soalan 1 apakah maksud ISSN yang ada pada setiap muka depan majalah dan bagaimana pula dengan ISBN yang ada pada buku. soalan 2 apakah maksud HAKCIPTA dan penerangan tentang nya. terima kasih | ISSN ialah International Standard Serial Number, manakala ISBN ialah International Standard Book Number. Hak cipta ialah perlindungan hak intelektual atau produk sesuatu institusi atau individu yang dilindungi undang-undang. | Lain-lain | 05.01.2007 |
Salam sejahtera. Pertanyaan saya berkaitan tentang penggunaan "nya". Adakah penggunaan nya boleh untuk merujuk kepada haiwan? Sebagai contoh ayat berikut; "Gigi ketam berada di dalam perutnya." Sekiranya tidak boleh digunakan, apakah ayat yang sesuai? Soalan kedua ialah bagaimanakah untuk menggunakan perkataan "nya". Boleh berikan contoh penggunaan ayat. Sekian, Terima kasih. | - Penggunaan -nya merupakan kata ganti nama diri orang ketiga dan hanya boleh digunakan pada manusia. Ayat yang lebih tepat ialah Gigi ketam berada di dalam perut.
- Contoh ayat yang menggunakan kata ganti nama diri orang ketiga -nya ialah, Mimi mengundang Ai Ling dan Kencana datang ke rumahnya.
Selain sebagai kata ganti nama diri orang ketiga, perkataan -nya juga berfungsi sebagai kata penekan dan pembenda. Contoh ayat seperti yang berikut: Kata penekan – Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis. Kata pembenda – Lajunya ialah 100 km sejam. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk mengetahui maklumat lanjut. | Tatabahasa | 26.07.2021 |
Kekeliruante tentang penggunaan Penanda Wacana yang kerap digabungkan dengan kata ganti nama 'nya', sedangkan 'nya' membawa maksud dia iaitu ganti nama diri ketiga. Contoh-contoh yang saya dapat melalui bahan taklimat pihak Kementerian Pelajaran iaitu, Seterusnya, Tamsilnya, Misalnya, Contohnya, Kesannya, Akhirnya, Natijahnya, Tegasnya, Sesungguhnya, Akibatnya dan Secara keseluruhannya. Bukankah penggunaan ini merupakan satu bentuk kesalahan umum dalam tatabahasa ? Sekian, terima kasih. | Puan Allison, Fungsi 'nya' dalam perkataan tersebut adalah sebagai kata pembenda. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 15.05.2010 |
Berdasarkan halaman 57 Pedoman Pembentukan Ejaan tentang penggunaan tanda sempang, cara menulis "kad ATMnya" dan "IDnya" akan menjadi "kad ATM-nya" dan "ID-nya". Mohon pengesahan, terima kasih. | Penggunaan tanda sempang untuk merangkaikan apa-apa kata lain yang dieja dalam huruf besar dengan apa-apa bentuk kata yang dalam huruf kecil, atau sebaliknya. Penggunaan tanda sempang, cara menulis "kad ATMnya" dan "IDnya" akan menjadi "kad ATM-nya" dan "ID-nya" adalah betul. | Tatabahasa | 27.01.2023 |
Assalamualaikum, Mohon penjelasan penggunaan pada dan kepada yang terdapat dalam ayat berikut: Allah menampakkan sedikit kesempurnaan-Nya yang tidak terhingga itu pada@kepada kewujudan insan kamil. Kepada @Pada insan kamil ini, Allah memperlihatkan ciptaan-Nya dan membahagikan kasih sayang-Nya. | Kata sendi nama pada menunjukkan keterangan waktu atau tempat, manakala kata sendi nama kepada untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Namun ayat contoh yang diberi tidak menunjukkan keterangan tentang waktu atau tempat dan juga sasaran. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 272 - 276. | Tatabahasa | 28.10.2011 |
Salam sejahtera, saya tahu tentang cara penggunaan kata ganti nama singkat kau, ku, nya dan mu bahawa kata singkatan ini tidak boleh berdiri sendiri. Bagaimana pula jika ayat ada menulis "kau dan aku?" Adakah ia patut ditulis seperti ini: "kaudan aku?" | Kata klitik, iaitu kata ganti nama singkat "kau", "ku", "nya" dan "mu" tidak boleh berdiri sendiri. Bentuk klitik selalunya wujud dalam binaan ayat pasif dan ejaannya hendaklah dirangkaikan dengan kata yang wujud sebelum atau selepasnya, seperti "kutulis" dan "kaubaca". Adapun contoh ayat yang diberikan, frasa yang betul ialah "kau dan aku" kerana "dan" ialah kata sendi nama dan bukan kata kerja pasif.
| Tatabahasa | 25.07.2023 |
Salam sejahtera. Penggunaan "dia " dan "-nya" yang manakah betul dalam ayat yang berikut: 1) Ibu menyuruhnya membeli makanan untuk adik. 2) Ibu menyuruh dia membeli makanan untuk adik. 3) Siti membantunya menyelesaikan masalah itu. 4) Siti membantu dia menyelesaikan masalah itu. | Keempat-empat ayat itu betul. -nya ialah ganti nama ketiga, sama seperti dia. Akan tetapi sebelum menggunakan -nya untuk ganti nama ketiga, perlu ada cerita tentang orang ketiga sebelum itu. Contoh: Dia baru sahaja mendapat panggilan telefon daripada ibu. Ibu menyuruhnya membeli makanan untuk adik. | Ejaan | 20.05.2014 |
Tuan yang bijaksana. Dalam buku tatabahasa ada tertulis, kata sendi "tentang" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. Frasa yang mengikuti kata sendi "tentang" menjadi hal yang diperlakukan. Kata sendi "terhadap" pula digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan yang membawa maksud rujukan yang melibatkan penyambut tertentu seperti manusia, haiwan, atau benda. Oleh hal yang demikian, adakah penggunaan kata sendi "tentang" dalam ayat di bawah ini salah: 1. Kami sudah menguji orang yang terdahulu daripada mereka. Nyata apa yang diketahui oleh Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta. | Penggunaan "tentang" dalam ayat tersebut betul. | Tatabahasa | 01.04.2013 |
SALAM.SAYA INGIN MENULIS LIRIK LAGU NASYID YANG BERKISAR TENTANG KISAH PERJUANGAN RASULLULLAH SAW..ANTARA "MU" DAN "NYA",YANG MANAKAH LEBIH SESUAI DIGUNAKAN.CONTOH LIRIK;"bagai bulan purnama,terzahir nur wajahMU.." | Saudara Nurul, Pada pandangan kami kedua-dua bentuk boleh digunakan kerana ia bergantung pada cara dan maksud yang hendak disampaikan. "Mu" memperlihatkan penyampaian maksud secara langsung kepada pihak kedua manakala "Nya" memperlihatkan penyampaian maksud yang lebih umum tentang pihak ketiga. | Lain-lain | 13.02.2010 |
Nama saya Sumaiyah Mateh belajar bahasa melayu dasar ingin bertanya tentang bahasa melayu apakah makna cinta? | Menurut data kami, maksud perkataan cinta ialah 1 (perasaan atau berperasaan) sangat sayang kepada negara, ibu bapa dan lain-lain: ~nya kepada ibunya sungguh luhur. Kerana sangat ~ kepada negaranya, beliau sanggup berkorban nyawa untuk mempertahankannya. 2 (perasaan atau berperasaan) sangat berahi, asyik, kasih dan sebagainya; sangat tertarik (kepada laki-laki atau perempuan): ~nya yang tidak berbalas terhadap gadis itu menjadikannya hampir tidak siuman. Si isteri yang setia itu sangat ~ kepada suaminya. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=cinta | Makna | 09.11.2015 |