apakah yang dimaksudkan dengan muzika tari? | Kata muzika tari tidak membawa apa-apa makna cuma sebagai nama yang saudara berikan kepada acara yang hendak diadakan. dengan demikian adalah lebih baik digunakan Konsert Perdana sahaja keran aperkataan konsert sudah membawa makna hiburan yang dipenuhi dengan persembahan muzik. | Makna | 25.03.2008 |
Apakah perkataan yang sesuai untuk saya alihbahasakan "Dance Revival" kepada bahasa Malaysia? Bolehkah saya menggunakan perkataan "Penglahiran Semula Tari" atau "Pementasan Semula Tari" ? Saya ingin menggunakan perkataan ini untuk tujuan tesis saya dalam bidang etnokoreologi dengan topik Tarian Tradisional Sabah. | Kami mencadangkan padanan terjemahan frasa "Dance Revival" dalam bahasa Melayu ialah "Pembugaran Semula Tarian". Walau bagaimanapun, saudara digalakkan berbincang dengan penyelia tesis saudara untuk mendapatkan padanan yang lebih tepat berdasarkan konteks yang saudara fahami. | Istilah | 19.07.2009 |
kami akan mengadakan konsert untuk meraikan keputeraan tuanku raja perlis. di sini, kami ingin meminta pandangan pihak tuan/puan berhubung nama untuk konsert ini. nama yang dipilih adalah " KONSERT DIRGAHAYU MUSTIKA TARI" @ "KONSERT PERDANA MUSTIKA TARI". mohon pandangan pihak tuan. terima kasih | KOnsert Perdana Mustika Tari lebih sesuai. Perkataan dirgahayu digunakan untuk ucapan sempena keputeraan. | Tatabahasa | 25.03.2008 |
Tuan/puan Perkataan "tari" boleh tambah imbuhan "ber" tak ? kenapa ? | Perkataan 'bertari' merupakan perkataan lama yang pernah digunakan suatu ketika dahulu. Walau bagaimanapun, pada masa kini perkataan tersebut tidak digunakan lagi dan perkataan 'tari' disesuaikan dengan penggunaan awalan kata kerja 'me' iaitu menari. Perkataan menari lebih tepat dan digunakan pada masa kini. | Tatabahasa | 18.04.2018 |
Assalamualaikum W.B.T satu program tari-menari kini sedang ditayangkan di TV sehingga bulan Jun 2013. dalam bentuk promosi 'tagline' ini digunakan " FENOMENA TARIAN SEDANG MELANDA" Adakah 'tagline' ini betul penggunaannya? sekian terima kasih | "Tagline" tersebut boleh digunakan. | Tatabahasa | 23.04.2013 |
Bagaimana saya boleh tahu dengan lebih terperinci tentang zaman transisi daripada tradisional ke moden dalam hal -hal kesenian seperti permainan boneka , penglipur lara dan drama tari . | DBP telah menerbitkan pelbagai buku mengenai sejarah perkembangan sejarah drama di Malaysia. Salah satunya ialah Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden: Drama oleh Abdul Rahman Napiah. KN DBP mencadangkan saudara merujuk bahan-bahan untuk tugasan tersebut di atas perkara drama. Bahan-bahan tersebut boleh di dapati di perpustakaan atau di laman web dengan menaip kata kunci drama. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 04.10.2009 |
Bagaimana penggunaan imbuhan ber- ke atas kata kerja membawa perubahan apa kepada makna asal kata dasar tersebut? dan mengapa perlu menggunakan imbuhan ber- ke atas kata kerja? contoh seperti kata dasar kata kerja: tindik, tari, mandi Contohnya: Lari ialah sejenis kata kerja. Bagaimana imbuhan ber- membawa pengaruh kepada maksudnya? Contoh ayat: Dia lari sekuat-kuat hati kerana dikejar anjing. Dia berlari sekuat-kuat hati kerana dikejar anjing. | Awalan beR- diterangkan dengan jelas dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 161 - 170: Pada dasarnya perkataan yang berawalan beR- ialah kata kerja yang membawa pengertian berlakunya sesuatu mengikut makna yang terkandung dalam kata dasar. Namun begitu, terdapat juga pengertian khusus, bergantung pada golongan perkataan tertentu. Perbincangan tentang aspek makna pada perkataan yang berwalan beR- akan dibuat mengikut jenis golongan kata bagi kata dasar yang bergabung dengannya, iaitu sama ada kata kerja, kata nama atau kata adjektif. Contohnya, beR- yang memberi makna melakukan perbuatan dengan maksud seperti yang terkandung dalam kata dasar, tukar - bertukar, pekerja itu sudah bertukar ke Ipoh. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk halaman berkenaan. | Tatabahasa | 06.11.2014 |
Mohon bantuan adakah ayat ini betul susunannya. Orkid Onsidium popular dikenali sebagai gadis menari (dancing lady). Terima kasih. | Ayat yang gramatis menggunakan salah satu daripada perkataan popular atau dikenali, seperti Orkid Onsidium dikenali sebagai gadis tari. | Tatabahasa | 09.08.2012 |
Yang mana betul, "mententeramkan" atau "menenteramkan"? | Perkataan yang betul ialah Menenteramkan. Kata dasar yang bermula dengan huruf p, t, k dan s termasuk di dalam jenis me-. Dalam hal ini, huruf pertama dalam kata dasar berubah menjadi bentuk sengau yang sama daerah artikulasinya iaitu m bagi p, n bagi t, ng bagi k dan ny bagi s, seperti contoh yang berikut; pesan= memesan, tetap= menetap, tari = menari, salin= menyalin, sinar= menyinar, serah= menyerah. | Tatabahasa | 10.10.2018 |
Saya sebagai seorang pelajar sedang membuat kajian berkaitan perbezaan makna bagi perkataan yang sama iaitu. Seni budaya dan budaya seni. Boleh saya dapatkan lebih informasi mengenai perbezaan kedua makna tersebut dan mengapa ia mempunyai maksud yang berbeza, frasa dan konsep yang digunakan. Jika tidak keberatan, saya ingin menemu ramah seorang pakar bahasa sebagai kajian saya supaya lebih mudah untuk difahami. | Mengikut hukum D-M, perkataan yang betul ialah Seni Budaya yang bermaksud jenis-jenis seni yang mengandungi unsur budaya seperti seni tari, seni rupa, seni lukis, seni muzik, seni teater dan lain-lain. | Istilah | 19.03.2019 |