang menerima awalam meN- dengan atau tanpa akhiran -kan atau -i. Awalan meN- menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf seperti m, n, ny, l, w dan y. Termasuk dalam jenis ini ialah kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k dan s. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar berubah bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya, iaitu m bagi p, n bagi t dan ny bagi s. Contohnya pimpin menjadi memimpin. | Tatabahasa | 01.08.2021 |
Salam....saya ingin mendapatkan penjelasan tentang penggunaan "kan". Contoh 1) Pemuda itu ditangkap kerana mengedar dadah 2) Pemuda itu ditangkap kerana mengedarkan dadah Soalan :Yang mana satu betul"mengedar" atau "mengedarkan" T.kasih... En. Mohd Nor | Awalan meN- membentuk kata kerja aktif sama ada transitif atau tak transitif, iaitu memerlukan objek atau tidak memerlukan objek selepasnya. Manakala kata kerja yang terbentuk dengan apitan meN-...-kan ialah kata kerja transitif, iaitu yang digunakan sebagai unsur predikat yang memerlukan objek atau penyambut dalam transitif aktif. Dari aspek makna pula, mengedar bermaksud berpindah-pindah dari tangan ke tangan dan mengedarkan pula bermaksud menyampaikan sesuatu daripada seorang kepada seorang lain dan seterusnya atau mengelilingkan menyebarkan. Berdasarkan huraian yang tersebut penggunaan perkataan mengedar dalam konteks ayat tersebutlebih tepat berbanding dengan perkataan mengedarkan. Pemuda itu ditangkap kerana mengedar dadah. | Tatabahasa | 21.11.2012 |
Saya sering terkeliru antara imbuhan akhiran "kan". Cthnya "pergerakkan" atau "pegerakan". Minta diberi panduan. Terima kasih | Kesilapan penggunaan k atau kk kerana kita tidak dapat membezakan antara imbuhan ...-kan, imbuhan -an dan apitan peN-...-an. Kata kerja gerak + kan akan membentuk kata terbitan "gerakkan" seperti yang lazim digunakan dalam ayat suruhan "Gerakkan tangan anda". Kata kerja gerak + an akan menghasilkan kata nama gerakan seperti dalam ayat "Bilik Gerakan akan mula dibuka pada minggu hadapan". Apitan peN-...-an pada kata kerja gerak, peN + gerak + an menghasilkan kata nama pergerakan, seperti ayat "Runtuhan tanah di lereng bukit itu berlaku akibat pergerakan air dalam tanah". | Tatabahasa | 06.07.2011 |
Maksud bunjut dalam sup bunjut dan kenapa ia tiada dalam kamus. | Menurut data kami penggunaan frasa yang betul ialah punjut yang bermaksud sapu tangan dan lain-lain yang keempat-empat sudutnya diikat menjadi satu (untuk membawa sesuatu); memunjut menyimpulkan (mengikat) keempat-empat sudut sapu tangan dan lain-lain (menjadikan punjut). (Kamus Dewan Edisi Keempat) manakala sup bunjut pula merupakan nama yang telah didaftarkan. | Lain-lain | 21.09.2018 |
Salam sejahtera, Persoalan saya adalah mengenai cara penulisan dalam karya kreatif seperti novel dan cerpen. Adakah dalam gaya penulisan kreatif, perkataan seperti "ke", "kan", dan "kot" perlu diitalickan. Perkataan seperti ini adalah gaya percakapan harian yang biasanya dalam dialog seperti "Kan saya dah kata..." , "Mak cik dah sapu ke kat tangan?" , dan "Mungkin sebab aku gemuk kot". Atau boleh sahaja dibiarkan roman tanpa perlu italic. Mohon pencerahan pihak DBP. Sekian, terima kasih. | Tidak perlu ditulis condong (italic). | Tatabahasa | 17.01.2024 |
Petinju atau peninju? Berlatar belakangkan atau berlatarbelakangkan? | Menurut data kami, maksud petinju ialah orang yang berlawan tinju; ahli tinju manakala maksud peninju ialah 1 orang yang meninju. 2 genggaman tangan untuk meninju; tinju. Berlatarbelakangkan ditulis sebagai satu perkataan apabila diimbuhkan dengan awalan ber...kan, jika latar belakang ditulis terpisah. | Tatabahasa | 06.10.2016 |
Salam sejahtera, apakah maksud peribahasa yang berikut? 1. yang bulat tidak akan bergolek, yang pipih tidak datang melayang 2. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air 3. Rokiah _________ apabila disergah oleh rakannya ketika dia sedang asyik membaca nove. A terkial-kial B terpinga-pinga apakah jawapan yang tepat? 4. atlet yang tersohor itu tidak dapat berlari dengan LANCAR kerana halangan angin yang bertiup kencang dari arah bertentangan. tepatkah penggunaan kata LANCAR dalam ayat di atas? 5. (a) kereta yang dipandu secara BERANSUR dapat mengelakkan kemalangan. (b) kami sekeluarga BERANSUR dari majlis kenduri itu ketika hari sudah lewat petang. betulkah penggunaan kata 'beransur' dalam kedua-dua ayat di atas? terima kasih | Saudara, Maksud peribahasa yang dikemukakan adalah seperti yang berikut: i. Orang yang bertuah mendapat keuntungan dari mana-mana saja ii. Tak usah takut-takut, kerana sama-sama mempunyai kekuatan dan alat syaratnya. iii. terpinga-pinga iv. Antara makna lancar ialah terlalu pantas dan licin (pergerakan sesuatu benda, percakapan, dll), laju, tidak tersangkut-sangkut: nya ~; bas itu berjalan dgn ~nya; bergerak dgn laju (motokar, kapal, dll): kereta itu ~ dgn lajunya meninggalkan tempat itu; memulakan (menggerakkan) sesuatu dgn cepat, menyebabkan berjalan dgn cepat (licin). Berdasarkan makna yang diberikan perkataan "lancar" boleh digunakan. Makna beransur-ansur :1. sedikit demi sedikit (melakukan sesuatu atau berlakunya sesuatu), (dgn) berdikit-dikit: hutang itu dibayar ~; keberaniannya datang ~; dgn ~, guru menambah pengetahuan murid-murid; dgn berhentinya pengeluaran majalah itu, maka gerakan itu pun beransur-ansur ghaib; 2. sedikit demi sedikit bertukar kpd sesuatu keadaan, semakin: tenaganya ~ pulih; demamnya ~ kebah; hari ~ gelap; 3. bergerak meninggalkan sesuatu tempat sedikit demi sedikit (tidak serentak): mereka mulai ~ dr tempat itu; 4. bergerak (berengsot dsb) sedikit-sedikit atau perlahan-lahan: mereka ~ ke depan; | | | | Oleh itu, penggunaan perkataan "beransur-ansur dalam ayat 5(a) tidak sesuai, tetapi sesuai dalam ayat 5(b). | Lain-lain | 15.10.2010 |
Selamat sejahtera, saya nak tanya apakah perbezaan ahli dengan anggota? Selain itu, saya juga nak tanya manakala ialah kata hubung gabungan ataupun kata hubung pancangan keterangan? terima kasih atas balasan | Ahli ialah anggota (pertubuhan, persatuan, golongan, dan lain-lain). Sebagai contoh, Ahli politik. Anggota ialah bahagian tubuh terutama tangan dan kaki. Contoh ayat, Duduk membongkok tidak menyenangkan anggota badannya. Manakala merupakan kata hubung pancangan keterangan yang berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama. Contohnya, “Dia duduk di samping ayahnya, manakala adiknya duduk di hadapan ibunya.”
| Lain-lain | 22.11.2022 |
Salam Saya hendak bertanya, dalam bahasa Melayu adakah perkataan adangan dan teradang? Kata dasar perkataan ini ialah adang? Apakah maksud kata adangan dan teradang? terima kasih | Mengikut Kamus Dewan, perkataan “Adang” itu sendiri mempunyai beberapa maksud iaitu adang-adang penyekat (yg memisahkan, mengasingkan, dsb): tiap-tiap meja disekat dgn satu ~; ~ pintu penyekat di muka pintu; mengadang 1. = mengadangi menahan (seseorang) drpd dapat lalu atau masuk ke sesuatu tempat (dgn mendepangkan tangan, merintangkan sesuatu, dsb), menghalang(i), menyekat: Hamid ~nya di pintu, tidak mahu memberinya masuk; 2. menyekat laluan (di jalan raya): mereka ~ jalan dgn meletakkan tong-tong kosong; sebatang pokok yg tumbang ~ jalan dan menyebabkan banyak kenderaan terkandas; 3. menunggu dgn tujuan hendak menyergap (menyerang hendap): merancang utk ~ musuh; 4. menuju, memaksudkan, menghadapi; 5. menempuh (bahaya, kesukaran, dsb); musuh jangan diadang, selisih jangan dicari prb pertelingkahan atau perselisihan janganlah dicari-cari; sungguhpun kawat yg dibentuk, ikan di laut yg diadang prb sungguhpun nampaknya tidak ada sesuatu maksud tetapi ada juga benda yg dituju; mengadangkan menggunakan sbg adang, merentangkan (sesuatu), mendepangkan (tangan): diadangkannya lengannya; pengadangan 1. tempat utk mengadang; 2. perbuatan mengadang; pengadang 1. penghalang, perintang (di jalan dll), sekatan; 2. orang yg mengadang (menghalang atau menyekat orang lain); 3. penyamun dsb yg mengadang (menunggu dan menyerang hendap). (Kamus Dewan Edisi Keempat). Saudara yang budiman, Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkataan andang, sdr. boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari" atau sila rujuk Kamus Dewan edisi Keempat. | Tatabahasa | 23.10.2018 |