| 1.Bagaimanakah cara mengeja Yang dipertuan Agong dengan betul? 2. Pada waktu tengah hari, pekerja-pekerja itu baring-baring di bawah pokok yang rendang. Betulkah penggunaan baring-baring dalam ayat tersebut? Adakah salah jika kita menggantikannya dengan perkataan berbaring/ berbaring-baring? 3. Segala apa yang terjadi antara Akmal dan teman-temannya masih segar dalam ingatannya. Bolehkah "apa" digunakan dalam ayat tersebut? | 1.Ejaan yang betul ialah Yang di-Pertuan Agong.2. Perkataan baring-baring dalam bahasa baku perlu ditambah imbuhan beR- untuk menunjukkan perbuatan. Oleh itu, ayat yang betul ialah 'Pada waktu tengah hari, pekerja-pekerja itu berbaring/berbaring-baring di bawah pokok yang rendang. 3.Ayat 'Segala yang terjadi antara Akmal dan teman-temannya masih segar dalam ingatannya' tidak perlu ditambah dengan perkataan 'apa' kerana 'apa' merupakan kata tanya. | Tatabahasa | 26.08.2007 |
| 1) Apa maksud PENERAMA & PENEROMA? 2) Adakah perkataan- perkataan di atas wujud? sekia, terima kasih. | Kedua-dua istilah ini tidak terakam dalam mana-mana sumber rujukan kami ataupun Kamus Dewan. Yang ada ialah panorama yang ditakrif sebagai 1. pemandangan yg luas terbentang dan tidak terhalang atau terganggu: mata temannya merenungi ~ pergunungan Lompo Battang; 2. tinjauan yg menyeluruh atau komprehensif terhadap sesuatu perkara (keadaan, situasi dsb): ~ sejarah bahasa Arab selama 2000 tahun; 3. gambaran yg luas tentang suatu siri peristiwa yg sentiasa berubahubah: ~ perubahan manusia sejak beribu-ribu tahun. | Makna | 19.02.2009 |
| apakah perbezaan antara“mengajak”dengan “menjemput” “sofian menjemput Ali pergi ke perpustakaan ”ayat ini betul tak?ribuan terima kasih | Mengajak bermaksud meminta atau menyilakan seseorang supaya turut pergi atau datang ke sesuatu tempat; mempelawa; mengundang: Kerana hujan lebat, dia ~ saya naik ke rumahnya. 2 memberi perangsang supaya mahu melakukan sesuatu: ~ berkelahi. Menjemput pula menyambut, mengalu-alu, menyongsong: siapa yg pergi ~ abangmu di lapangan terbang petang ini?; jemputlah masuk; 2. mengajak atau menyilakan datang, mengundang: dia ~ ramai temannya ke majlis perkahwinannya; datanglah pula orang ~ Pak Lebai kerana hendak kenduri berkhatam pengajian; 3. Mn mengambil seseorang utk dijadikan menantu: Dari segi makna, kedua-dua perkataan tersebut mempunyai makna yang sama. | Makna | 14.06.2016 |
| adakah perkataan ironi sama dengan kesan. adakah ia membawa maksud yang baik atau tidak | Menurut Kamus Dewan Perdana (2020) ironi mempunyai dua takrifan: 1. Kejadian atau keadaan yang berlaku sebaliknya, bertentangan daripada jangkaan atau kebiasaan Contoh ayat: Ironinya pada masa sekarang, mentaliti orang Melayu sudah bertukar kpd materialisme dan bukannya utk kebajikan akhirat. 2. Sindiran yang terselindung dalam ucapan atau kata-kata manis Contoh ayat: Edi yakin bahawa pujian temannya itu tidak mengandungi ironi. Manakala kesan mempunyai lima takrifan: 1. Sesuatu kebaikan atau keburukan yang timbul selepas berlakunya sesuatu kejadian Contoh ayat: Hujan yang turun berturut-turut selama tiga hari itu menimbulkan kesan buruk pada kampung kami. 2. Tanda atau bekas yang ditinggalkan oleh seseorang atau sesuatu Contoh ayat: Polis mencari kesan yang mungkin ditinggalkan oleh pembunuh Samy. 3. Sesuatu yang mempengaruhi pemikiran, perasaan, perwatakan dan sebagainya seseorang Contoh ayat: Menonton filem seram meninggalkan kesan takut kepada sesetengah kanak-kanak. 4. Hasil yang diperoleh daripada sesuatu Contoh ayat: Kesan daripada kongres bahasa itu merapatkan lagi hubungan antara ahli-ahli bahasa di Indonesia dan Malaysia. 5. lihat mengesan Berdasarkan takrifan-takrifan yang dinyatakan di atas, ironi dan kesan berbeza maksud dan konteks. Kedua-dua perkataan ini mempunyai fungsi dan makna tersendiri dalam bahasa.
| Makna | 20.04.2025 |
| Apakah perbezaan sangka/sangkaan dan jangka/jangkaan? | Mengikut Kamus Dewan Perdana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka maksud "sangka" ialah pendapat atau kesimpulan yang dibuat berdasarkan tekaan atau agakan terhadap sesuatu perkara atau perasaan syak atau curiga pada seseorang. Kata "sangkaan" pula bermaksud apa-apa yang disangka atau perasaan syak atau curiga terhadap sesorang. Contoh penggunaan dalam ayat: 1. Pada sangkanya, dia sangat bergembira, tetapi rupanya tidak. 2. Setelah melihat kemewahan hidupnya, timbul rasa sangkaku terhadapnya. 3. Sangkaan mereka ada musuh yang datang menyerang tempat itu. 4. Teman-temannya menaruh sangkaan kepadanya. Manakala "jangka" pula bermaksud tempoh masa yang telah ditetapkan panjangnya atau tempoh masa bagi sesuatu usaha, rancangan dan sebagainya. Kata "jangkaan" pula bermaksud sesuatu yang dijangka atau sesuatu yang diharapkan berlaku. Contoh penggunaan dalam ayat: 1. Kuala Terengganu bertukar wajah dalam jangka lima tahun. 2. Jangkaan perbelanjaan bagi projek tersebut ialah RM25,000.00. 3. Cabaran besar bagi ahli dan parti politik adalah memantapkan integriti dalam menangani jangkaan rakyat yang kian meningkat. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. | Makna | 15.07.2023 |
| Assalamualaikum. Untuk ayat sumber 'Allow access to your camera' (pemilik telefon perlu membenarkan aplikasi mengakses kamera bagi tujuan tertentu), bolehkah diterjemahkan sebagai 'Benarkan akses kepada kamera anda' atau adakah lebih sesuai 'Benarkan akses ke kamera anda'? Saya ingin tahu perbezaan penggunaan 'akses ke' dan 'akses kepada'. Terima kasih. | Waalaikumussalam. Menurut buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, ke dan kepada tergolong dalam kata sendi nama. 1. Kata sendi nama ke digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju, dan digunakan juga di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan waktu atau masa. Contohnya: i. Mereka akan ke Kuantan esok. (menunjukkan tempat atau arah) ii. Ali menunggu temannya di perhentian bas dari pagi ke petang. (menunjukkan waktu atau masa) 2. Kata sendi nama kepada menunjukkan terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Oleh itu, berdasarkan huraian di atas, ayat yang betul ialah “Benarkan akses ke kamera anda.” Terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 07.02.2017 |