| Sejauh manakah pencapaian Dewan Bahasa dan Pustaka dalam perancangan taraf Bahasa Melayu? Apakah aktiviti yang menjurus kepada peningkatan taraf bahasa Melayu yang dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dari terbentuknya DBP sehingga masa sekarang. Terima kasih.. | Perancangan taraf bahasa Melayu yg dilaksanakan oleh DBP memang banyak dan berterusan. Untuk menjawab soalan ini sdr perlu membaca atau mendapatkan bahan mengenainya di Pusat Dokumentasi Melayu DBP. Sdr bolehlah mendapatkan buku Citra yg membincangkan kemajuan yg telah dicapai oleh DBP dan perancangan berterusan yang selanjutnya. Terima kasih. | Lain-lain | 19.03.2009 |
| Assalamualaikum. Soalan saya ialah perkataan 'pemerdagangan' yang sekarang ini digunakan untuk memperkatakan isu pemerdagangan orang, adakah betul dari segi penggunaan imbuhan apitan 'peN-...-an'? Apakah kata dasar bagi kata terbitan tersebut? Adakah proses pengimbuhan ini melibatkan peraturan p,t,k,s? Misalnya jika imbuhan 'pen-' berjumpa dengan perkataan yang bermula dengan hurup 'p' misalnya 'pukul' jadi 'pemukul' . . .. Saya harap dapat penjelasan bagaimana boleh terbentuknya kata terbitan 'pemerdagangan' tersebut. Sekian. | Kita lihat kaedah pembentukan kata yang betul, iaitu perkataan perdagangan berasal daripada apitan peN-...-an dengan kata akar dagang dan perdagangan bermaksud perihal berdagang. Manakala kata pemerdagangan berasal daripada awalan peN- + kata dasar (perdagangan), terbentuklah pemerdagangan. Pemerdagangan bermaksud perihal perdagangan. Walau bagaimanapun kata terbitan yang sedemikian bentuknya tidak produktif dalam bahasa Melayu, contoh yang lain seperti pemerolehan, pemerbadanan dan pemersatuan. | Tatabahasa | 05.03.2012 |
| Perkataan pinjaman bahasa Inggeris seperti teks dan faks dieja dalam jawi seperti تيك س ،فك س , huruf akhirnya dieja jarak. 1. Ejaan perkataan toraks dalam jawi dieja seperti berikut, توركس. Mengapakah huruf س dieja rapat ? 2. Apakah ciri perkataan-perkataan yang perlu dieja jarak huruf akhirnya bagi perkataan pinjaman bahasa Inggeris ? | Berdasarkan Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu (2020), ejaan تيکس dan فکس merupakan dua huruf Jawi yang membentuk gugus konsonan di akhir kata. Kedua-dua huruf ini tidak dirangkaikan atau tidak ditulis bersambung bagi mengelakkan daripada terbentuknya suku kata akhir tertutup bagi kata Melayu jati (PUEJBM 2020. Hlm: 101). Bagi ejaan ‘toraks’, terdapat kesilapan teknikal pada laman sesawang PRPM. Untuk mendapatkan rujukan ejaan yang lebih tepat, tuan boleh merujuk Kamus Dewan Perdana (2020) atau Daftar Kata Bahasa Melayu (2016). Pada masa yang sama, DBP sedang giat mengemas kini dan menyeragamkan ejaan Jawi, termasuk membetulkan bentuk ejaan yang dikenal pasti mempunyai kesilapan teknikal. | Ejaan | 13.08.2025 |
| Salam. Boleh atau tidak dirumuskan bahawa ayat dasar, ayat inti, ayat mudah, dan ayat tunggal adalah sinonim dan mempunyai ciri-ciri yang sama? Mohon penjelasan jika wujud perbezaan ketara antara keempat-empat istilah tersebut. Terima kasih. | Ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa. Ayat inti merupakan salah satu drpd empat bentuk ayat yg paling sederhana sbg dasar terbentuknya ayat-ayat lain yg tidak terhitung jumlahnya. Ayat mudah yang lengkap ialah ayat yang mempunyai subjek dan predikat. Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi satu klausa sahaja, iaitu yang mempunyai satu konstituen subjek dan satu konstituen predikat. Oleh yang demikian, ayat-ayat tunggal seperti ayat-ayat jenis lain juga terbit daripada ayat dasar. Ada perbezaan antara ayat dasar dengan ayat tunggal. Tidak semua ayat tunggal terdiri daripada subjek yang diikuti oleh predikat. Ada susunan yang berbeza, iaitu predikat (seluruh atau sebahagian) mendahului subjek. Ayat dasar terdiri daripada ayat penyata, manakala ayat tunggal boleh terdiri daripada ayat jenis lain seperti ayat tanya, ayat perintah, ayat seruan dsbnya. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 437. | Tatabahasa | 09.11.2010 |
| Rose Merah Nov 28th, 1:36am Salam sejahtera, sy ada sedikit soalan, apakah peranan subjek bahasa melayu di sekolah? Jika subjek agama berperanan bagi mendidik akhlak dan mengenal hukum , jika subjek sejarah adalah bagi melahirkan masyarakat yg tahu tentang peristiwa2 penting bagi membentuk suatu kesedaran dan pengajaran serta boleh menjadi alat kepada buah fikiran masyakat dlm suatu keadaan, matematik digunapakai , dipraktikkan bagi urusan kira2 dalam kehidupan harian, tp bagaimana pula dgn peranan subjek bahasa melayu? Bukankah orang melayu sememangnya tahu berbahasa melayu? Pembelajaran adalah kaedah bagi merubah ketidaktahuan kepada pengetahuan, dan apabila sy yg yakin, sememangnya ada peranan subjek bahasa melayu tersebut dalam kehidupan harian,bukan hanya sekadar memperkenalkan apa itu 'bahasa melayu' bukan? Apa yang saya nampak disini , ramai penulis2 muda yang menulis tanpa mengambil berat mengenai tatanan kata2, tatabahasa rosak, dan bagi mereka ianya tidak penting , dan sy percaya, ketaksedaran inilah yang menjadi alasan mengapa subjek bahasa melayu diperkenalkan disekolah. Jadi, saya harap tuan/puan beri pencerahan kpada sy, apa lagi peranan subjek ini kepada masyarakat terutama kepada sy yg cintakan 'bahasa ibunda' ini. | Bahasa merupakan wadah atau alat untuk menyampaikan buah fikiran atau dalam maksud yang lebih luas bahasa merupakan alat menyebarkan ilmu. Bahasa Melayu merupakan bahasa ilmu dan bahasa pengungkap peradaban dalam sebuah tradisi ilmu agung yang berkembang beribu-ribu tahun lamanya. Sistem pendidikan negara yang berbahasa pengantar bahasa Melayu telah membentuk suatu kesatuan sikap, pemikiran, sistem nilai, dan pandangan sarwa dalam kalangan generasi muda Malaysia, selain terbentuknya budaya berbahasa yang relatif seragam. Penulis terkenal dalam bahasa Melayu merupakan “seniman” yang menggunakan perkataan, ayat dan tanda baca. Seni penulisan menjadi ujian dan ukuran kepintaran seseorang penulis melahirkan buah fikirannya. Dalam hal ini, kemahiran berbahasa Melayu tinggi amat penting bagi menjamin kelestarian berbahasa. Apa-apa jua bahan yang didokumenkan pada masa kini, termasuklah penulisan dan penerbitan dalam pelbagai genre akan menjadi citra kepada generasi yang akan datang dalam menilai keutuhan pembinaan tamadun bangsa. Maka, di sinilah letaknya kepentingan bahasa Melayu tinggi. Bahasa Melayu telah berjaya dan terbukti dalam mengungkapkan segenap bidang ilmu termasuklah matematik, sains, teknologi, perubatan, kejuruteraan, pengurusan, kedoktoran, undang-undang, perakaunan dan diplomatik. | Lain-lain | 28.11.2015 |