Setelah merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 245, didapati tiada tatabahasa yang mengatakan "amat sangat sakit" adalah gramatis. Jika tatabahasa ini diterima, maka "sangat amat sedih" atau "amat sungguh sedih" pun menjadi gramatis. Sila berikan penerangan yang jelas. Kenapa tatabahasa "(sangat/amat/sungguh) + adjektif + nian" digugurkan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga? Adakah tatabahasa tersebut tidak gramatis lagi? | Merujuk halaman 245, buku Tatabahasa Dewan, pola yang ada ialah (v) ter- + {amat/sangat} + kata adjektif dan (vi) {amat/sungguh/sangat} + kata adjektif sekali. Oleh itu, berdasarkan pola tersebut contoh yang saudara beri "amat sangat sakit" tidak gramatis kerana bentuk yang betul teramat sakit atau tersangat sakit (pola v) dan amat sakit sekali atau sungguh sakit sekali atau sangat sakit sekali (pola vi). Sebarang persoalan tentang kandungan buku Tatabahasa Dewan saya cadangkan saudara berhubung terus dengan editor yang terlibat. | Tatabahasa | 27.08.2009 |
Salam sejahtera. Saya ingin bertanya tentang aspek kata penguat di bawah ; - benar sekali - terlalu amat - sungguh nian - terlalu paling Adakah keempat-empat kata penguat ini dapat digunakan sebelum kata adjektif? Terima kasihl. | Terdapat tiga jenis kata penguat: A. kata penguat hadapan, iaitu yang terletak di hadapan frasa atau kata adjektif. Contoh: terlalu, paling, agak, cukup; contoh ayat: pokok itu terlalu tinggi; masakannya paling enak;pemandangan di tasik itu cukup indah; harga emas makin mahal; jawapannya kurang tepat;B. Kata penguat belakang, iaitu kata yang letaknya di belakang kata adjektif. Contohnya: sekali, benar, betul dan nian. Contoh ayat: kelakuannya baik sekali; lambat benar dia datang; indah nian istana bunian; keputusan peperiksaannya buruk betul; C. Kata penguat bebas, iaitu letaknya boleh di hadapan atau di belakang kata adjektif. Contoh: amat, sangat, dan sungguh. Contoh ayat: Pakaiannya amat kemas=kemas amat pakaiannya; harganya sangat mahal=mahal sangat harganya; sungguh sedih kisahnya= kisahnya sungguh sedih. Kata penguat "paling" dan "ter-" tidak boleh digunakan serentak dengan "sekali". Sila rujuk maklumat yang diberikan untuk penggunaan kata penguat dan maklumat perinci boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 22.07.2010 |